FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Aduan beberapa individu yang mendakwa diberikan suntikan kosong ketika menerima vaksin mula mengejutkan anggota masyarakat. Dakwaan yang disertakan sekali dengan rakaman video yang tular dalam media sosial mula menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan khalayak, khususnya berkaitan kredibiliti dan motif petugas perubatan yang terlibat.

Sehingga kini, lebih daripada 15 laporan polis dibuat di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Perak dan Melaka oleh individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan petugas perubatan memberikan suntikan kepada mereka.

Pihak berkuasa sebelum ini pernah mengesahkan ada satu kes yang memang berlaku akibat kecuaian vaksinator. Rentetan insiden seperti ini juga menyebabkan pihak berkuasa mula memberi kebenaran kepada orang awam untuk merakam video ketika menjalani proses vaksinasi.

Ia bertujuan bagi memastikan petugas kesihatan benar-benar menyuntik vaksin kepada penerimanya. Ironinya, jika kita meneliti video rakaman dakwaan suntikan vaksin kosong yang tular dalam media sosial menunjukkan dakwaan itu umpama sangat betul kerana jelas menunjukkan sama ada picagari itu tidak ditekan untuk memasukkan vaksin ke dalam badan mahupun picagari itu kelihatan kosong tanpa sebarang cecair di dalamnya ketika suntikan berlaku.

Jadi, sukar untuk kita menidakkan dakwaan individu terbabit apatah lagi terus membuat keputusan ia dakwaan berbentuk palsu, tohmahan atau fitnah ke atas petugas terlibat.

Oleh itu, ketika kita menunggu polis menyiasat secara terperinci setiap laporan yang diterima dan mengesahkan status dakwaan yang dibuat, besarlah harapan supaya semua petugas perubatan yang terlibat dalam proses pemberian vaksin di seluruh negara lebih berhati-hati dan sentiasa memelihara kredibiliti, integriti serta nama baik pasukan petugas perubatan negara.

Ia penting kerana insiden yang tidak boleh dikompromi seperti ini sebenarnya boleh meragut kepercayaan rakyat terhadap petugas kesihatan sekali gus turut boleh menjejaskan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Malah, harus diingat pemberian vaksin sedang rancak berlaku di seluruh negara di mana sudah mula melepasi suntikan 500,000 dos sehari. Sememangnya kita mengharapkan proses ini berjalan lancar demi mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini supaya rakyat boleh kembali menjalani kehidupan normal di samping kita dapat menumpukan usaha ke arah pemulihan ekonomi negara.

Dalam hal ini, pasukan petugas perubatan terutamanya kelompok jururawat adalah antara komponen penting yang selama ini bertindak sebagai tulang belakang pasukan petugas barisan hadapan dalam menangani ancaman pandemik Covid-19 di negara kita. Selama ini, mereka sudah menjalankan tugas dengan penuh berhemah, dedikasi dan bertanggungjawab.

Bukan itu sahaja, hanya jururawat berpengalaman serta bertauliah sahaja dilantik sebagai vaksinator di mana mereka perlu memiliki sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) terkini. Selain itu, semua vaksinator juga perlu menjalani latihan khusus pengendalian vaksin Covid-19 selama tiga hari sebelum dibenarkan berkhidmat di PPV.

Jadi, janganlah biarkan insiden seperti ini menghancurkan segala reputasi baik yang dibina sekian lama. Jujurnya kita akui bilangan insiden yang berlaku masih boleh dikategorikan sebagai kes terpencil berbanding sudah lebih 16 juta vaksin Covid-19 disuntik setakat ini dan melalui proses yang telus, lancar dan selamat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, ia tetap memberikan kesan besar kepada tahap kepercayaan rakyat umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Lagipun lumrah manusia, segala kebaikan dan pengorbanan yang pernah dilakukan boleh dilupakan sekelip mata hanya kerana satu kesilapan.

Memandangkan program pemberian vaksin ini akan berlarutan untuk satu tempoh masa yang lebih lama lagi, besarlah harapan kita supaya semua petugas menjadikan insiden seperti ini sebagai iktibar dan pedoman. Elemen kecuaian perlu dielak sama sekali walau dengan apa alasan sekalipun.

Misalnya, jika terlalu penat kerana beban tugas, berbincanglah dengan penyelia dan berehat sebentar sebelum menyambung semula tugasan. Jangan terus memaksa diri sehingga terdedah kepada kesilapan dan kecuaian.

Hakikatnya, kita tidak mahu membuka sebarang ruang dan peluang kepada mana-mana individu untuk mempertikaikan kredibiliti, integriti dan profesionalisme petugas perubatan.

Pada masa sama, kita juga berharap petugas perubatan dengan lapang dada boleh menerima keputusan pihak berkuasa yang membenarkan rakaman video dibuat oleh penerima vaksin. Janganlah menganggap ia sebagai tindakan untuk mencari kesalahan petugas sebaliknya jadikan ia sebagai platform terbaik untuk membuktikan kredibiliti masing-masing kepada khalayak.

Justeru, kita juga berharap tidak ada mana-mana pihak terutamanya golongan antivaksin yang mengambil kesempatan ini untuk melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap petugas perubatan.

Tuntasnya, tatkala berharap anggota masyarakat akan terus percaya, yakin dan bersangka baik kepada semua petugas perubatan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memelihara dan membuktikan kredibiliti masing-masing.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:00 AM