FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

WAHAI orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff 61 ayat 2-3)

Dua ayat yang diucapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran jelas menunjukkan sikap-Nya yang cukup tegas apabila menyentuh berkaitan perangai manusia yang tidak sempurna yang menyerlahkan akhlaknya terhadap manusia lain.

Setiap waktu manusia berlumba-lumba mencari kesenangan dan tidak kurang juga yang cuba mencipta keburukan untuk ditimpakan kepada orang lain dengan niat menjatuhkan maruah atau imej mereka.

Isteri saya pernah cakap begini sambil menitiskan air mata, "Abang, boleh tak abang jadi pendengar yang setia?" Lantas, saya pun kesat air mata dia dan berkata: "Saya rasa saya sudah mendengar semua apa yang saya mahu."

Dia tinggalkan ayat itu kepada saya tanpa memberitahu sebab dan di mana kesalahan saya. Namun, lama kemudian saya baru sedar maksud 'mendengar' itu bukan hanya di saat dia bersedih atau waktu hendak bercerita masalah yang sepatutnya didengar.

Mereka adalah wanita yang teramat sensitif dan respons kita sangat penting buat mereka dan jika terleka, mereka menyimpan dan memendam perkara yang menjadi sebab kita terus berfikir.

Hakikatnya, saya tidak suka melihat air mata isteri saya tertumpah walaupun kadangkala ada perkara yang tidak patut untuk bersedih, tetapi itulah isteri dan wanita adalah tempat untuk kita belajar memahami lebih sifat mereka sebagai seorang isteri.

Namun, perlu kita ingat, keberkatan rezeki lebih mudah jika kita melakukan apa yang disukai Allah SWT.

Ada yang mendefinisikan kebahagiaan itu bersifat peribadi dan tiada kena mengena dengan orang lain, Namun, Eleanor Roosevelt berkata bahawa "kebahagiaan itu bukan matlamat, tetapi adalah biproduk kehidupan yang kita hidup dengannya."

Ada orang memberi takrif bahawa sesuatu itu bersifat cantik, tetapi ia tidak kekal kerana segala yang bersifat cantik memang sebenarnya ia bersifat sementara.

Rezeki tidak akan terhapus kerana kebencian yang dihunjamkan oleh seseorang kepada orang lain dan ia juga tidak akan terhapus kerana keyakinan dirinya ia akan menjadi singgahsana pada dirinya sahaja.

Sikap mengadu domba dan pakar kejahatan terhadap rakan-rakan adalah tindakan yang tidak akan memberi kemenangan dan kejayaan yang tulen supaya dirinya mendapat kejayaan di dalam hidupnya.

Perangai yang bersifat buruk ini berlaku di mana-mana hatta dalam kalangan individu yang terbabit dalam apa sahaja bentuk perniagaan atau politik atau wadah organisasi yang bersifat rohani.

Kemuncak kepada jalan yang lurus ialah kembali kepada Allah dengan sikap memohon keampunan dan taubat yang membawa kepada peningkatan darjat insan dan bebas daripada sikap buruk sama sekali.

Hanya kembali kepada Allah SWT menjadikan segala ruang kejahatan dapat dielakkan dan kejahatan dapat ditukar kepada jalan mencari ketenangan menuju panggilan Tuhan.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:59 AM