AYOB  Khan. FOTO Arkib NSTP
AYOB Khan. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berjaya menumpaskan 279 sindiket dadah membabitkan 1,147 pengedar termasuk kingpin atau raja dadah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dengan sebahagiannya yang diketuai oleh golongan kenamaan bergelar Datuk.

Apa yang menarik perhatian dan membimbangkan kita ialah adanya sindiket yang diketuai oleh individu berpengaruh serta bergelar usahawan yang berselindung di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di dalam dan luar negara. Kewujudan mereka ini yang berselindung di sebalik aktiviti perhotelan, pelancongan, perkapalan dan pengangkutan dibimbangi memonopoli ekonomi gelap seterusnya merugikan negara kerana berselindung di sebalik perniagaan bersih untuk mengedar dan menjual dadah. Kerajaan dianggarkan menanggung kerugian RM158,131,029.29, iaitu nilai sitaan aset yang dipercayai tidak membayar cukai kerana menjalankan kegiatan mengedar dadah.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), kingpin ini menjalankan perniagaan lain yang sah bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengakui memang sukar mengenal pasti kingpin kerana kebanyakan tangkapan yang dilakukan sebelum ini membabitkan ahli sindiket bawahan dan ini menjadi cabaran paling besar kepada pihak berkuasa.

Ironinya, selagi kingpin yang berselindung dan berpengaruh ini tidak ditangkap, selagi itu mereka boleh rekrut ahli lain sekali gus semakin menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk membanteras penularan sindiket dadah di negara ini.

Dalam konteks ini, kita wajar memuji usaha berterusan polis dalam menumpaskan sindiket dadah di negara kita, misalnya lebih 27 tan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM951.69 juta berjaya dirampas pada tahun lalu. Dadah yang paling banyak dirampas adalah syabu dengan berat 7.9 tan dan jumlah ini meningkat 86 peratus berbanding tahun sebelumnya. Di samping itu, JSJN juga dilaporkan berjaya membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara membabitkan tujuh makmal heroin, masing-masing empat makmal memproses ekstasi dan ketamin, tiga makmal syabu dan satu makmal eramin 5. Syabu pula dikesan sebagai antara dadah yang paling popular pada masa kini berdasarkan trend peningkatan yang direkodkan oleh pihak polis. Secara keseluruhannya pada tahun lalu, polis berjaya menahan 119,218 individu termasuk 804 daripadanya dari kalangan penjawat awam.

Justeru, kita berharap momentum positif pihak polis seperti ini dapat diteruskan pada tahun ini bagi melipatgandakan usaha mengenalpasti dan menumpaskan semua kingpin yang mengetuai sindiket dadah di negara kita sekali gus membanteras keseluruhan rantaian pengedaran dadah bermula dari proses pembuatan atau penyeludupan, pengedaran, penjualan dan juga pengguna atau penagih.

Pada hakikatnya, berdasarkan laporan pihak berkuasa selagi kita tidak tangkap kingpin selagi itu kita tidak mampu membanteras sindiket dadah dari peringkat akar umbi. Oleh itu segala usaha dan inisiatif perlu tertumpu dan difokus ke arah menjerat dan menumpaskan kingpin dan sindiket yang mereka ketuai.

Untuk itu, polis perlu tampil dengan pelbagai taktik dan perancangan baharu kerana bukan mudah untuk mendekati kingpin kerana mereka kelihatan bijak berselindung di sebalik nama, kedudukan dan imej yang baik di mata masyarakat di samping pelbagai perniagaan yang sah di peringkat luaran. Ini ditambah pula dengan pelbagai taktik baru yang mereka gunakan untuk melaksanakan aktiviti penyeludupan mahupun pengedaran dadah, misalnya bungkusan dadah disorok dalam tayar basikal sebelum dihantar menggunakan syarikat kurier bagi mengelak aktiviti pengedaran dikesan oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, di samping inisiatif pihak berkuasa, kita juga memerlukan sokongan dan kerjasama semua lapisan anggota masyarakat bagi bersama-sama berganding bahu untuk menumpaskan aktiviti sindiket dadah yang bermaharajalela di negara kita. Anggota masyarakat boleh memainkan pelbagai peranan, antaranya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Misalnya, usaha menumpaskan sindiket pengedaran dan menangkap kingpin boleh dimulakan dari peringkat yang paling bawah sekali, iaitu melalui pengenalpastian aktiviti penagihan atau lebih dikenali sebagai sarang penagihan dadah. Kebiasaannya kawasan perumahan mahupun kawasan perladangan sering dijadikan sarang penagihan dadah dan kawasan ini agak mudah untuk dikenal pasti oleh penduduk setempat.

Justeru, penduduk yang mengetahui kewujudan sarang ini perlu segera menyalurkan maklumat kepada polis supaya geng penagih ini dapat ditangkap dan melalui mereka kita dapat mendekati kelompok pengedar dan akhirnya boleh membawa kepada kingpin yang terlibat.

Di samping itu, pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman yang baharu turut dilihat memberi sinar harapan baru untuk kita menangkap kingpin yang berpengaruh dan membanteras dadah sehabis-habisnya. Hal ini kerana Ayob Khan cukup dikenali sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada sikap berhemah, adil, berintegriti, amanah dan tegas dalam menjalankan tugas.

Sesungguhnya kita memerlukan ketua yang mempunyai prinsip seperti ini agar dapat menundukkan kingpin yang berpengaruh tanpa sebarang kompromi mahupun tolak ansur. Ia penting kerana aktiviti sogokan oleh kingpin kepada sebilangan anggota penguat kuasa yang tamak, tidak jujur, tidak amanah serta sanggup menggadai integriti dan maruah diri dilihat turut menyumbang kepada kesukaran pihak berkuasa menumpaskan mereka. Misalnya, kebocoran maklumat sesuatu operasi menyebabkan kingpin dapat bersembunyi dan sentiasa terselamat daripada diberkas.

Jadi, kita berharap pelantikan Ayob Khan serta kerjasama erat anggota masyarakat dapat membantu menggempur dan menumpaskan kelompok kingpin sekali gus membanteras semua aktiviti sindiket dadah di negara kita.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa/B>

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 7:01 AM