SEMOGA suasana balik kampung beramai-ramai akan kembali dapat diulangi selepas Covid-19 dapat ditangani.
SEMOGA suasana balik kampung beramai-ramai akan kembali dapat diulangi selepas Covid-19 dapat ditangani.
minda

Apabila bercerita mengenai pengorbanan, ertinya begitu luas dan bagi setiap orang, akan ada tafsiran yang berbeza. Hampir dua tahun ini, saya yakin ramai dalam kalangan kita melakukan banyak pengorbanan dan mungkin ini adalah pengorbanan terbesar yang pernah dilakukan dalam kehidupan sebagai manusia.

Kalau sambutan Aidiladha tahun lalu kita dibenarkan merentas negeri selepas dilarang berbuat sedemikian pada sambutan Aidilfitri, namun tahun ini, cerita Aidiladha kita lebih sulit dan mencabar. Saya yakin bagi perantau seperti saya, ramai berkongsi rasa sama. Kalau yang menetap atau tinggal berhampiran keluarga, mungkin ceritanya berlainan. Untuk kita yang merantau jauh, ini juga pengorbanan yang sempat kita lakukan untuk tahun ini.

Tatkala rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan, saya sendiri sudah bersiap sedia untuk menerima berita itu dengan hati terbuka. Tapi, sejujurnya, jauh di lubuk hati ada sedikit rasa sedih, sayu dan terkilan kerana rindukan keluarga di Perlis yang jaraknya ratusan kilometer dari kediaman saya. Memanglah teknologi boleh menghubungkan, tapi rasanya tak sama seperti kita bersalaman, berpelukan dengan keluarga untuk bersama-sama meraikan perayaan ini.

Namun, itulah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh kita semua. Apalah sangat pengorbanan kita kalau dibandingkan dengan pengorbanan petugas barisan hadapan yang tidak pernah berhenti sejak awal kemunculan Covid-19. Mereka bukan saja dalam kalangan doktor, polis, tentera dan sebagainya, tetapi juga yang secara sukarela mengorbankan waktu serta nyawa di pusat pemberian vaksin (PVV) di seluruh negara.

Bercakap mengenai korban, saya tertarik dengan kata-kata pelakon senior, Jasmin Hamid dalam luahan di Instagramnya -'Tahun ini balik raya untuk korban lembu atau korban mak bapak?' Walaupun kedengaran keras, mesej itu sampai tepat ke hati apabila ia ditujukan secara tegas kepada individu yang kedegilan mereka terlalu pekat.

Dua hari sebelum Aidiladha pun, kecoh di media sosial dan akhbar elektronik mengenai berduyun-duyun kereta cuba keluar dari ibu kota, menyeludup masuk ke kampung halaman masing-masing. Paling mengecewakan, ada yang sanggup menipu semata-mata nak dapatkan pelepasan daripada pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya. Semua orang rindukan keluarga. Semua orang rindukan kampung halaman. Namun, adakah kerana rasa rindu itu, kita sanggup mengambil risiko dan mengorbankan nyawa keluarga?

Memanglah ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Namun, kalau kita sendiri yang mencari masalah dan tahu akan risikonya, tidakkah itu sama seperti membunuh diri dan orang lain? Jadi, kepada kita yang masih dapat berfikiran dengan menggunakan akal, korbankanlah dahulu rasa rindu itu buat sementara waktu. Gunakanlah teknologi yang ada sebaik mungkin untuk membuat panggilan telefon, panggilan video bahkan berinteraksi menggunakan media sosial supaya kita sentiasa rasa dekat dengan keluarga. Kepada golongan yang sangat degil, semoga kalian menanggung kesan daripada tindakan kalian sendiri!

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:00 AM