GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

ILMU adalah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Ilmu diperoleh melalui proses pendidikan yang terbaik. Proses pendidikan berlaku kepada manusia sejak azali lagi apabila Allah SWT mengajarkan ilmu kepada Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman: "Dan Ia mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar" (Surah al-Baqarah, ayat 31). Manakala kepada Nabi Muhammad SAW proses pendidikan ini jelas dengan penurunan ayat pertama iaitu firman Allah SWT: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5)

Pendidikan juga berkembang melalui proses yang berlaku sejajar dengan perkembangan tamadun manusia. Apabila berlaku kemajuan dalam ketamadunan manusia, maka proses pendidikan akan seiring maju bersama. Manakala teknologi dalam pendidikan juga melalui pelbagai perkembangan dari dahulu sehingga sekarang. Sehingga kita sampai kepada zaman kemajuan dan kecanggihan dalam Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Oleh itu, bidang pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasi ICT dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Seterusnya, dalam era pandemik Covid-19 ini secara khususnya, berlaku anjakan yang begitu drastik dalam teknologi pendidikan. Penggunaan teknologi terkini dalam komunikasi secara umum dan dalam pendidikan secara khusus melonjak ke hadapan dengan begitu ketara. Sama ada di peringkat pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi.

Penggunaan ICT dalam pendidikan semasa pandemik Covid-19 ini secara tepatnya lebih kepada proses PdP yang berlangsung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kalinya berlaku pada Mac 2020. Apabila institusi pendidikan semua peringkat ditutup, maka proses PdP diteruskan dengan PdP secara online (atas talian) dan juga hybrid (gabungan). Pada peringkat awal, kebanyakan pihak banyak menggunakan PdP online sahaja. Namun, setelah beberapa bulan menggunakan kaedah online, kebanyakan institusi mengembangkan kaedah PdP kepada kaedah hibrid yang lebih mesra suasana semasa yang berlaku. Iaitu apabila diadakan secara PdPR. Terutamanya apabila PKP dilonggarkan dan ada pihak tertentu yang dibenarkan bersemuka. Dalam masa sama, masih ada keterbatasan bagi sesetengah pihak bersemuka dan bersama dalam sesuatu sesi. Justeru, kaedah hybrid adalah yang paling sesuai.

PdP secara hybrid ini pastinya menjadi kaedah lebih praktikal semasa pandemik yang belum ada kesudahan.

Tidak dinafikan kaedah bersemuka yang paling efektif. Namun, sekiranya kaedah ini terus diamalkan dalam bidang dan institusi tertentu pastinya membuka ruang lebih luas untuk penglibatan pihak tertentu dan akan membantu kemajuan sistem pendidikan kita. Ia menjadikan kita setaraf dengan sistem pendidikan di negara maju yang jauh ke hadapan dalam penggunaan teknologi ICT dalam pendidikan.

PdP secara online telah menjamin kelangsungan sistem pendidikan kita dan mengurangkan kesan akibat pandemik Covid-19. Pendidikan di semua peringkat dapat diteruskan dengan kelebihan yang ada pada teknologi ICT yang ada sekarang. Beberapa peperiksaan umum yang penting juga dapat dijalankan. Rakyat juga secara umumnya didorong untuk memajukan diri dan terlibat sama dalam arus kemajuan ini. Bermula daripada pengguna telefon biasa kepada telefon pintar. Seterusnya masyarakat terbiasa dengan penggunaan aplikasi penting untuk urusan kehidupan seperti berkomunikasi, berurusan dengan pihak berwajib, membeli-belah dan sebagainya.

Begitu juga dalam sektor pendidikan. Sebagai contoh, apabila PdP diadakan secara online, dapat menarik pelajar dari jauh tanpa mengira jarak dan suasana yang berlaku. Pada ketika ini, pelajar dari Sabah boleh mengikuti pengajian online dari tempat tinggal mereka walaupun institusi itu di Kelantan. Buktinya, sebagaimana yang berlaku di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Bachok, Kelantan. Terdapat beberapa peserta Sijil Pengajian al-Quran dan Bahasa Arab dari Sabah, mereka bersyukur kerana dapat menyertai pembelajaran melalui online. Begitu juga dengan beberapa institusi lain yang pastinya masing-masing membuka peluang sebegini kepada lebih ramai prospek.

Pada masa sama, beberapa perkara berbangkit haruslah diambil kira seperti isu ketelusan (terutama dalam hal pelaksanaan peperiksaan), kemampuan institusi dan kekangan kewangan. Walau bagaimanapun, pastinya pihak kerajaan melalui institusi tertentu seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi akan mengkaji inisiatif ini. Apatah lagi bila kita merujuk bahawa pendidikan juga mestilah mengambil kira kekuatan pendidikan agama dan moral. Menurut Tajul Arifin (2002) dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan Manusia: Pendekatan Bersepadu menyatakan bahawa untuk menjana kekuatan sesebuah bangsa dan negara, kekuatan agama hendaklah dibina dan dikembangkan di semua peringkat pendidikan. Manakala untuk mencapai matlamat memiliki warganegara yang baik, asas pembinaan manusia haruslah bersepadu dan bermula dengan pembinaan akidah yang benar dan kukuh.

Tegasnya, kemajuan dalam teknologi ICT ini mesti diambil peluang oleh semua sektor pendidikan negara untuk mengembangkan lagi kaedah PdP pada masa hadapan. Jadikan situasi sekarang sebagai titik tolak untuk memacu kemajuan dalam teknologi pendidikan kita. Seterusnya, fikirkan untuk ke arah amalan kaedah hybrid yang pastinya lebih terbuka. Mungkin tidak secara drastik dan terlalu meluas, tetapi mesti bermula dengan beberapa institusi yang sepatutnya mengambil inisiatif meneroka lebih awal seperti di peringkat universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:12 AM