Dr Nor Hazrul Mohd Salleh & Dr Wan Rohani Wan Mokhtar

Kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan luar biasa sejak merebaknya Covid-19. Sebuah akhbar tempatan melaporkan kes perceraian mencecah 77,786 kes sepanjang tempoh pandemik. Jumlah itu sangat membimbangkan berikutan perceraian memberi kesan negatif terhadap kehidupan semua pihak dalam institusi rumah tangga.

Sama ada di pihak pasangan suami isteri, anak mahupun keluarga di kedua-dua belah pihak. Manusia dijadikan berpasangan untuk saling melengkapi supaya dapat merasakan cinta yang indah.

Dengan berpasangan manusia menjalani hidup lebih sempurna kerana pasangan melengkapi kehidupan dan menutupi kekurangan diri serta melahirkan zuriat sebagai penyambung tugas khalifah di bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki daripada yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batin dan mengingkari nikmat Allah?" (Surah al-Nahl, ayat 72)

Tidak dapat dinafikan nikmat berpasangan ini perlu dikekalkan kerana kehidupan berpasangan membuahkan ketenangan. Perkahwinan juga membuatkan manusia lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal ibadah.

Begitulah sebaliknya perceraian memberi kemusnahan terhadap kehidupan sama ada kepada individu, keluarga mahupun masyarakat. Oleh itu, Islam tidak menggalakkan perceraian, malah perceraian adalah perkara paling tidak disukai oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: "Halal yang paling dibenci Allah adalah talak (perceraian)." (Riwayat Abu Daud)

Tuntasnya, dalam perkahwinan pasti ada masalah yang dihadapi oleh pasangan. Bezanya, bagaimana cara setiap pasangan menangani masalah. Ada pasangan menghadapi masalah dalam hubungan rumah tangga dan tidak dapat meneruskan hubungan itu dan berakhir dengan perceraian.

Ada juga pasangan yang dapat menyelesaikan masalah serta meneruskan hubungan kekeluargaan setelah melalui liku pelbagai. Masalah dalam perkahwinan ini berpunca daripada pelbagai punca sama ada masalah kewangan, sikap mahupun masalah lain.

Tiada siapa boleh menjamin keharmonian rumah tangga. Pasangan yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama berkahwin tidak semestinya tidak akan berakhir dengan perceraian. Jadi, sebelum berlaku perselisihan dan keretakan, berhati-hatilah menjalani kehidupan berpasangan dan wujudkan sikap positif yang mengawal gelombang dalam keluarga.

Antara sikap positif suami isteri sebelum menghadapi masalah rumah tangga ialah wujudkan sikap empati terhadap pasangan untuk mengelak keretakan yang membawa perceraian.

Empati mengikut Kamus Dewan ialah menempatkan diri pada posisi orang lain serta merasai atau menyelami apa yang dirasainya. Apabila sikap empati terhadap orang lain wujud, mereka merasai apa sahaja yang dirasai pasangannya sama ada sedih, marah, dan kecil hati.

Memang tidak mudah bersikap empati, tetapi jika mampu diwujudkan dalam diri individu yang berkahwin, pasti akan menyelesaikan banyak masalah. Sikap empati akan menukar sangkaan buruk menjadi baik dan mengubah pandangan negatif terhadap orang lain jadi positif.

Jika sikap empati ini ada pada individu yang mempunyai pasangan serba kekurangan, pasti tanggapan negatif terhadap pasangan dapat dikurangkan seterusnya meredakan rasa marah, benci dan tidak puas hati.

Banyak faktor menyebabkan perceraian, termasuk faktor ekonomi. Kita sering mendengar isteri memfailkan perceraian di mahkamah kerana suami tidak memberi nafkah. Tidak kurang juga ada suami atau isteri curang terhadap pasangan sehingga membawa perceraian.

Jika sikap empati ada pada seorang yang mempunyai pasangan yang menganggur atau kehilangan kerja atau pasangan yang kurang berjaya, pasti individu itu akan merasai pahitnya kehilangan pekerjaan atau gagal dalam kehidupan.

Apabila perasaan ini dikongsi bersama tentunya rasa marah, benci dan tidak puas hati akan berkurangan dan seterusnya muncul pula usaha untuk sama-sama bangkit menyelesaikan masalah.

Sikap negatif yang boleh menyebabkan perceraian seperti curang juga mungkin tidak wujud jika pihak yang curang cuba menghargai pasangan serta bersikap empati dan memahami perasaan pasangan serta menyelami duka dan perih.

Selain itu, perceraian ada ketikanya berpunca daripada perbalahan berikutan rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Jika rasa tidak puas hati itu diteliti puncanya dan cuba merasa empati terhadap pasangan, pasti perbalahan tidak berlaku. Oleh itu, sikap empati harus dimiliki kedua-dua pihak kerana ia mewujudkan sikap saling memahami, saling merasai kepahitan, kesedihan dan keresahan pihak lain.

Apabila sifat empati wujud, kuranglah perkara negatif seperti marah, bertengkar dan sebagainya dalam rumah tangga kerana masing-masing menyedari akibat dan implikasi kelakuan negatif terhadap pihak lain.

Islam mengajar umatnya bersifat empati. Rasulullah SAW mengajar supaya saling mengasihi, mencintai serta memahami antara satu sama lain. Hal ini terdapat pada sabda Nabi SAW: "Perumpamaan orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh sakit, seluruh tubuh juga akan merasakan sakit dengan tidak mampu tidur dan demam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Benarlah bahawa sikap empati ini jika wujud pada diri sama ada isteri mahupun suami, ia menambahkan kasih sayang dan timbang rasa. Seterusnya lahir perasaan rahmah dan mawaddah.

Tidak mudah memupuk sikap empati bagi menyuburkan cinta dan kasih sayang antara pasangan. Namun, sebelum terlambat, perbaikilah diri kerana untuk mengekalkan hubungan tidak semestinya perlu ada ciri-ciri hebat dan romantik. Cukuplah sekadar saling hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain, sentiasa empati dan bersikap terbuka.

Penulis Pensyarah Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 6:15 AM