FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

"Aku dulu masa berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan di Sabah, tembak tiga pengganas di Pulau Bum Bum. Itu yang aku tembak, sepanjang 10 tahun bertugas di sana, lebih 20 orang aku tangkap. Jika tidak percaya tanyalah Sarjan Isa (sudah arwah), dia dulu pernah berkhidmat bersama aku."

Sembang santai Sarjan Mamat di kedai mamak bersama rakannya. Semua terpaku memikir dan membayangkan kehebatan individu itu pada waktu dahulu. Sarjan Mamat terkenal dengan cakap banyak dan cakap besar walaupun ramai tahu dia bertugas menjaga stor bekalan sahaja dan tidak pernah berada di barisan hadapan.

Tetapi, kawan-kawan sudah masak dengan perangainya hanya melayan sahaja, takut nanti bermasam muka pula. Selesai sembang di kedai kopi, masing-masing meneruskan kerja dan tugas hakiki mereka semula dan jika berkesempatan, keesokan hari atau seterusnya mereka akan minum dan berkumpul semula.

Cerita sama disuarakan Sarjan Mamat. Mereka semua sudah masak dan faham perangainya dan hanya mendengar dalam keadaan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja. Memang menyampah apabila dengar orang cakap banyak atau cakap besar, lebih-lebih lagi dalam sesuatu organisasi atau jabatan atau kementerian, tidak kiralah ia dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.

Berjela-jela bercakap sampai ada ketika tersembur makanan apabila berbual. Selalunya sikap orang begini diterjemahkan apabila ada duit lebih atau pangkat tinggi sedikit daripada orang lain yang mendengar cerita atau memang hobinya sejak zaman dulu lagi. Hendak dibangkang nanti tak berbabloi, bergaduh pula. Hendak diangguk tanda setuju meluat pula rasanya dalam hati terbakar menahan kepedihan dan kesengsaraan akibat kesombongan dan keangkuhan diceritakannya.

Apa bezanya cakap banyak dan cakap besar? Apa yang penulis tahu, ramai orang tidak suka orang bercakap banyak dan cakap besar. Ramai orang berpendapat, orang yang cakap banyak ini mempunyai akhlak buruk dan buruk perangai... tak boleh simpan rahsia dan mudah menyakiti perasaan orang lain.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada pendapat dan pengalaman masing-masing untuk mengkategorikannya kerana orang yang cakap banyak ini biasanya mulut celupar. Namun, sudah pasti juruhebah atau deejay radio dan pengacara televisyen tidak boleh dilabel bercakap banyak kerana sudah memang kerjaya mereka untuk bercakap dan menghiburkan orang ramai.

Begitu juga dengan penceramah atau berpolitik, kelompok sedemikian tidaklah dikira bercakap banyak kerana sudah memang kerja mereka untuk bercakap banyak. Bagi penulis, kategori bercakap banyak adalah orang yang kuat berleter pagi petang siang malam, orang suka mencaci, mencerca orang lain dan menjaga tepi kain orang lain.

Kegemarannya mencari kelemahan orang lain, menyebabkan aib, mengkritik dan memberikan komen-komen negatif terhadap kerja orang lain. Ada sesetengah orang, orang cakap banyak hebat mengkritik, melihat kesalahan orang lain, tetapi tak mampu memikul tanggungjawab apabila diamanahkan kerana kepandaiannya hanya mengkritik dan memberi komen sahaja.

Kalau kita lihat kebelakangan ini, memang ramai pandai memberi komen, mengkritik terutama dalam krisis pandemik Covid-19 sekarang, padahal mereka tidak melakukan apa-apa kecuali bercakap sahaja.

Semoga kita dijauhi daripada kategori itu kerana orang yang bercakap banyak ni kadang-kadang mahu orang nampak dia macam orang pandai dan mahu menarik perhatian. Bagaimana pula orang dikategorikan sebagai cakap besar? Jika mengikut takrifan umum, orang bercakap besar ini dikatakan berlagak, sombong, riak, takbur dan suka bermegah-megah serta menunjuk-nunjuk tentang kehebatan dirinya walaupun tidak ada kebenaran.

Pada pandangan penulis, orang yang suka bercakap besar ini mempunyai perangai serta akhlak buruk kerana suka menipu orang lain dan dirinya. Kalau dalam politik, kita boleh nampak bagaimana orang yang suka cakap besar ini menipu pengundi dan penyokongnya dan kalau dalam organisasi sama ada sektor awam atau swasta, ramai yang cakap besar di hadapan pihak pengurusan atasan dan rakan, berlagak dan riak.

Kalau dalam masyarakat umum, orang yang bercakap besar mudah diperlihatkan melepak di kedai kopi dan gerai tak kira waktu. Orang cakap besar kadang-kadang digelar tong kosong kerana biasanya tong kosong akan lebih kuat berbunyi berbanding tong penuh.Apabila melakukan sesuatu dialah yang paling terhebat di seantero nusantara, namun apabila diberi amanah semuanya hanyalah lakonan semata-mata kerana dia tidak mempunyai ilmu serta kemahiran untuk mengurus.

Bagi penulis, orang yang cakap banyak atau cakap besar ini kedua-duanya memberi impak negatif kepada individu, kumpulan dan organisasi. Ini kerana kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu hanya pandai bercakap tetapi kurang ilmu pengetahuan dan kurang kemahiran. Ilmu dan kemahiran sedikit dimiliki mereka diolah kononnya menjadi gedung besar, tetapi isinya kosong.

Lalu sesiapa yang terpengaruh, termakan dengan kata-kata orang dalam kedua-dua kategori ini akan mengalami musibahnya. Padahal kedua-dua jenis manusia ini memang inginkan perhatian dan penakut kepada bayang-bayang sendiri sehingga mencipta atau mereka sesuatu untuk mengalih perhatian serta pandangan orang lain.

Kesimpulan, selamilah peribahasa 'cakap berdegar-degar, tumit di keting' yang bermakna banyak mulut, tetapi penakut. Atau 'cakap berlauk, makan dengan sambal lada' bermakna cakapnya seperti orang berada, padahal hidupnya serba kekurangan. Banyak lagi peribahasa yang menceritakan mengenai orang jenis bercakap banyak dan bercakap besar ini.

Buat semua anggota polis di luar sana, juga pesan saya untuk diri sendiri, usah sesekali kita bercakap banyak atau bercakap besar dalam penugasan harian. Ingatlah kita adalah pemudah cara bagi kerajaan yang ada dengan tujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat. Semoga semua tugas kita dengan niat ibadah dan mendapat keredaan Allah SWT.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:01 AM