TIDAK ada kompromi dalam pematuhan SOP untuk mengekang Covid-19.
TIDAK ada kompromi dalam pematuhan SOP untuk mengekang Covid-19.
Mohd Zaini Othman

JUMLAH kenderaan di jalan raya bertambah secara mendadak, hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama mulai meriah dengan persinggahan pengguna untuk menjamu selera, lokasi tumpuan untuk percutian, melancong dan rekreasi mula dipenuhi pengunjung.

Suasana ini seperti sudah boleh 'dibaca awal' apabila kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri mulai 11 Oktober lalu di seluruh negara. Pengumuman yang sekian lama dinanti Keluarga Malaysia pada tahun ini dan keterujaan mendengar pengumuman itu bagi penulis lebih hebat 'sambutannya' berbanding pengumuman Aidilfitri pada Mei lalu.

Dalam keterujaan merancang pelbagai rencana merentas negeri sama ada pulang ke kampung halaman menziarahi orang tua yang sekian lama dirindui atau membawa keluarga menikmati keindahan alam semula jadi mahupun berliburan bersama teman setelah sekian lama terperuk di rumah setiap kali hujung minggu, ingat satu perkara - Covid-19 masih ada! Ini kerana sudah dapat dilihat ada dalam kalangan kita yang nampaknya mula leka dan alpa bahawa Covid-19 masih ada di sekeliling kita.

Pakar kesihatan menegaskan virus ini masih tetap berbahaya kepada individu yang sudah lengkap divaksin, apatah lagi yang belum menerima hatta satu dos sekalipun atas sebab kesihatan atau menolak mentah-mentah dek terlalu percaya pada segala teori konspirasi. Sudah terbukti di depan mata virus ini boleh meragut nyawa dalam tempoh singkat dan pastinya kematian bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng.

Sehingga rencana ini ditulis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes kumulatif jangkitan Covid-19 berjumlah 2,420,222 kes dengan kumulatif kes yang sembuh pula ialah 2,311,213 kes atau bersamaan 95.5 peratus. Sesuatu yang agak melegakan khususnya buat petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan utama kita sejak kes pertama jangkitan dilaporkan dahulu ialah apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan angka jangkitan Covid-19 di seluruh negara secara keseluruhannya mencatat trend penurunan dengan jumlah kumulatif kes berkurangan sebanyak 17.9 peratus. Bagi penulis, ada sedikit ruang kini untuk petugas kesihatan kita melepaskan lelah dan bertenang selepas negara dibadai gelombang ketiga penularan Covid-19 sebelum ini.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin pada masa yang sama turut berkongsi kebimbangan KKM terhadap indikator awal dan trend kemasukan ke hospital di beberapa negeri agak membimbangkan selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan. Selaku Menteri yang menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan untung nasib dan jatuh bangun negara melawan Covid-19 ketika ini, ingatan kepada masyarakat supaya tidak leka serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 sentiasa menjadi nasihat yang kerap beliau tekankan dari semasa ke semasa.

Oleh itu, apabila terkini beliau memberi teguran 'sayang' menggesa rakyat Malaysia terutama ahli politik untuk terus memakai pelitup muka di tempat awam ia perlu diambil secara positif oleh semua pihak.

"Semakin ramai rakan setugas saya dilihat dalam gambar bermesyuarat tanpa memakai pelitup muka. Ramai ahli politik menghidapi kencing manis, hipertensi dan mungkin obes. Kalau anda dijangkiti Covid-19, walaupun sudah divaksin, ia tak akan menjadi pengalaman yang menyenangkan," tulis Khairy
di Instagram Stories.

Ahli politik adalah pemimpin kepada masyarakat dan pada masa sama menjadi teladan serta perhatian daripada masyarakat untuk menilai bagaimanakah tingkah laku pemimpin mereka dalam menterjemahkan agenda negara untuk dijadikan ikutan. Antara agenda utama kerajaan kini seperti kita semua ketahui ialah mendidik masyarakat menjaga SOP dan menjadikannya rutin dalam kehidupan norma baharu sebagai persiapan ke fasa endemik kelak. Penulis berpandangan teguran yang dibuat Khairy Jamaluddin mempunyai merit atas kapasitinya sebagai seorang menteri dan seorang ahli politik kerana kita tidak mahu keadaan ibarat si ketam mengajar anak berjalan lurus atau menepuk air di dulang akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Ini juga bagi mengelakkan timbulnya persepsi dwistandard, pilih bulu, 'kowtim' dan apa sahaja terma negatif lain yang menjadi perbualan dan topik hangat dalam kalangan masyarakat terhadap isu penguatkuasaan kesalahan serta hukuman terhadap ahli politik mahupun rakyat apabila mereka melanggar dan tidak mematuhi SOP Covid-19. Penulis menyarankan pemimpin dan ahli politik agar terus menunjukkan teladan yang baik dalam membendung penularan virus ini melalui pematuhan SOP yang sempurna kerana penulis menganggap ini juga satu 'perjuangan' untuk kepentingan rakyat.

Pada akhirnya semua bermula daripada diri kita sendiri untuk mengelakkan Malaysia dilanda gelombang keempat penularan Covid-19 selepas ini kerana sudah ada contoh negara luar yang kembali bergelut dengan pandemik ini walaupun kadar vaksinasi rakyatnya sudah tinggi, puncanya adalah akibat sikap leka dan lalai.

Penulis Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:59 AM