FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2 yang dibentangkan baru-baru ini menarik perhatian khalayak apabila merekodkan pelbagai kelemahan dalam sistem perolehan dan tadbir urus dana awam. Bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti melalui proses pembetulan serta penambahbaikan, sebanyak 130 syor sudah dikemukakan, iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk tindakan.

Antara hasil dapatan audit yang menarik perhatian masyarakat ialah, sistem uCustoms bernilai RM317.78 juta yang dibangunkan untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dua bulan walaupun selepas lima kali lanjutan masa (EOT) diberikan serta sudah dibayar hampir RM273 juta kepada syarikat terbabit.

Penemuan ini disifatkan sebagai pembaziran tertinggi terutamanya apabila bayaran dibuat untuk sesuatu projek, namun gagal disiapkan. Sistem uCustoms adalah antara 25 isu bersifat punitif yang memerlukan siasatan lanjut pihak berkuasa bagi melihat apa sebenarnya yang berlaku dan di mana punca kelewatan ini.

Antara kelemahan lain yang turut membimbangkan ialah, maklumat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diklasifikasikan sebagai mandatori, tidak disimpan dengan lengkap dalam sistem utama iJPN. Ini antara lain mengakibatkan sebanyak 59,946 data kad pengenalan mempunyai perbezaan antara tarikh lahir dengan kombinasi enam digit dalam nombor kad pengenalan. Bukankah ini bakal menimbulkan masalah kepada individu yang terbabit ketika melakukan urusan rasmi menggunakan nombor kad pengenalan?

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama pelbagai kelemahan seperti ini dikenal pasti oleh pihak audit negara kerana hampir setiap tahun hasil penemuan audit masih menceritakan skrip yang sama ataupun berulang. Justeru, timbul persoalan di mana silapnya atau apa punca utama? Adakah ia disebabkan oleh kelemahan dan kecuaian manusia yakni pegawai yang terlibat ataupun hasil kelemahan sistem dan prosedur yang sedia ada.

Lazimnya antara punca utama segala kelemahan yang berlaku ialah disebabkan oleh kecuaian dalam kalangan pegawai mematuhi prosedur atau peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, kurang teliti semasa merancang sesuatu projek mahupun ketika menetapkan skop serta spesifikasi tender selain tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor/vendor/perunding.

Maka apa yang dihasratkan ialah, di samping pihak berkuasa menyiasat kelemahan yang dikenal pasti, laporan ini akan membuka mata semua pihak untuk lebih serius, berhemah dan berhati-hati dalam menguruskan wang rakyat. Tatkala kita sedang berhadapan krisis ekonomi yang serius serta kekangan kewangan, perkara seperti ini tidak boleh dikompromi atau dibiarkan berlarutan.

Justeru, disyorkan semua jabatan kerajaan dengan segera merangka pelan tindakan pembetulan dan pencegahan yang efektif secara komprehensif dan menyeluruh. Sebagai permulaan, atasi dan tangani terlebih dahulu segala kelemahan yang telah dikenal pasti dengan penuh bertanggungjawab sebagai langkah dan tindakan pembetulan dengan segera. Jangan biarkan kelemahan ini berterusan sehingga merugikan semua pihak.

Pada masa sama, sebagai langkah jangka panjang dan tindakan pencegahan setiap ketua jabatan perlu memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Untuk itu proses pemantauan dalaman perlu diperkukuhkan. Tidak perlu setiap tahun kita menunggu pihak audit negara untuk memantau kerja kita sebaliknya setiap agensi patut ada sistem pemantauan sendiri yang efektif dan boleh mengenalpasti segala kelemahan serta ketirisan yang berlaku pada setiap peringkat pelaksanaan sesuatu aktiviti mahupun projek supaya langkah intervensi dan pembetulan dapat terus diambil dengan segera. Ini pasti dapat meminimumkan permasalahan yang lebih serius dan besar.

Hakikatnya setiap kelemahan dan ketirisan yang berlaku mengakibatkan pembaziran dan kerugian wang ringgit mahupun peningkatan kos yang tinggi. Ini jelas merugikan rakyat dan negara apatah lagi kelemahan ini merencatkan dan melambatkan segala manfaat yang patut dinikmati oleh rakyat terutamanya golongan sasar yang telah ditetapkan. Misalnya, kelewatan dalam penyiapan sesuatu projek akibat kelemahan dan kecuaian kita pastinya merugikan kumpulan sasaran yang terlibat di samping meningkatkan kos pembinaan.

Ironinya, kerajaan baru saja membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun ini hingga 2025 dengan peruntukan RM400 bilion bagi tujuan membiayai projek sambungan dan projek baharu, dan sudah semestinya kita tidak mahu segala kelemahan yang ada tidak berterusan sehingga mengganggu pelaksanaan dan kejayaan RMK-12 itu.

Dalam konteks ini, penjawat awam perlu menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan semua strategi dan inisiatif di bawah RMK-12 dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Justeru, terimalah teguran audit dengan hati yang terbuka dan pemikiran yang positif sebagai komitmen dan manifestasi untuk memperbaiki kelemahan.

Hakikatnya pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat banyak disandarkan di bahu penjawat awam. Maka buktikan kepada semua kita mampu menunaikan harapan itu berpaksikan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab yang tinggi. Kita tidak mahu jabatan kerajaan terus dilabel tidak efektif hanya kerana tindak tanduk segelintir pegawai yang gagal menghayati nilai-nilai murni itu.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:00 AM