GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
ASP Dr Mohd Rosla Mohd Tahir

Kecoh satu Malaysia sekarang berkaitan senario kibar bendera putih. Ada pula edit gambar bendera putih dengan lambang durian, bendera putih lambang motor dan yang kelakar, lambang janda bergetah pun ada!

Bercakap mengenai bendera putih, ia isu hangat sering dibahas, dibualkan di mana-mana sahaja termasuk di kebun durian. Ia saranan dicadangkan individu atau netizen ke atas individu sangat terkesan kerana tiada pendapatan, bahan untuk dimasak untuk menampung dan meneruskan hidup.

Dalam erti kata lain, sudah surrender dan mengharapkan bantuan untuk meneruskan kehidupan pada masa pandemik Covid-19 ini.

Seperti biasa, isu atau cadangan dibangkitkan ada sokongan dan bangkangan daripada rakyat Malaysia.

Kempen kibar bendera putih tidak terkecuali kerana ada yang menyokong, tidak kurang pula yang menentangnya dengan masing-masing ada pendapat sendiri.

Penulis tidak mahu membahaskan isu bendera putih dalam kalangan masyarakat, biarlah kerajaan atau pemimpin memikirkan suatu bentuk bantuan sesuai dan itu sudah memang tanggungjawab pemimpin memikirkan serta membuat keputusan demi kebaikan rakyat dipimpin.

Buat masa ini, rakyat perlu terima sebarang keputusan dibuat pemerintah kerana ia bukan secara angkat tangan seperti mengundi di kampung. Sebaliknya, ia diputuskan dengan perbahasan panjang dan mengikut undang-undang Malaysia. Tiada pemerintah mahu melihat rakyat atau masyarakat menderita lebih-lebih lagi pada zaman sukar seperti sekarang ini.

Dalam menghadapi keadaan sukar sekarang ini, penulis ingin membicara dan mendoakan supaya jangan sesekali barisan depan mengangkat bendera putih. Tolonglah!

Tidak kiralah daripada kementerian atau jabatan mana sekalipun yang bertugas sebagai barisan hadapan, jangan sesekali menyerah kalah walaupun sudah sangat penat, bosan, menderita dan bercadang mahu pencen awal.

Kita adalah barisan hadapan dan jika kita tumbang, masyarakat yang mengharapkan kita sebagai benteng mereka dalam peperangan ini turut akan kalah dan tumbang sepenuhnya. Kuatkan semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat walaupun kita sendiri sudah tidak terdaya lagi meneruskannya.

Ingatlah bahawa kita adalah harapan negara pada saat getir ini. Justeru, semangat patriotisme amat penting dalam mewujudkan semangat dan kekuatan bekerja pada waktu sukar sebegini. Lima elemen perlu diwujudkan barisan depan dalam membentuk semangat kerja berterusan tanpa lemah semangat berdepan situasi begini.

Kita mesti mengekalkan integriti, dedikasi, tanggungjawab, kerjasama dan disiplin. Mengamalkan lima elemen ini dalam kehidupan profesional dan peribadi kita akan membantu mewujudkan etika kerja positif yang membawa kepada hubungan berharga dan menjadikan kita berjaya dalam semua usaha.

1. Integriti adalah perkara membuat anda jujur ​​dan bertanggungjawab terhadap tindakan. Ia membabitkan penetapan prinsip moral dan mendasarkan semua keputusan pada apa difikirkan betul.

Di tempat kerja dan kehidupan, menunjukkan integriti akan menarik orang berfikiran sama yang boleh dipercayai dan mempercayai.

Mempunyai orang seperti ini dalam hidup akan memotivasi anda untuk membuat keputusan tepat, mengelakkan jalan pintas ketika ada godaan dan mencapai tujuan dengan meletakkan masa dan usaha yang juga perasaan terbaik pernah ada.

2. Dedikasi sebilangan orang yang mempunyai etika kerja kuat sering digambarkan sebagai berdedikasi dan komited terhadap pekerjaan mereka. Pekerja berdedikasi didorong tujuan dan dapat diandaikan untuk menyelesaikan pekerjaan dengan sebaik mungkin.

Dalam hidup, dedikasi membawa kepada semangat dan ketika seseorang bersemangat menaruh fikiran mereka pada sesuatu, tidak ada yang dapat menghentikannya.

3. Tanggungjawab mustahak untuk mencapai kejayaan kecil, tetapi penting setiap hari. Tanggungjawab memerlukan kemampuan untuk menguruskan komitmen, menjaga ketepatan masa dan konsisten.

Jika anda seorang pekerja yang boleh dipercayai, pasukan akan tahu mereka boleh bergantung kepada anda untuk menyelesaikan tugas dengan cekap dan berkesan. Dalam kehidupan, orang menghargai tanggungjawab yang anda buat dan akan menghasilkan hubungan positif.

4. Kerjasama akan menghasilkan pemahaman mengenai nilai kerja berpasukan. Bekerjasama bermaksud menghormati pendapat orang lain dan dapat menerima maklum balas yang membina.

Di tempat kerja, majikan mencari orang yang dapat berkolaborasi dalam suasana kumpulan dan dalam kehidupan, sifat ini sangat berharga. Tidak perlu dikatakan bahawa jika mendapat sokongan daripada pasukan, keluarga, rakan atau rakan sekerja, anda dapat membuat tugas lebih mudah daripada jika anda mengatasinya sendirian.

5. Disiplin adalah dorongan untuk terus fokus pada matlamat dan menyelesaikan tugas diperlukan untuk mencapainya. Di tempat kerja, berdisiplin membolehkan anda mengutamakan tanggungjawab dan menyelesaikan tugas tepat pada waktunya.

Dalam kehidupan, disiplin menyekat gangguan sehingga anda dapat mencapai tujuan akhirnya dan mengarahkan usaha anda untuk mencapainya.

Etika kerja kuat bukan sahaja penting bagi mencapai kejayaan dalam kerjaya, tetapi penting untuk kehidupan seharian.

Menerapkan lima elemen ini ke dalam rutin peribadi dan profesional anda akan membantu meningkatkan prestasi, membina hubungan berkualiti, tetap fokus dan akhirnya, lihat hasilnya.

Kesimpulannya, bagi barisan depan janganlah sesekali mengibar bendera putih ketika masyarakat amat memerlukan kita.

Ingat segala apa kebaikan yang kita buat ada balasan akan kita dapat jika dilakukan dengan semangat untuk berbakti untuk negara dan kerana Allah SWT.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari IPD Iskandar Puteri, Johor

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:15 AM