GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Fatahyah Yahya

LONG Covid adalah implikasi gejala Covid-19 jangka panjang yang dialami pesakit selama beberapa bulan selepas sembuh daripada jangkitan atau ketika menjalani pemulihan. Ia termasuk implikasi psikologi di mana kemungkinan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seperti sebelumnya adalah amat tinggi kerana gangguan psikologi.

Gangguan psikologi berupa gangguan emosi dan kesihatan mental yang dihadapi seperti takut, trauma, tertekan, risau, gelisah, keliru, marah dan sebagainya. Ini kerana Covid 19 dikategorikan sebagai antara penyakit atau wabak yang berupaya mengancam nyawa.

Jadi, kefahaman ini mencetus kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan kita terutama individu dijangkiti. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kesihatan mental susulan pandemik ini. Selain itu, kajian terkini yang dilaporkan di dalam HealthDay News menunjukkan 34 peratus daripada 36,000 pesakit Covid-19 berdepan gangguan kesihatan mental dalam masa enam bulan jangkitan diperoleh.

Situasi dihadapi pesakit tidak mudah. Sedangkan kita yang sihat dan tidak dijangkiti pun merasai tekanan kerana situasi pandemik yang mengehadkan pergerakan.

Apatah lagi individu yang melalui ujian berjuang melawan virus itu sendiri terutama individu pada tahap kritikal di mana individu terbabit melalui pengalaman ditidurkan, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) serta menyaksikan kematian. Begitu juga dengan individu yang kehilangan insan tersayang kerana wabak ini. Beban emosi tentunya berganda kerana tidak menatap wajah buat kali terakhir serta tidak dapat menguruskan jenazah.

Kajian seorang pakar neuropsikologi dari sebuah hospital di New York mendapati gangguan psikologi ini berpunca daripada tekanan pandemik dan kesan fizikal daripada penyakit itu sendiri. Proses kemasukan ke hospital tentunya meninggalkan trauma, terngiang-ngiang bunyi peralatan perubatan, terbayang suntikan ubat dan sebagainya.

Punca lain adalah jika individu berkenaan berhadapan masalah lain sebelumnya. Ia seperti masalah kesihatan fizikal, masalah perhubungan, masalah kewangan atau sebagainya. Individu ini tentu akan berhadapan beban emosi yang lebih berbanding individu yang tidak atau kurang memiliki masalah sebelumnya. Situasi ini juga memberi implikasi terhadap proses penyembuhan.

Stigma juga menyumbang kepada tekanan emosi kepada pesakit. Stigma adalah label negatif yang diberikan oleh masyarakat kepada individu atau kumpulan tertentu termasuk bekas pesakit. Mereka mungkin akan dipulaukan dan sebagainya. Punca Stigma asasnya kerana kurang ilmu berkaitan sesuatu perkara. Covid-19 masih baharu dan banyak belum diketahui. Logiknya individu itu akan takut kepada perkara yang dia tidak tahu.

Terdapat kaedah yang boleh dilakukan oleh pesakit bagi mengurangkan kesan psikologi long covid.

Pertama, berlembutlah dengan diri sendiri. Senaraikan aktiviti atau rutin harian dengan mendahulukan aktiviti yang kurang mendatangkan tekanan. Lewatkan aktiviti yang boleh mencetus kepada tekanan. Contohnya, hari ini saya mahu mengemas rumah, melihat kerja sekolah anak dan keluar membeli barang keperluan.

Jika keluar membeli barang keperluan boleh mencetus ketakutan kerana takut atau risau berjumpa dengan orang, maka kemudiankan aktiviti itu. Selain itu, turunkan standard atau jangkaan terhadap aktiviti yang hendak dijalankan. Contohnya aktiviti mengemas rumah mungkin tidak mencetus ketakutan tetapi akan mengundang keletihan.

Jadi, berlembut dengan diri, jika sebelumnya tahap mengemas itu 100 peratus, sekarang ini jika ia dapat disempurnakan 40 peratus sudah memadai.

Rangka semula cara berfikir terhadap sesuatu aktiviti yang boleh mendatangkan tekanan. Contohnya, tukarkan tujuan aktiviti melihat kerja sekolah anak sebagai menghabiskan masa kualiti bersama anak itu. Ia boleh mengelak rasa kecewa dan marah, kerana jangkaannya berbeza.

Bagi aktiviti yang mendatangkan tekanan, cuba berlembut dengan diri dengan tidak terus melakukan sepenuhnya. Contohnya, rasa risau atau takut keluar membeli barang keperluan. Jadi mulakan keluar ke hadapan rumah dahulu. Nikmati angin di luar rumah dan sarapan di hadapan rumah. Lakukan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan diri dan usah memaksa diri dengan terus keluar ke kedai dalam keadaan belum bersedia sepenuhnya.

Kedua, teknik relaksasi juga berupaya meredakan tekanan. Teknik pernafasan adalah antara teknik relaksasi yang mudah dilakukan bila berhadapan gangguan emosi. Ini kerana pernafasan akan menjadi cepat dan laju tanpa kawalan bila berhadapan dengan tekanan.

Keadaan ini menjadikan pembuluh darah mengecut lalu mengurangkan kadar karbon dioksida di dalam badan. Dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida di dalam badan. Peningkatan peredaran darah akan mengurangkan ketegangan dan kita menjadi lebih tenang.

Ketiga, manfaatkan sistem sokongan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan. Berkomunikasi dan kongsilah dengan mereka apa yang dilalui dan dirasai. Perkongsian meredakan tekanan. Maklumkan kepada individu berkenaan tentang keperluan serta limitasi semasa yang dilalui.

Keempat, lakukan ujian kesihatan mental jika gangguan emosi berterusan. Ini boleh dilakukan di semua klinik kesihatan. Dalam keadaan mendesak, boleh terus ke jabatan kecemasan hospital.

Kelima, hubungi talian bantuan percuma seperti WAO, MIASA, Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Befrienders.

Malah, keluarga dan masyarakat boleh hulurkan bantuan dan sokongan dengan mengambil peduli, bertanya khabar serta beri bantuan. Kurangkan stigma dengan memiliki ilmu berkaitan wabak.

Fahami bagaimana seseorang boleh terkena jangkitan serta fokus bagaimana mengelak jangkitan dengan menguatkan sistem ketahanan badan.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakutli Sains Kognitif & Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:59 AM