PRODUKSI penggambaran perlu patuh SOP bagi mengelak penularan Covid-19.
PRODUKSI penggambaran perlu patuh SOP bagi mengelak penularan Covid-19.
Rencana

Pejam celik, kita sekarang sudah menjengah ke pertengahan Oktober. Namun, banyak yang indah boleh disifatkan bulan ini terutama kes jangkitan Covid-19 semakin berkurangan dan kita semua sudah dibenarkan merentas negeri sejak kelmarin.

Ramai yang mengambil peluang balik ke kampung untuk melepas rindu yang sudah sarat dengan ibu bapa selepas lebih setengah tahun duduk di rumah dan bekerja pun rata-ratanya dari rumah.

Penangan Covid-19 pada tahun ini berbanding tahun lalu agak mencabar. Apatah lagi, peningkatan kes tinggi dicatat setiap hari walaupun pernah ketika itu dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Apapun, dengan pembabitan rakyat menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak 24 Februari lalu, hasilnya kini mula menampakkan ada 'sinar baharu' buat kita semua dalam membiasakan kehidupan bersama Covid-19, dengan harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagi industri hiburan tanah air, didapati sudah mula dirancakkan dengan aktiviti terutama penggambaran. Malah, secara tidak langsung penggiat seni sudah mula boleh bekerja untuk mencari pendapatan bagi menyara kehidupan.

Pun begitu, tetap ada perkara kurang enak sudah tersebar antaranya berkenaan antivaksin, gagal patuh SOP dan terjerat penyalahgunaan dadah.

Selepas berbulan-bulan PKP dan tidak bekerja, apabila diberi kelonggaran ini pula jadinya.

Melihatkan senario yang berlaku dalam industri ini, terdetik juga di fikiran mengapa tidak bersyukur? Diberi vaksin percuma, tetapi ada juga segelintir penggiat seni menolak dengan pelbagai alasan. Tak mengapalah, itu hak dan pilihan masing-masing.

Tapi, bila nak bekerja tahu pula kena dapatkan sijil vaksin walaupun terpaksa 'menipu' kononnya sudah terima dua dos lengkap. Tidak hanya itu, difahamkan juga ada pihak produksi diam-diam memberi tawaran kepada mereka yang tidak divaksin.

Niat hendak membantu itu bagus, namun harus berpada-pada dan perlu telus. Memang rezeki daripada Allah, tapi perlu juga ingat apabila niat disalah guna, cerita tolak vaksin yang belum reda, kini timbul pula kisah berlaku kes jangkitan di lokasi penggambaran.

Siapa pula nak ditudingkan jari? Dengar kata, ada segelintir penggiat seni 'panas hati' dengan media kerana sudah melaporkan berita sebegini.

Cuba ambil serius, Covid-19 bukan penyakit yang boleh dipandang sambil lewa, umpama baling batu, sembunyi tangan.

Covid-19 ini lebih baik mencegah sebelum kena. Tidak kisahlah sudah divaksin atau belum, tapi hakikatnya wajar sentiasa dicegah. Justeru, patuh dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jujur berkongsi maklumat dengan Kementerian Kesihatan.

Ini adalah antara usaha menyelamatkan nyawa. Memang fitrah manusia pun, kita semua akan mati tetapi jangan menzalimi diri apabila ada solusi yang patut diikut sebagai langkah keselamatan, tapi tidak diendah hanya kerana mempertahankan ego sendiri.

Dengan beberapa isu yang timbul ini, saya juga ada bersembang dengan seorang rakan penggiat seni bertanyakan pandangannya mengenai insiden tercetusnya jangkitan di lokasi penggambaran. Katanya, ia boleh dikatakan satu kesilapan.

Begitu juga dengan kes membabitkan penyalahgunaan barangan terlarang seperti dadah yang sering menjerat penggiat seni, tidak kiralah pelakon, pengarah, penolong pengarah, kru produksi, penyanyi, pelawak, pengacara dan sebagainya, ini suatu yang bersifat peribadi dalam diri.

Ahad lalu, polis menahan pelakon, Niezam Zaidi; pengarah Mohd Latiff Zami dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail atas kesalahan dadah selepas membuat serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak.

Semalam, ketiga-tiganya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas tuduhan memiliki dadah.

Cukup mengejutkan kerana keberadaan mereka di negeri itu dikatakan untuk aktiviti penggambaran.

Sekali lagi, apa nak jadi? Datang untuk bekerja, namun terbabit aktiviti tidak sepatutnya.

Kata rakan saya yang juga seorang pengarah itu, isu berkaitan dadah pada kalangan penggiat seni adalah 'personal.'

"Kalau isu membabitkan jangkitan Covid-19 berlaku di lokasi, itu kesilapan. Maknanya, tak jaga SOP. Manakala, isu dadah pula ia peribadi. Itu adalah kehendak peribadi untuk keseronokan peribadi. Tapi, berlaku ketika dalam urusan kerja dan kesannya terkait juga dengan produksi.

"Saya nak cakap banyak pun tak tahu situasi sebenar. Malah, agak serba salah sebab mereka yang kena tangkap itu saya kenal kerana sesama penggiat industri. Pelakon lelaki terbabit, dia pertama kali masuk ke dalam industri pernah bekerja dengan saya. Sentimental," katanya.

Untuk berbicara mengenai setiap situasi berlaku ini tidak mudah. Cuma, apapun kita perlu ambil iktibar dan jadikan sempadan. Ibarat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata atau perbuatan buruk padahnya.

Dalam hidup ini ada pilihan, dan untuk itu kita kena tahu memilih yang betul.

Apapun, dengan budi bicara kelonggaran diberikan ini, kita semua gunakan sebaik mungkin.

Pada yang sudah berada di kampung, kekalkan menjaga SOP kerana keselamatan buat semua ahli keluarga terletak di tangan kita. Hati-hati selalu!

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:00 AM