FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norhayati Nordin

Sejak tahun lalu hingga kini, berita penularan pandemik Covid-19 di negara ini masih menjadi perhatian hangat dan ia tidak menampakkan tanda-tanda akan berakhir pada waktu terdekat.

Sebagai langkah untuk mengekang penularan yang berlaku, pihak kerajaan juga sudah tiga kali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, orang ramai tidak dibenarkan melakukan aktiviti merentas negeri dan daerah bagi meraikan Aidilfitri. Kita juga tidak dibenarkan melakukan aktiviti kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri dan hanya boleh berkumpul bersama keluarga
di dalam satu rumah saja.

Namun, tetap ada cerita kurang manis menjadi perhatian ramai membabitkan sikap kurang sensitif segelintir pihak yang 'melanggar' prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sebelum Aidilfitri lagi, dipaparkan juga berita membabitkan segelintir selebriti dan instafamous yang hangat menjadi perbahasan warganet kerana tindakan mereka yang selamba merentas negeri.

Tidak perlu rasanya disebutkan nama mereka kerana sudah bersepah berita disiarkan dan tindakan pun sudah diambil.

Namun, sayang kerana ada yang masih degil dan keras kepala untuk mematuhi undang-undang walaupun sudah dikenakan tindakan.

Menjelang Aidilfitri baru-baru ini, turut dilaporkan ramai selebriti disahkan positif Covid-19. Ada antara mereka menunjukkan gejala dan begitu juga sebaliknya.

Ingatkan cukuplah dengan berita itu dan takkan ada 'sensasi' lain yang wujud. Tapi, sangkaan nampaknya meleset kerana ada juga berita 'kurang manis' dipaparkan apabila terdapat segelintir selebriti merentas negeri dan pulang beraya di kampung, termasuk yang melakukan aktiviti ziarah ketika PKP walaupun tidak dibenarkan.

Semuanya 'dibongkarkan' mereka sendiri menerusi perkongsian hantaran foto di media sosial. Walaupun dimuat naik hanya beberapa saat sebelum dipadamkan, mereka (selebriti) lupa bahawa netizen lagi pantas bertindak dan akhirnya tular.

Kertas siasatan pula terus dibuka pihak berkuasa dan kompaun juga dikenakan. Namun, tetap ada netizen panas hatidi media sosial dan berdebat mahukan keadilan yang menjurus hukuman lebih setimpal.

Apapun, jika di Palestin, rakyatnya sibuk berjuang untuk kebebasan daripada kekejaman pihak Zionis, tapi di negara ini, musuh kita masih lagi virus tak kelihatan Covid-19 yang bermaharajalela.

Setiap hari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan mengenai kes jangkitan meningkat, begitu juga dimaklumkan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pusat kuarantin hampir penuh serta angka kematian dicatat makin tinggi, tapi masih ramai yang degil.

Apa yang kita mahu sebenarnya? Malah, bagi segelintir selebriti pula tidak bolehkah anda menunjukkan contoh positif yang mampu membuatkan orang lain tenang hati serta tidak membangkitkan kemarahan sesiapa?

Apabila wujud pelanggaran undang-undang dalam kalangan selebriti ini pasti dikaitkan dengan golongan 'kayangan' yang dilihat sebagai pihak ada kelebihan tertentu dan boleh buat apa saja disukai mereka tanpa melihat undang-undang.

Sebagaimana disebut pelakon dan penyanyi popular, Naim Daniel, selebriti yang mempunyai ramai pengikut seharusnya ada sifat bertanggungjawab ketika mahu membuat sebarang perkongsian atau memuat naik apa saja cerita mereka di media sosial.

Menjadi contoh terbaik sangat penting kerana selebriti yang mempunyai ramai pengikut itu sering dijadikan bahan rujukan dan ikutan oleh orang lain.

Justeru, seharusnya buatlah perkongsian yang berpada-pada.

Naim berkata, dia sendiri tidak pernah berasakan menjadi selebriti yang dikenali sebagai 'tiket' untuk melayakkannya mendapat lampu hijau dan boleh buat semua benda yang diinginkan tanpa menghiraukan perasaan orang lain.

"Walau apapun, kita tetap perlu pastikan dan tahu yang kita semua ini masih rakyat juga. Kita sama-sama perlu jaga kita dan tak ada sebarang pengkhususan atau double standard untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.

Katanya, adalah patut dipastikan setiap perkara yang hendak dikongsi serta dimuat naik di media sosial itu adalah sesuatu yang baik untuk semua yang melihatnya dan tidak mendatangkan sebarang sakit hati atau rasa marah.

Dalam keadaan pandemik sekarang, ramai orang yang terjejas dan mempunyai masalah masing-masing dan boleh dikatakan kebanyakan daripada kita sedang berjuang dari segi kekuatan mental sebab tak tahu apa pula terjadi di masa akan datang.

Buat golongan selebriti, tolong guna pengaruh media sosial sebaik mungkin. Fikir semasak-masaknya dahulu sebelum bertindak membuat sebarang perkongsian supaya tiada pihak lain akan berasa 'terluka.'

Penulis wartawan meja hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:15 AM