PROGRAM All Together Now Malaysia yang membariskan 50 selebriti mengikut SOP ketat.
PROGRAM All Together Now Malaysia yang membariskan 50 selebriti mengikut SOP ketat.
Syafil Syazwan Jefri


PADA ketika situasi pandemik memuncak seperti sekarang, banyak perubahan yang kita dapat lihat dalam diri setiap masyarakat.

Antara yang positif adalah ramai yang mula mendekatkan diri dengan Tuhan dan mendalami ilmu agama.

Dapat dilihat juga segelintir masyarakat mula mengambil berat mengenai aktiviti keagamaan sekali gus ada juga yang meluahkan rasa terkesan dan sedih apabila mereka tidak dapat melangkah ke rumah ibadat.

Sejujurnya, saya selaku salah seorang anggota masyarakat gembira dan rasa terharu apabila dalam 'mimpi ngeri' ini rupa-rupanya ada sisi lain yang lebih indah. Di media sosial, ramai yang meluahkan pendapat masing-masing mengenai keizinan untuk melakukan amal ibadah di tempat-tempat ibadat.

Dari satu perspektif lain, saya juga adalah wartawan hiburan yang pada masa sama, meneliti setiap luahan dan pendapat itu.

Malah, nampak gayanya seperti menghentam industri hiburan.

Saya faham, hiburan itu sentiasa dilihat sebagai sesuatu yang melekakan. Namun, tidak semuanya adalah perkara yang mampu membuatkan penonton leka kerana ada juga program-program yang bersifat ilmiah dan keagamaan.

Beberapa hari lalu, saya ada terbaca hantaran seorang individu di Facebook yang saya sendiri pun tak pasti, berapa kali dia menyunting semula statusnya selepas dihujani pelbagai komen.

Dalam hantarannya, individu itu meluahkan kekecewaan apabila program bercorak hiburan ditayangkan dan secara spesifiknya, dia menamakan program All Together Now Malaysia sebagai sasaran.

Dalam luahannya itu, dia mempertikai bagaimana program yang membariskan 50 selebriti dapat dijalankan sedangkan pintu masjid tidak dibuka untuk masyarakat beribadah.

Sebab itulah sebelum kita ingin menulis sesuatu terutama di media sosial, kita perlu pertimbangkan banyak perkara dan cari fakta terlebih dahulu.

Program hiburan kebanyakannya dirakam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana industri kreatif menjadi antara industri yang berdepan dengan SOP paling ketat.

Pantang ada sedikit salah perlanggaran SOP berlaku, ia boleh menjejaskan keseluruhan produksi dan silap hari bulan, seluruh industri juga akan terkesan hanya dek satu kesilapan.

Jadi, seperti yang saya tekankan, kebanyakan program hiburan adalah program rakaman dan prosesnya juga dilakukan beberapa bulan lalu, sebelum sekatan pergerakan penuh (SPP) dijalankan.

Menyentuh semula hantaran individu itu di Facebook, dia mempersoalkan adakah program hiburan sesuai ditayangkan pada masa sekarang.

Saya yakin, lebih ramai netizen di luar sana yang faham mengenai prosedur kerja stesen TV. Kebanyakan program sudah diatur jadualnya untuk mengisi tarikh dan masa yang sudah ditetapkan.

Saluran yang menjadi platform tayangan program hiburan itu juga adalah saluran yang memang konsepnya adalah bertemakan hiburan.

Kerana itulah ada beberapa saluran dan stesen TV yang menyajikan program khas untuk keagamaan kerana mereka tahu sasaran penonton mereka.

Saya sendiri tak faham, mengapakah individu yang mencari agama ini tidak menonton saluran khas seperti Astro Oasis atau TV AlHijrah yang memang menyiarkan kandungan berteraskan agama.

Lagi satu, kita perlu sentiasa ingat bahawa di negara kita, ada pelbagai kaum dan agama. Justeru, bukan semua orang berkongsi minat yang sama.

Ada yang sukakan hiburan, ada sukakan sukan, ada sukakan program ilmiah dan agama. Jadi, apa kata kita hormati minat orang lain dan kalau kita tak suka, tak payah tonton.

Daripada asyik bising 'Masjid ditutup' persoalannya, waktu masjid dan surau dibuka, kaki melangkah ke sana tak?

Tentulah akan ada jawapan, "Itu antara saya dengan Tuhan. Kalau saya pergi pun, saya takkan tunjuk."

Jadi, janganlah ambil alih tugas Tuhan untuk menghakimi orang lain kerana semua orang ada tugas dan tanggungjawab masing-masing termasuklah stesen TV.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 5:59 AM