GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sudirman Mohd Tahir


Sudah lebih dua bulan rakyat Malaysia 'dikurung'. Bahkan kebanyakan aktiviti harian tidak seperti kebiasaan. Masing-masing perlu mencari 'hiburan' demi ketenteraman sendiri.

Tidak dinafikan banyak perkara terjadi sepanjang sekatan dilaksanakan. Golongan susah angkat bendera putih, food bank dibuka di sana sini. Lebih menyayat hati ada sanggup bunuh diri.

Laporan berita memaparkan pelbagai masalah terjadi, namun penyelesaian yang dipilih masih belum pasti sama ada mampu membawa diri keluar daripada 'kesakitan' yang menghimpit diri.

Hendak diluah, nanti dianggap cuba meraih simpati, jika dipendam bimbang menambah luka di hati.

Tenyata sepanjang duduk di rumah bukan saja membuka mata kita siapa susah, siapa merana, tapi lebih mengenali mereka yang cuba menjadi 'Cik Serba Tahu' dengan ulasan sinis sambil membiarkan orang lain bertikam lidah dengan isu dibawa. Sementara dia, boleh tepuk tangan bergembira.

Seperkara yang jelas terjadi apabila sikap sebenar diri sendiri terbongkar di media sosial angkara perbuatan di hujung jari. Tanpa disedari, setiap hantaran yang dikongsi bukannya menjernihkan suasana, malah menambahkan musibah.

Cik Serba Tahu yang 'lahir' ini bukan saja dalam kalangan orang biasa, tapi juga selebriti. Sikap ingin tahu dan menyampaikan maklumat wajar dipuji. Media sosial dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mereka yang tidak mengerti apa yang terjadi.

Berbeza dengan Cik Serba Tahu yang hanya pandai mengulas semua isu terjadi, tapi membiarkan ia kosong tanpa isi.

Apa yang dibaca lebih kepada mengajak si peminat untuk saling bertelagah sesama sendiri. Caci maki dibiarkan begitu saja. Seolah-olah satu kemenangan buat dirinya apabila individu dimaksudkan dihina oleh pengikutnya yang sama dangkal dengan dia.

Kemunculan Cik Serba Tahu sebegini yang wajar diberi pengajaran. Mungkin dia terlupa, hari ini dia berjaya disebabkan rezeki daripada Allah SWT. Atau mungkin dia berasa keberhasilan mengumpul harta disebabkan adanya bantuan orang berada di sekeliling.

Jadi, mungkin disebabkan itu dia juga terlupa bagaimana mahu 'menghormati' hati manusia lain. Sebab berasa diri jauh lebih gah, soal simpati tidak perlu ada dalam diri.

Apa yang Cik Serba Tahu ini inginkan biar semua orang tunduk dan melutut menagih harapan. Kerana tetap beranggapan, esok atau lusa, jaminan bekerja dia tawarkan. Tidak patuh pada apa yang dimahukan, individu itu dianggap musuh dan perlu 'dipadamkan'.

Satu lagi identiti Cik Serba Tahu ini dia sentiasa berasa hidupnya di atas. Tidak ada siapa boleh lebih daripada kehidupannya. Lantas, dia perlu menang dalam segala hal. Mengadu domba dan menghasut itulah kerja dan permainan yang dipersembah dalam diam. Hingga akhirnya menutup periuk nasi orang yang selayaknya diberikan.

Benar, kuasa dan wang ringgit boleh membutakan. Lupa kawan tapi lebih mencintai apa yang dilarang. Inilah yang menyebabkan Cik Serba Tahu ini berasa dirinya akan aman dan tenteram. Namun, dia mungkin terlupa hidupnya atas izin Allah, Yang Maha Adil lagi Penyayang.

Sesiapa cuba menjadi Cik Serba Tahu, pastikan anda juga tahu apa yang mahu dikongsikan. Bukan seperti membaling batu sembunyi tangan. Orang lain dapat luka, dia pula ketawa. Jika ini impian anda, lupakan saja. Takut nanti jika sudah gian dan terbiasa boleh 'mati' dibuatnya.

Belajarlah menjadi Cik Serba Tahu yang bertanggungjawab dan cerdik dalam perkongsian. Cukup-cukuplah elemen mahu menjatuhkan dan menyalahkan. Tiada keperluan berbuat sedemikian apatah lagi sasaran anda tidak pernah sekali pun 'mencuit' dan masuk kain anda.

Percayalah, menjadi Cik Serba Tahu yang cerdik dan berilmu akan lebih dihormati. Tidak perlu belajar setinggi gunung untuk disegani, tapi cukup dengan adanya budi pekerti. Daripada penulisan sudah mencerminkan siapa diri anda.

Daripada kata-kata, boleh tahu sejauh mana didikan diterima. Fikir-fikirkanlah.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 12:00 AM