GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ts Dr Ismaniza Ismail dan Dr Shawaludin Husin

Kini wabak Covid-19 tersebar begitu pantas. Tahun lalu, kita mengambil masa setahun untuk mencapai 100,000 kes, tetapi tahun ini jumlah kes yang sama dicapai walaupun bulan Mei belum berakhir.

Malah, kali ini, kluster bukan lagi fokus utama kerana penyebaran dalam komuniti sudah sangat besar, mewakili 80 peratus daripada keseluruhan bilangan kes.

Tertinggi setakat ini, lebih 9,000 kes harian dilaporkan. Namun, jumlah kes harian yang dilaporkan mungkin tidak cukup untuk memberikan gambaran lengkap memandangkan tiada aktiviti pengesanan kes (ujian calitan) secara agresif dilakukan, melainkan di Selangor.

Mungkin kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa Selangor adalah pusat penyebaran utama virus ini. Hakikatnya, jumlah ujian yang dibuat di Selangor jauh lebih besar berbanding negeri lain seperti Sarawak yang mencatatkan kadar positif yang sangat tinggi.

Salah faham konsep ini menyebabkan tanggapan negatif masyarakat terhadap Selangor, walaupun negeri itu hanya melaporkan jumlah kes yang tepat hasil daripada ujian yang dijalankan secara meluas.

Bukankah lebih baik mengesan kes lebih awal supaya kita dapat bertindak segera, daripada berasa selesa dengan jumlah kes yang kononnya rendah, tetapi banyak kes positif lambat dilaporkan?

Satu lagi indikator yang boleh membantu kita lebih memahami keadaan semasa adalah dengan merujuk data kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Baru-baru ini, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan data penggunaan katil ICU Covid-19 meningkat hampir lima kali ganda selang dua bulan.

Lebih membimbangkan apabila peratusan penggunaan katil ICU menunjukkan penggunaan kapasiti maksimum, bahkan ada melebihi 300 peratus di hospital tertentu di wilayah tengah.

Sehingga artikel ini ditulis, jika dirujuk kepada kadar kemasukan ke ICU bagi setiap 100,000 orang, Melaka adalah antara negeri yang paling teruk terjejas, selain Selangor, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Perak.

Katil ICU di hospital swasta juga semakin penuh dan katil pesakit di unit rawatan lain juga terpaksa digunapakai untuk kegunaan ICU.

Bayangkan pesakit terpaksa diletakkan di wad yang kurang kondusif untuk pesakit kritikal; dengan pengudaraan umum dan keperluan peralatan sokongan yang terhad dan paling penting sekali kekurangan perhatian daripada kakitangan perubatan/kejururawatan yang kebiasaannya adalah dengan nisbah lebih kecil.

Peningkatan kadar kematian pesakit Covid-19 juga sangat membimbangkan apabila dalam beberapa minggu kebelakangan ini meningkat dengan drastik hanya dalam masa yang singkat.

Lebih memburukkan keadaan, penyebaran varian baharu (terutama varian Afrika Selatan) yang lebih cepat dan sukar dikesan.

Sebahagian besar statistik jangkitan, kemasukan ke ICU dan kematian yang dilihat pada hari ini adalah dipercayai refleksi pergerakan semasa tempoh Aidlfitri baru-baru ini.

Itu pun kita masih dapat melihat pergerakan besar-besaran yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di tol Gombak di Lebuhraya Karak menghala ke Pantai Timur  dan di tol Sungai Besi bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan susulan sekatan pergerakan penuh bermula pada 1 Jun 2021.

Tidak hairanlah jika jangkaan kes akan melonjak lagi sekiranya masih ramai tidak mengendahkan konsep kawalan pergerakan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Kita mengharapkan program vaksinasi berjalan lancar dan bekalan vaksin diperoleh tepat pada masanya. Perlu diingatkan selagi vaksinasi tidak mencapai sasaran 80 peratus untuk mewujudkan imuniti kelompok, kita terdedah kepada gelombang Covid-19 yang lebih besar.

Saban hari kita mendapat maklumat daripada media sosial, pesanan ringkas Majlis Keselamatan Negara (MKN), surat khabar dan pelbagai sumber lagi.

Pokoknya bukanlah sesuatu yang baharu untuk kita mengetahui peranan masing-masing, sebaliknya sejauh mana kita berdisiplin untuk melaksanakannya. Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah mengehadkan semua hubungan dengan orang lain.

Sama ada majlis keagamaan, di tempat kerja, majlis sosial atau seumpamanya, semua perlu dielakkan kerana penularan dalam kalangan komuniti kini sangat berleluasa.

Pemakaian pelitup muka tiga lapis juga perlu diamalkan. Sekiranya sebelum ini kita hanya memakainya sebagai ambil syarat, sudah tiba masanya kita menyemak cara pemakaian yang tidak bocor di sisi muka dan saranan yang terkini, memakai lapisan pelitup muka tambahan.

Pada masa sama, sanitasi tangan perlu diamalkan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun dan air. Bagi yang bekerja, amalkan norma baharu bekerja dari rumah kerana kita tidak tahu siapakah rakan sejawat kita yang mungkin sudah terinfeksi tapi tidak bergejala.

Demikian juga anak-anak yang bersekolah, yang perlu meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian. Sesukar mana jua cabaran untuk melaksanakannya, kita cuba jayakan walaupun dengan peranti digital yang murah.

Usaha seterusnya adalah pastikan anda mendapatkan vaksin. Dalam era maklumat di hujung jari, semudah mendapatkan maklumat, demikian jugalah lambakan berita-berita palsu berkaitan vaksin yang meragukan masyarakat.

Kita semua maklum norma baharu ini menuntut kita kurang aktif berbanding prapandemik dahulu. Bagi mengelakkan risiko kesihatan fizikal, mental, emosi dan rohani, teruskan aktiviti kecergasan secara terkawal dan dapatkan sokongan moral.

Memandangkan kita sama-sama berada dalam situasi meruncing, tanda pagar #kitajagakita sewajarnya dihayati.


Ts Dr Ismaniza Ismail Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam manakala Dr Shawaludin Husin Presiden Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Masyarakat Malaysia (MSOSH)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:00 AM