UNTUK merealisasikan impian dan harapan perlulah bersungguh-sungguh dan mendakinya tanpa mengenal rasa penat lelah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
UNTUK merealisasikan impian dan harapan perlulah bersungguh-sungguh dan mendakinya tanpa mengenal rasa penat lelah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Terkedu, sedih, terharu bercampur bangga tidak terkira apabila mendengar cerita berkaitan artis terkenal era 1990-an iaitu Renggo Arrow atau nama sebenarnya, Mohd Zain Ramli.

Artis masih kacak bergaya sehingga ke saat ini terdampar di Chow Kit pada awal 1990-an dengan berbekal wang saku RM14 apabila berkelana dari Kelantan ke Kuala Lumpur selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata mahu menjadi artis.

Itulah impian dan cita-cita dalam lubuk hatinya yang tidak boleh disangkal atau disimpangkan orang lain. Sejak sekolah rendah, apabila ditanya guru, dia akan menjawab mahu menjadi artis. Pada hal ketika itu rakan lain menulis dalam fail ingin menjadi peguam, doktor, guru dan sebagainya. Tidak kisah digelak kawan-kawannya, itulah cita-cita dan impiannya dari kecil, bertungkus-lumus dari Chow Kit menjadi penyanyi jalanan dan pada sebelah malam bekerja menebar roti canai di sebuah restoran untuk survive di ibu kota.

Sehinggalah bertahun-tahun berusaha tanpa mengenal jemu, akhirnya dia menjadi artis bersama kumpulan Arrow dan popular dengan lagu Niat Hati Tak Nak Berpisah. 'Tabik spring' atas usahanya dalam mengejar impian hingga berjaya dan tidak pernah mempedulikan kata kawan dan masyarakat sekeliling dalam mengejar impian hingga tercapai.

Penulisan kali ini ingin mengambil jiwa dan semangat artis berkenaan kerana apabila ditanya, dia bukan menjadikan contoh jutawan kosmetik, tudung, ubat atau lain-lain yang berjaya.

Keunikan impian dan harapan Renggo Arrow adalah dia berjaya mencapai cita-citanya dan tidak pernah kecewa walaupun pada akhirnya bukanlah happy ending dengan bergelar jutawan atau sebaris dengannya atau sebagaimana sinetron selalu kita tengok di kaca televisyen.

Impian dan cita-citanya tercapai dengan usaha dan semangat kuat walaupun pada masa kini dia pulang ke kampung dan beralih arah kepada menebar roti canai semula untuk meneruskan hidup. Walaupun tidak berakhir dengan kejayaan melimpah-ruah, kita tengok daripada sudut positif berkisar pada impian yang tercapai dan dia berjaya menggapainya.

Tidak seperti selalu, penulis ketengahkan kejayaan orang lain bermula susah dan berakhir dengan happy ending. Tapi, penulis ingin ketengahkan disebabkan tidak semua kita mampu menjadi jutawan atau orang berjaya, kita cuma hidup dalam keadaan boleh survive sahaja dan itu sudah memadai dalam meneruskan kehidupan.

Siapa yang tidak ingin memandu BMW atau Mercedes? Tapi bersyukurkan kita masih mempunyai Perodua Viva kerana ramai lagi yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam dengan menaiki bas atau berjalan kaki sahaja.

Penulis ingin mengupas sedikit mengenai harapan dan impian kerana setiap insan ingin memenuhi impian dan cita-citanya sendiri dan ia akan bergerak dalam jiwa seiring dengan usia dan kemudian dinyatakan dengan tergapai cita-cita untuk mendongak megah di pokok tinggi.

Tidak kira sama ada impiannya tercapai atau tidak atau sekadar angan-angan yang tinggal menjadi kenangan di benak jiwa.

Untuk merealisasikan impian dan harapan perlulah bersungguh-sungguh dan mendakinya tanpa mengenal rasa penat lelah, malah ada buku menyatakan 'Langkah ke-10 bermula daripada langkah pertama.' Maksudnya, jika tidak mahu memulakan langkah pertama, jangan mimpi akan sampai ke tangga ke-10 itu.

Penulis tidak menyentuh perihal kejayaan dicapai orang lain, jika kita bertanya, semuanya menyatakan bermula dari kosong dan usaha tanpa rasa kenal erti penat lelah, jatuh bangun daripada kegagalan hinggalah berjaya.

Jika dihitung kejayaan mereka itu boleh disimpulkan seorang dalam puluhan ribu, apa yang cuba diketengahkan di sini ialah kejayaan kita sedang alami dan ada sekarang. Walaupun hanya memenuhi impian dan harapan pada peringkat sederhana sahaja, ia akan digelar kejayaan dan memenuhi impian dan cita-cita kita sendiri. Sama ada kita berimpian dan bercita-cita sejak kecil sehingga kini adakah berjaya atau tidak, jangan dipedulikan kerana itulah takdir dan nasib kita yang ditentukan Allah.

Perlu terima qadak dan qadar dan jika sudah berjaya, mestilah bersyukur dengan apa yang ada sekarang ini dan banyakkan memberi sedekah dengan niat bersyukur atas kejayaan dicapai.

Tidak kisahlah jika sekarang kita hanya seorang konstabel polis, prebet askar atau kerani biasa, pekerja kilang, pemandu lori atau operator telefon, kita sebenarnya sudah mencapai cita-cita yang kita harapkan serta wajarlah mensyukuri nikmat itu.

Bayangkan diri kita ketika mula-mula bermula demi cita-cita. Sedikit kisah penulis dan cerita ini dikongsikan untuk memberi semangat kepada anggota yang sedang berkhidmat.

Pada permulaannya, penulis menaiki bot selama 12 jam dari Belaga ke Kuching, Sarawak untuk mengambil borang permohonan menjadi polis. Sehinggalah beberapa kali berulang-alik menaiki bot untuk proses dokumentasi, ujian kesihatan dan fizikal sehinggalah dipanggil untuk latihan polis. Bukan kita mohon jawatan tertinggi pegawai atau sebagainya, cukuplah apa ia memenuhi impian dan cita-cita.

Boleh kita rasa kemanisannya saat ini ketika sudah mendapat jawatan itu dan sedang berkhidmat. Merasai pengalaman itu tersangat manis dan indah. Apa juga yang kita hadapi sekarang ini sama ada masih bertugas atau pencen, menikmati pengalaman itu memang manis.

Jika kita sedang bertugas sekarang, bayangkan apa yang dilalui pada masa lalu untuk kejayaan buat masa ini. Kita yang menjadikannya sebagai impian dan harapan dan kita tidak kisahlah walaupun hanya boleh cukup makan saja.

Jangan kita hilang arah atau dalam erti kata lain lupa diri sehingga terjebak dalam penagihan dadah dan rasuah. Mutu disiplin tidak baik ini akan mengakibatkan buku yang kita sendiri tulis pada akhir jalan cerita nya agak sedih atau buku hanya siap separuh jalan tidak sempat dijual atau dterbitkan.

Akhir kata buat semua anggota polis yang masih bertugas, syukurilah dan rasakan nikmat diberi kepada kita. Buat yang sudah gugur, sedekahkan al-Fatihah dana terima kasih atas jasa anda. Bagi mereka yang sudah pencen, berilah sokongan kepada yang sedang bertugas dan semoga kita sentiasa dirahmati.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:10 AM