FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syarifah Dayana Syed Bakri

Ketika awal pandemik Covid-19 dikesan hampir dua tahun lalu, kita bimbang memikirkan bagaimana virus itu menjangkiti manusia. Pelbagai tip dan petua kita amalkan untuk pastikan diri dalam keadaan sihat sentiasa.

Selepas munculnya vaksin, kita menarik sedikit nafas lega kerana akhirnya ada juga 'senjata' untuk membantu kita menghadapi pandemik ini.

Namun, tidak semua senang dengan kehadiran vaksin dan muncul pelbagai kumpulan dan individu menolak vaksin dengan bermacam-macam alasan dan bentuk kajian.

Tidak mengapalah jika tidak mahu mendapatkan vaksin namun yang menjadi tanda tanya mengapa ada antara mereka yang menolak vaksin ini mahu mendapatkan sijil digital bagi mengesahkan mereka sudah menerima vaksin.

AFP melaporkan pada Jun lalu, Rusia berdepan masalah apabila muncul kegiatan menawarkan sijil vaksinasi palsu di pasaran gelap.

Seorang individu yang dikenali sebagai Sergei tidak merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin Sputnik V dan menjumpai seorang lelaki yang menawarkan sijil palsu vaksin Covid-19 pada harga 15,000 ruble (kira-kira RM864) melalui aplikasi Telegram.

Tiga minggu selepas itu, Sergei memasuki portal perkhidmatan awam Rusia dan mendapati dia sudah memiliki sijil perakuan vaksin dan lengkap dua dos Sputnik V.

Sergei berkata, dia yakin suntikan itu mempunyai kesan sampingan dan bimbang vaksin itu hanya bersifat 'eksperimental'.

Sentimen itu membantu memupuk pasaran gelap di Telegram dan forum darknet Rusia di mana puluhan peniaga mengaku menjual sijil palsu dan memalsukan pendaftaran di pangkalan data vaksinasi kerajaan.

Di pasaran gelap biasa, warga Rusia boleh mendapatkan sijil vaksin pada harga 2,000 ruble (kira-kira RM115).

Di Perancis, sejak kerajaan mewajibkan menunjukkan bukti penerimaan vaksin untuk memasuki kafe atau tempat awam, ia mengundang pasaran gelap bagi penjualan pas kesihatan palsu pada harga beberapa ratus euro.

Ia dijual secara berleluasa di media sosial malah, ada penjual berani mengiklankan perkhidmatan mereka secara terbuka.

Di Indonesia pula, Detik melaporkan bahawa terdapat kumpulan yang bukan saja menjual sijil vaksin palsu, malah turut menawarkan sijil keputusan ujian Covid-19 palsu yang ditawarkan secara terbuka di media sosial.

Keadaan sama nampak gayanya turut mula berjangkit di Malaysia.

Sejak kerajaan mengumumkan kelonggaran baru-baru ini dengan beberapa aktiviti memerlukan individu sudah lengkap dua dos saja boleh turut serta, muncul individu yang menolak vaksin mencari cara untuk mendapatkan pengiktirafan serupa tanpa perlu menyuntik vaksin.

Ada yang sanggup menggunakan maklumat MySejahtera orang lain, ada pula yang berani menghubungi klinik swasta menawarkan sejumlah wang bagi mendapatkan suntikan olok-olok, asalkan selepas itu dibekalkan sijil menyatakannya sudah divaksinasi.

Kebanyakan individu menolak vaksin ini menggunakan alasan agama untuk mempertahankan prinsip mereka. Ada yang mengatakan kandungan vaksin Covid-19 ini haram.

Adakah tindakan menipu untuk mendapatkan vaksin ini jadi halal pula? Atau adakah kumpulan penolak vaksin ini hanya memilih hukum mengikut kesesuaian sendiri?

Ada pula yang melaungkan bahawa kerajaan dan pemilik perniagaan mendiskriminasi mereka yang tidak bervaksin kerana tidak membenarkan mereka masuk ke premis.

Katanya, hak mereka dinafikan. Ada yang mahu memboikot premis perniagaan yang meletakkan syarat dua dos ini.

Bagaimana pula hak mereka yang sudah divaksin dan hak pemilik perniagaan yang mahukan persekitaran selamat untuk pelanggan dan kakitangan?

Acap kali penerima vaksin digelar sebagai tikus makmal kerana bersetuju menerima vaksin, jadi mengapa mahu berkongsi hak dengan 'tikus makmal' ini?

Dalam keadaan varian Delta sedang menggila ini, sesiapa pun berisiko dijangkiti.

Lihat sajalah data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peratusan kes jangkitan antara individu yang sudah menerima vaksin dan tidak bervaksin langsung.

Trend ini bukan di Malaysia saja, ia berlaku di seluruh dunia. Jadi, tak usahlah menuduh KKM mereka-reka data.

Untuk mereka yang menolak vaksin, ada pelbagai cara untuk meneruskan hidup dalam norma baharu ini. Jika tidak boleh ke pusat beli-belah, boleh gunakan perkhidmatan penghantar.

Jika tidak boleh makan di restoran, boleh saja dibungkus. Jika tidak boleh beli ikan dan sayur, minta bantuan jiran tetangga. Jika rasa seperti menyusahkan orang lain, maka ambil sajalah vaksin.

Untuk ke masjid juga, syarat dua dos vaksin perlu dipenuhi. Tidakkah kita rindukan suasana masjid?

Tepuk dada, tanyalah iman. Bak kata bidalan, jika hendak beranak, ikutlah kata bidan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:15 AM