PETUGAS barisan hadapan Dr Zafrin Jamaludin (dua dari kiri) meredah sungai menaiki bot membawa vaksin Covid-19  untuk  penduduk Kampung Kuala Kenong, Lipis semalam. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) turut menyertai misi itu. - Bernama
PETUGAS barisan hadapan Dr Zafrin Jamaludin (dua dari kiri) meredah sungai menaiki bot membawa vaksin Covid-19 untuk penduduk Kampung Kuala Kenong, Lipis semalam. Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) turut menyertai misi itu. - Bernama
Najiy Jefri


Pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini adalah satu ujian besar dan dugaan buat semua.

Di Malaysia, lebih 3,000 kematian dilaporkan akibat serangan virus berbahaya ini.

Tidak dinafikan, pelbagai usaha dilakukan petugas barisan hadapan untuk memastikan ia berakhir dengan segera supaya kita dapat kembali menjalani rutin kehidupan normal seperti sebelum ini.

Seperti beberapa negara lain, Malaysia juga melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu menyekat penularan wabak ini.

Setiap seorang daripada kita kini sudah dianggap barisan hadapan kepada diri sendiri dalam mengekang penularan ini.

Jika salah seorang daripada kita tidak mengamalkan sikap tanggungjawab atau mengambil iktibar terhadap situasi yang penuh mencabar ini, maka sukarlah untuk kita melandaikan wabak berjangkit ini yang sehingga hari ini masih mencatatkan kes positif harian yang tinggi.

Covid-19 turut meragut norma kebiasaan kehidupan harian setiap individu, namun dalam pada kita diseru untuk duduk di rumah dan mempunyai banyak waktu lapang, janganlah kita menyebarkan perkara negatif atau menambah api kemarahan untuk menghentam mana-mana pihak yang dianggap gagal menyelesaikan masalah ini.

Penulis berasa terkilan apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk golongan selebriti yang turut mahu menjadi 'wartawan media sosial' dengan menyebarkan berita yang tanpa sedar sudah menghasut pengikutnya untuk membenci dan menghentam pihak-pihak tertentu.

Sekiranya ingin menyampaikan sesuatu perkara, carilah perkara yang positif dan boleh memberi kelegaan atau meredakan tekanan orang ramai.

Ini tidak, ada dalam kalangan kita yang sengaja menambah 'rasa' dalam hantaran yang dimuat naik untuk memanaskan lagi sesuatu isu yang berlaku.

Tidakkah anda sedar, dalam situasi sekarang ini kita perlu saling bersatu dan bersama-sama membantu kerajaan untuk menyelesaikan wabak berjangkit ini dengan segera.

Kita seharusnya cemburu melihat negara lain yang sudah boleh bebas ke sana sini dengan tenang, manakala kita masih 'terperuk' dalam rumah.

Fikirlah berkali-kali sebelum memuat naik hantaran dan sentiasa bertanya kepada diri adakah hantaran yang dimuat naik ini memberi kesan buruk kepada orang lain atau pembaca.

Penulis mengakui media sosial adalah medium yang begitu penting hari ini, namun gunakanlah ia dengan jalan yang betul dan bukan sesuka hati menyebarkan berita yang boleh mengganggu gugat ketenteraman.

Benar jari sentiasa laju menaip tapi minda harus sentiasa berfikir apakah impak dan musibah yang bakal dihadapi jika membuat sesuatu yang bukan tugas kita apatah lagi tidak arif mengenainya.

Kita suka mencari silap orang lain sedangkan adakah kita benar-benar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan?

Bayangkan jika kita semua berkongsi perkara yang benar-benar sahih dan sesuatu yang positif di media sosial, pasti kita juga tenang melayari kehidupan serta mendapat input yang baik.

Fikir-fikirkanlah apa yang dikatakan ini kerana terlalu banyak negatif di media sosial hari ini sekali gus memberi kesan kepada jiwa dan hati manusia.


Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:00 AM