GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Memandu sambil menguatkan volume radio mendengar celoteh tiga penyampai stesen radio pada awal pagi menuju ke tempat kerja seorang diri. Diselangi pula lagu lama, membuatkan penulis tersenyum dan sesekali tertawa.

Mungkin pemandu di sebelah kehairanan melihat penulis tersengih sendirian apabila berhenti di lampu isyarat. Pada hujung perkhidmatan, bangun tidur selepas solat Subuh, terasa malas untuk ke tempat kerja. Menggeliat semacam, maklumlah setiap hari melakukan perkara hampir sama.

Dari rumah ke pejabat dan pulang ke rumah dan jika ada kerja lagi, terpaksa ke pejabat semula. Sudah naik tepu melakukan rutin sama, rasa bosan, malas dan macam-macam lagi boleh termasuk ke dalam jiwa.

Mungkin orang lain turut berdepan dan merasai perkara sama untuk sampai ke tempat kerja sambil berangan-angan menjadi kaya. Apa-apa pun, begitulah kehidupan perlu diteruskan demi mencari sesuap nasi mencari rezeki untuk anak isteri serta keluarga tersayang. Kita semua ada rasa malas.

Malangnya, kadangkala rasa malas itu datang pada waktu tidak sepatutnya, sewaktu kita mempunyai masa untuk bekerja sebagaimana orang lain sehingga rasa malas itu akan membuatkan kita menangguhkan kerja. Persoalannya, bagaimana boleh mengatasi rasa malas? Malas hendak bekerja dan mencari fokus dengan lebih baik?

Ini penting kerana kehidupan kita singkat dan terhad. Pada masa sama, kita bukanlah robot untuk bekerja setiap masa dan menghabiskan masa dalam keadaan sentiasa takut dan tergesa-gesa menyiapkan kerja. Ini bukanlah cara baik untuk menghabiskan hidup. Sebenarnya kita boleh atasi sikap itu. Kita boleh belajar menguruskannya dengan ketenangan dan penuh kesedaran.

Bagi melakukan perkara itu, kita perlu tingkatkan azam untuk kembali dengan penuh berani dalam menguruskan rasa malas untuk bekerja.

Biar penulis jelaskan dengan mudah. Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan malas untuk bekerja atau menangguhkan kerja, misalnya kerana takut dan ragu-ragu, tidak tahu apa yang perlu dibuat, berada dalam keadaan kucar-kacir dan kelihatan teruk, kerja sangat sukar serta langsung tidak selesa.

Secara fitrah, sifat manusia memang hanya mahukan perkara menyenangkan sahaja dalam kehidupan, berangan-angan untuk menjadi kaya walaupun usaha tak seberapa. Mahukan sesuatu yang besar imbuhannya dengan kerja paling kurang. Mahukan kerja sedikit dan banyakkan rehat serta melepak dengan membuat kerja disukainya sahaja.

Kita cuba untuk fokus, tetapi secara tiba-tiba hati tergerak untuk melakukan perkara lain disebabkan menumpukan fokus adalah sesuatu memang tidak selesa. Minda sangat sukakan keselesaan, benci terhadap rasa tidak selesa dan akan sentiasa mencari jalan keluar ke arah keselesaan setiap masa, jika kita membiarkannya. Itulah sebabnya mengapa kita malas dan menangguhkan kerja. Jadi, bagaimana boleh mengatasi masalah ini? Akal kita memang nakal, nafsu pula memang culas.

Minda selalu akan mencari jalan untuk lari ke perkara seronok dan selesa dan selalunya semua tidak sedar perkara ini terjadi. Hati selalu tergerak untuk beralih arah dan minda menurut kata hati dengan segera. Langkah berikut boleh membantu:

1. Selalu berlatih

Lakukan sesuatu perkara tak boleh ditangguh pada setiap hari. Pilih satu tugas penting (apa-apa sahaja tugas - paling bagus bila anda sedang dalam keadaan malas). Tetapkan masa lima hingga 10 minit jika anda rasa yakin. Jangan lakukan benda lain selain daripada tugasan itu dalam masa lima minit.

2. Jangan biar diri kita bertukar arah

Buang semua gangguan dan jangan buat benda lain selain daripada tugas kita. Hanya buat satu tugas. Apabila mendapat gesaan untuk buat benda lain, sila awasi dengan perkara itu. Jangan mengikut gesaan hati itu. Kita akan berasakan satu gesaan yang hebat tapi tidak mengikutnya. Bolehkah ia dibayangkan?

3. Bertahan dengan godaan

Duduk diam dan selami rasa godaan itu. Kenal pasti ketakutan atau ketidakselesaan kita terhadap tugasan yang dihadapi. Rasakan kebosanan, ketidakselesaan, derita, keliru dan segala yang datang. Cuba bertahan dan ambil tahu dengan setiap apa yang dirasakan. Bagaimana berasakan perubahan dalam tubuh kita?

4. Kembali sambung tugas

Selepas bersabar sebentar dengan godaan dan ketidakselesaan, insya-Allah perasaan itu akan hilang. Maka boleh kembali untuk menyambung tugas. Apabila tidak menggaru gatal maka rasa gatal bukanlah satu masalah besar buat kita. Dengan melakukan perkara ini setiap hari, kita akan membina kekuatan dalam diri bahawa kita akan okey...jika kita tidak menggaru gatal itu.

Kita sebenarnya mampu mengawal perasaan itu tanpa tewas. Kita akan mampu mengendalikan rasa tidak selesa ketika menjalankan tugas sukar dan ini satu kejayaan. Bagaimana untuk mencari fokus? Adalah sukar fokus kepada satu perkara sahaja.

Sama ada ingin fokus untuk menulis laporan pejabat, menulis buku, melukis atau fokus untuk membaca dan membuat kerja selainnya seperti tugasan dalam sektor perkilangan serta pembuatan. Fikiran pasti tergerak sendiri bertukar ke arah perkara lain. Semua orang boleh fokus pada permulaannya, tetapi untuk kekal fokus sehingga akhir, itu yang tidak ramai boleh buat.

Dalam sesi menentang rasa malas yang dibincangkan ini, kita memperkatakan cara untuk kekal fokus dalam satu perkara. Sebagai tambahan, ini ada beberapa lagi tip yang boleh dilakukan. Solat latihan terbaik untuk belajar fokus. Solat akan memberi motivasi terbesar buat kita.

Perkara sedang kita fokus sepatutnya tidak hanya bagus untuk dibuat, tetapi patut memberi makna mendalam kepada kita. Cuba fokus dan selami setiap bacaan serta menghayati setiap detik solat kita. Jika minda selalu terawang-awangan semasa solat, sekarang tiba masanya untuk berlatih fokus dan solat dengan khusyuk. Insya-Allah jika kita bagus pada solat, kita akan bagus pada perkara lain nanti.

Insya-Allah, kita akan sama-sama menempuh kerja walaupun dengan rasa malas dan berat hati. Kehidupan perlu diteruskan. Kita perlu bersyukur masih mempunyai kerja berbanding orang lain masih terkial-kial mencari pekerjaan.

Berbekalkan rasa syukur itu, insya-Allah dapat menguatkan semangat meneruskan kehidupan untuk satu rezeki halal demi keluarga tercinta. Kita akan dapat mengecapi kemanisannya dan ingatlah, kerja itu satu ibadah.


Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:00 AM