ADA yang menukar gajet semata-mata hendak dipandang hebat oleh teman sedangkan yang ada masih boleh digunakan.
ADA yang menukar gajet semata-mata hendak dipandang hebat oleh teman sedangkan yang ada masih boleh digunakan.
Rencana

Setiap hari, setiap kali membuka mata, bangkit dari tidur, setiap kali itu jugalah hati saya berdoa dan berharap agar pandemik Covid-19 ini hanyalah mimpi ngeri.

Saya tekan dan tegaskan dalam hati saya, 'ini cuma mimpi'. Namun, pada masa sama saya perlu sedar dan menerima bahawa ini adalah hakikat. Realiti!

Apa yang berlaku adalah realiti yang mesti kita hadap setiap hari kerana tiada siapa yang tahu, bilakah ia akan berpenghujung.

Setahun, dua tahun, tiga tahun, bahkan 10 tahun lagi pun tiada siapa yang tahu sama ada pandemik ini akan tamat atau kita perlu terus hidup bersama dengannya.

Banyak ilmu dan pendidikan yang saya yakin kita semua pelajari sepanjang lebih setahun pertama ini. Pelbagai rasa dan kesedaran muncul dalam diri kita semua secara sedar atau tidak.

Satu daripada pelbagai kesedaran yang berjaya menjentik diri saya adalah, mengenai keperluan material duniawi yang selama ini umpama menjadi kayu ukur untuk kehidupan saya.

Pakaian, gajet dan banyak benda lagi yang selama ini, memerlukan sedikit 'dana' daripada pendapatan, saya rasakan umpama tidak ada sebarang nilai lagi dalam masa sekarang.

Sedar atau tidak, segala pelaburan kita untuk material-material itu sebenarnya bukanlah untuk diri kita sepenuhnya, sebaliknya untuk memuaskan mata orang lain.

Sebab apa? Sebab sebahagian waktu kita setiap hari dihabiskan di luar dan untuk bertemu dengan orang. Tentunya akan ada rasa ingin tampil segak dan bergaya.

"Nanti, apa pula kata orang?"

'Apa pula kata orang' itulah yang membuatkan kita sentiasa ingin memuaskan mata dan hati orang lain. Kita sentiasa takut dan risau andai kata orang lain punya pendapat atau persepsi buruk mengenai diri kita.

Sedar atau tidak, secara tidak langsung, kita berbelanja, bersiap, membeli itu dan ini semata-mata untuk 'mata' orang lain sedangkan, kalau diikutkan, bukan semua benda itu kita perlukan.

Bahkan, ada juga barang yang kita 'terpaksa' beli itu bukanlah barang yang penting pun.

Apabila terpaksa 'berkurung' di dalam rumah, pakaian apa pun sudah tidak menjadi masalah. Tidak ada lagi kegusaran untuk membeli-belah baju yang sesuai untuk keluar.

Kalau sebelum ini saya kerap mengeluarkan belanja untuk membeli pelbagai jenis kasut, sekarang, selonggok kasut yang sedia ada pun tidak dipakai dan perlu dibersihkan segala habuk yang menumpang.

Jika sebelum ini kalau boleh, nak sentiasa mengikuti perkembangan dengan alat elektronik seperti telefon pintar model terkini.

Kini, setakat boleh gunakan aplikasi WhatsApp, buat panggilan dan beberapa aplikasi media sosial juga sudah memadai.

Sebelum planet bumi diserang dengan pandemik ini, pernah juga beberapa kali terlintas dalam fikiran saya untuk menukar kereta.

Namun, sekarang saya mula terfikir, kalau tukar kereta baharu pun, sejauh mana yang boleh saya pandu dalam situasi sekarang.

Mungkin kita akan dibenarkan merentas daerah dan merentas negeri. Persoalannya, bila? Dengan jumlah kes jangkitan baharu yang mencecah lima angka setiap hari, saya tidak rasa ia akan berlaku dalam masa terdekat.

Mungkin kalau saya salah langkah dan menukar kereta, saya memulakan semula proses hutang sedangkan kereta sedia ada masih boleh digunakan dan hutang pun cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk selesai.

Ini antara perkara yang berjaya menjentik saya dan menyedarkan saya dalam situasi pandemik ini. Dalam pada banyak perkara negatif dan menakutkan, ada juga perkara yang saya rasakan positif secara peribadi.

Mungkin ada antara yang membaca, merasakan perkara sama. Mungkin juga tidak. Lain padang, lain belalang.

Semoga pandemik ini berjaya menjentik hati setiap yang membaca dengan satu ilmu atau perkara positif dan dapat direnungkan bersama.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:00 AM