ALIFF  meraih markah tertinggi, Adibah di tempat kedua dan Fazley (kanan)  menduduki tangga terakhir pada  minggu pertama Gegar Vaganza musim kelapan.
ALIFF meraih markah tertinggi, Adibah di tempat kedua dan Fazley (kanan) menduduki tangga terakhir pada minggu pertama Gegar Vaganza musim kelapan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Program popular Gegar Vaganza yang dinanti-nantikan ramai peminat kini sudah membuka tirainya. Malah, untuk minggu pertama Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) lagi sudah berjaya menjadi trending dalam kalangan penonton.

Ini keistimewaan program nyanyian Gegar Vaganza. Bukan sekadar peminat terhibur dengan persembahan artis, malah juga 'drama' antara dua pengacaranya Nabil Ahmad dan Jihan Muse dengan juri tetap, Datuk Ramli MS.

Penulis mengakui ada pro dan kontra apabila Gegar Vaganza diteruskan untuk musim ke-8. Segelintir masyarakat mempertikaikan penganjuran program hiburan begini yang dianggap melalaikan di saat sebahagian kita diuji dengan kesusahan akibat hilang pekerjaan dan kesedihan akibat kematian ahli keluarga akibat Covid-19.

Bagaimanapun, kita perlu sedar sampai bila mahu berterusan hidup dalam ketakutan kerana setiap orang perlu aktif bergerak untuk mencari rezeki.

Kerajaan menerusi kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui bahawa sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk menerima kenyataan bahawa Covid-19 akan berada dalam kalangan masyarakat.

Kita perlu belajar hidup dengan virus berkenaan. Meminda panggilan pandemik kepada fasa endemik, kerajaan kini mula membuka pelbagai sektor pekerjaan termasuk industri hiburan secara berperingkat-peringkat.

Jika ada yang beranggapan program berbentuk hiburan membawa budaya negatif, pernahkah mereka terfikir bagaimana orang-orang di dalamnya mahu mencari rezeki sedangkan ini saja kemahiran yang mereka ada.

Mereka perlu memanfaatkan kelebihan yang dianugerahkan Allah ini untuk mencari rezeki halal untuk keluarga. Asalkan, apa yang dibuat bukan menyalahi peraturan yang ditetapkan.

Lagipun menerusi laporan berita sebelum ini, tidak pernah berlaku jangkitan Covid-19 secara serius dalam kalangan penggiat seni akibat penggambaran dan sebagainya. Kalau ada pun hanya satu atau dua kes terpencil.

Berbalik kepada GV8, barisan 13 peserta musim ini tidak kurang hebatnya apabila menampilkan Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk, Aliff Aziz, Adibah Noor, Ani Mayuni, Suki, Nikki, Saiful Apek & Yassin Yahya (SAYa), Nico dan Upiak Isil.

Penulis percaya ramai dalam kalangan penggiat seni sendiri teruja apabila melihat Gegar Vaganza kembali dimeriahkan dengan kehadiran penonton terpilih yang mewakili kelab peminat setiap peserta yang bertanding.

Mengambil kira apa yang berlaku dalam kontroversi rancangan All Together Now Malaysia sebelum ini, penganjur Astro mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) rancangan yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu ini.

Kita dapat melihat hanya empat orang yang berada di atas pentas pada satu masa bagi mematuhi syarat ditetapkan.

Malah, ketika segmen Ada Lagu Ada Lagi, hanya empat peserta akan bergilir-gilir berada atas pentas bagi mematuhi SOP.

Ternyata Astro tidak mengambil mudah kebenaran yang diberikan bagi memastikan program kegemaran rakyat Malaysia ini kekal diterbitkan tanpa masalah.

Kita juga dapat menyaksikan persembahan setiap peserta yang berusaha memberikan nyanyian terbaik buat peminat. Maklum sahaja ada yang sudah lama tidak beraksi di depan penonton.

Ia menyaksikan Aliff Aziz menduduki tempat tertinggi menerusi markah yang diberikan Ramli dan dua juri lain iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Tempat kedua milik Adibah Noor, ketiga Bandi Amuk dan diikuti Nikki Palikat, Aweera, Suki Low, Saiful Apek & Yassin (SAYa), Shidee, Upiak Isil, Ani Maiyuni, Azan Scan dan Nico.

Agak malang buat Datuk Fazley Yaakob apabila menduduki tangga terakhir. Dia bagaimanapun, menyedari kelemahannya dan memohon maaf kepada peminat yang hampa dengan persembahannya.

Fazley memberitahu dirinya mengalami perasaan gementar selepas sekian lama tidak menyanyi atas pentas dan sedikit emosi kerana teringatkan anak-anaknya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku mengundang kecaman beberapa pihak termasuk seorang selebriti yang dikenali dengan kisah kontroversi.

Kata-katanya dilihat agak keterlaluan dan tidak wajar dikeluarkan.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:01 AM