FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syah Rul Aswari Abdullah

Majalah Forbes pada 9 Jun menyatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) sudah menggunakan 301 juta dos vaksin Covid-19. Jumlah itu cukup untuk memberikan separuh daripada populasinya dengan sekurang-kurangnya satu
dos vaksin itu.

Sebagai perbandingan, dos diberikan kepada penduduk AS melebihi jumlah yang direkodkan di 173 negara lain (daripada 193 negara yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)).

Di Asia Tenggara, Malaysia menjadi negara dengan kadar vaksinasi dos pertama tertinggi. Menurut laporan Bernama, 2,724,048 individu sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini ialah sebanyak 3,944,987 dos setakat 9 Jun lalu.

Dalam pada itu, pelbagai negara melancarkan inisiatif tertentu bagi menggalakkan penduduknya untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mempercepatkan program vaksinasi.

Contohnya, beberapa negeri di AS menawarkan insentif dan ganjaran lumayan dalam usaha menggalakkan penduduknya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut CNN, selain kerajaan negeri, beberapa syarikat di AS, salah satunya, Kroger yang turut mengambil langkah sama dengan memulakan kempen pemberian ganjaran bagi yang mengambil suntikan vaksin.

Kroger dalam satu kenyataan memaklumkan antara ganjaran ditawarkan adalah wang tunai AS$1 juta (kira-kira RM4.12 juta) untuk lima individu terpilih dan peluang memenangi hadiah belanja keperluan rumah percuma selama setahun bagi 50 individu bertuah.

Di Ohio, Gabenornya, Mike DeWine memaklumkan kadar vaksinasi dilaporkan meningkat sehingga 45 peratus susulan pengumuman loteri Vax-a-Million pada 13 Mei lalu. Negeri lain turut mengikut jejak langkah Ohio dan terbaru, West Virginia mengumumkan akan memulakan cabutan untuk pelbagai hadiah merangkumi biasiswa kolej, trak pikap dan wang tunai.

Di New York, Gabenor Andrew Cuomo mengumumkan tawaran biasiswa penuh empat tahun kepada mana-mana pelajar kolej awam atau universiti di New York berusia 12 hingga 17 tahun yang memilih untuk mendapatkan vaksin Covid-19 pertama mereka hingga 7 Julai depan.

California pula menggunakan skema pemberian hadiah untuk program insentif terbesar di AS. Negeri itu cuba 'memancing' penduduknya mendapatkan suntikan vaksin dengan insentif berjumlah AS$116.5 juta AS (kira-kira RM480 juta). Ia termasuk hadiah utama AS$15 juta (kira-kira RM61.8 juta) untuk dibahagikan antara 10 penduduk.

Di negara jiran kita pula iaitu Filipina, Datuk Bandar Pampanga, Jayson Sagum menawarkan ganjaran lembu kepada penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

eliau berkata, ia akan bermula pada bulan Julai selepas mendapat bekalan vaksin yang lebih banyak.

Sementara Arab Saudi pula akan mewajibkan individu yang hendak berurusan di institusi atau pejabat kerajaan, swasta dan menggunakan pengangkutan awam diwajibkan disuntik vaksin Covid-19 dan ia berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Dari satu segi, ganjaran, insentif dan peraturan baharu boleh dilihat sebagai strategi untuk menarik lebih ramai penduduk untuk divaksin. Ia bukanlah sesuatu yang sukar dilaksanakan dan sudah lama dipraktikkan.

Cabutan bertuah, umpamanya, sering diadakan pada temasya sukan, kenduri, mesyuarat, sehingga ke acara keraian lebih kecil iaitu hari sukan dan hari keluarga mana-mana jabatan dan organisasi.

Pada masa sama, usaha ini mampu 'memujuk' sesetengah pihak yang menolak vaksin termasuk golongan antivaksin. Hakikatnya, sukar untuk meyakinkan golongan ini untuk mengubah fikiran. Ia walaupun vaksin terbukti mengurangkan kadar kematian, jangkitan serius dan jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:15 AM