RAKYAT Thailand menunggu vaksin di pusat pemberian vaksin di Bangkok. FOTO AFP
RAKYAT Thailand menunggu vaksin di pusat pemberian vaksin di Bangkok. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

KETIKA Covid-19 muncul sekitar Disember 2019 di Wuhan, China, kita di Malaysia tidak terlalu bimbang kerana China bukanlah negara yang terhampir dengan kita.

Namun, selang sebulan daripada tempoh itu, virus berkenaan dikesan di Thailand menjadikan ia negara pertama di luar China yang merekodkan kes Covid-19 yang ketika itu masih dikenali dengan nama koronavirus baharu.

Individu dikesan dijangkiti virus berkenaan pada 8 Januari selepas dimasukkan ke hospital kerana demam.

Selepas kes pertama itu, Thailand boleh dikatakan berjaya mengawal penularan virus berkenaan sepanjang tahun 2020.

Sekitar Mac 2020, ia merekodkan peningkatan kes yang berpunca daripada pusat hiburan dan lokasi perlawanan tinju di Bangkok dengan sekitar 180 kes dikesan setiap hari.

Langkah pencegahan dilaksanakan dan ia berjaya mengawal jangkitan daripada terus menular. Dari Mei hingga Disember tahun lalu, Thailand tidak merekodkan sebarang kes jangkitan tempatan.

Namun, selepas itu berlaku lonjakan kes yang berpunca daripada pekerja migran di wilayah Samut Sakhon.

Wabak berkenaan menular ke banyak wilayah dengan angka harian mencecah 960 kes pada Januari 2021 sebelum kembali tenang pada Februari.

Bermula April, bermulalah gelombang baru berpunca dari pusat hiburan di Bangkok yang kemudian menular ke seluruh negara dengan varian Alpha menjadi pencetus utama.

Sejak itu, kes harian mencecah ribuan hingga menyebabkan kekurangan katil di hospital.

Keadaan bertambah buruk apabila cuti panjang sempena perayaan Songkran menyebabkan ramai individu pulang ke kampung halaman.

Memasuki Julai 2021, Thailand dilihat semakin tenat dengan kekurangan katil di hospital pada tahap kritikal, semua gara-gara varian Delta.

AFP melaporkan menteri kesihatan Thailand menyuarakan kebimbangan berikutan masalah kritikal kekurangan katil hospital dan kemudahan kuarantin untuk pesakit Covid-19 selepas ia merekodkan peningkatan mendadak kes baharu.

Beliau bimbang dengan keadaan semasa di mana semua unit rawatan rapi (ICU) penuh dan melebihi kapasiti.

Katanya, hospital di pusat bandar mempunyai kapasiti untuk menguruskan 1,000 pesakit baharu setiap hari tetapi angka berkenaan sudah melebihi kemampuan mereka di mana lebih 4,000 kes dilaporkan setiap hari hanya di Bangkok.

Dalam 10 hari terakhir Julai, Thailand merekodkan lebih 10,000 kes setiap hari.

Di media sosial, warga Thailand menyuarakan kemarahan dan ketakutan kerana beberapa individu yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia di jalanan akibat lewat menerima rawatan.

Bangkok Post melaporkan, terdapat mayat dibiarkan selama 12 jam di jalanan di Phra Nakhon pada minggu lalu.

Mayat berkenaan yang ditutup dengan kain putih dilihat terbaring di jalanan sehingga menimbulkan kemarahan orang awam.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Somkiat Ruenkao, 50, adalah seorang penjaga parkir didapati rebah sekitar jam 11 pagi.

Namun, mayat hanya dibawa ke hospital pada jam 10 malam untuk bedah siasat dan disahkan dijangkiti Covid-19.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha menyuarakan kebimbangan dengan kes kematian mangsa Covid-19 yang gagal mendapat rawatan dan mengarahkan semua agensi mengatasi masalah berkenaan dengan kadar segera.

Dalam mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi (CESA), beliau meminta semua pihak mencari jalan untuk mengurangkan jumlah pesakit yang perlu menjalani kuarantin di rumah dan menunggu ambulans atau menanti di jalanan.

Katanya, situasi seperti ini tidak boleh dilihat lagi kerana ia adalah tanggungjawab semua agensi dan bukan hanya Kementerian Kesihatan semata-mata.

Prayut juga berdepan kritikan pedas berkaitan caranya mengendalikan krisis ini, daripada tuduhan gagal menguruskan vaksin hinggalah kes pampasan terhadap sektor terjejas.

Ketika ini, negara berkenaan memberikan vaksin Sinovac, Sinopharm dan AstraZeneca. Namun, kempen pemberian vaksin besar-besaran dilihat terlalu perlahan dengan sebahagian besar rakyat mahukan vaksin keluaran Pfizer dan Moderna.

Disebabkan lonjakan kes Covid-19, Thailand juga terpaksa menghentikan inisiatif Phuket Sandbox berikutan 133 kes dilaporkan sehingga 27 Julai lalu.

Sebelum ini kerajaan menyatakan program itu akan ditangguhkan, jika lebih 90 kes dilaporkan dalam seminggu.

Phuket Sandbox adalah inisiatif untuk pelancong asing yang lengkap divaksin menikmati keindahan Phuket tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Ternyata penangan varian Delta ini bukan main-main. Negara yang boleh dikatakan berjaya mengawal penularan tahun lalu kini kelam-kabut mencari jalan untuk memastikannya tidak terus merebak.

Kita di Malaysia juga apa kurangnya. Kerana itu kita perlu terus menyumbang kepada pembentukan imuniti kelompok dengan mengambil vaksin Covid-19 supaya penularan dapat dikawal dan kemudahan kesihatan kita dapat menampung pesakit kritikal yang minimal.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 5:59 AM