PKP yang dilaksanakan kali ini hanya membabitkan beberapa daerah di negeri tertentu namun aktiviti merentas negeri tetap tidak dibenarkan.
PKP yang dilaksanakan kali ini hanya membabitkan beberapa daerah di negeri tertentu namun aktiviti merentas negeri tetap tidak dibenarkan.
Syarifah Dayana Syed Bakri

TIDAK sampai seminggu lagi umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri. Jika tahun lalu kita semua meraikan lebaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini situasi sama berulang lagi.

Bezanya, PKP yang dilaksanakan kali ini hanya membabitkan beberapa daerah di negeri tertentu namun aktiviti merentas negeri tetap tidak dibenarkan.

Ini bermakna untuk tahun kedua, seluruh umat Islam di Malaysia tidak dapat menikmati suasana lebaran bersama keluarga tersayang.

Jika ada yang dapat bersama ibu bapa, pasti keadaannya tidak sama kerana ada ahli keluarga lain yang tidak dapat turut serta.

Pastinya semua orang berasa sedih dan kecewa. Namun, usah kita memandang negatif arahan yang dikeluarkan. Ia pasti untuk kebaikan kita bersama.

Dalam keadaan kes jangkitan Covid-19 di negara kita melebihi angka 3,000 setiap hari, sudah pasti situasi agak membimbangkan.

Malah, beberapa hospital dilaporkan berdepan masalah unit rawatan rapi (ICU) yang penuh dengan pesakit Covid-19.

Kita pasti tidak mahu semua hospital di seluruh negara berdepan masalah sama. Ingatlah bahawa fasiliti kesihatan kita masih diperlukan untuk merawat pesakit lain.

Cuti perayaan yang panjang mengundang risiko penularan jangkitan. Indonesia misalnya, sejak awal Ramadan sudah mengeluarkan larangan pulang ke kampung atau mudik berdasarkan pengalaman tahun lalu.

Presidennya, Joko Widodo dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat hasil pelbagai pertimbangan kerana republik berkenaan merekodkan peningkatan kes selepas empat kali cuti panjang yang berlangsung tahun lalu.

Menurutnya, pada cuti sempena Aidilfitri tahun lalu, Indonesia merekodkan peningkatan kes sehingga 93 peratus dengan kematian mingguan sehingga 66 peratus.

Malah, beberapa cuti panjang yang direkodkan pada Ogos, Oktober dan Disember tahun lalu juga menyebabkan berlaku peningkatan kes jangkitan dan kematian.

Untuk tahun ini, Indonesia melaksanakan larangan mudik mulai 6 hingga 17 Mei ini.

Selain Indonesia, kita juga boleh mengambil pengalaman Thailand yang berdepan peningkatan kes selepas cuti panjang sempena perayaan Songkran pertengahan bulan lalu.

Walaupun larangan sudah dikeluarkan berkaitan perjalanan rentas negeri namun masih ada individu yang berdegil dan pulang ke kampung masing-masing.

Akibatnya, selepas cuti berakhir, negara berkenaan merekodkan peningkatan kes menghampiri 1,000 setiap hari, walaupun sebelum ini Thailand boleh dianggap 'tenang' dengan ancaman Covid-19 kerana kes jangkitan tidak terlalu tinggi.

Namun, menginjak ke bulan Mei, kes di Thailand melebihi angka 1,000 setiap hari, hasil yang 'dituai' akibat cuti Songkran.

Malah, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) sudah membuka hospital lapangan kelima untuk menampung pesakit Covid-19. Stadium Chaloem Phra Kiat di daerah Thung Khru di Bangkok diubah suai menjadi hospital lapangan yang menempatkan 400 katil serta dilengkapi kemudahan ICU.

Hospital Charoenkrung Pracharak akan menyediakan doktor, kakitangan perubatan dan peralatan termasuk mesin sinar-X, oksimeter dan rangkaian teleperubatan yang canggih untuk memastikan pesakit di hospital lapangan dapat dipantau pada setiap masa.

Belajarlah dari pengalaman negara jiran kita. Adakah kerajaan Indonesia sengaja melaksanakan larangan mudik untuk menyeksa perasaan rakyat sendiri? Atau adakah kerajaan Malaysia sengaja melarang aktiviti rentas negeri kerana dengkikan rakyat bersuka ria bersama keluarga di kampung?

Sudah pasti tidak. Kita sabar sedikit saja. Saya yakin selepas kes jangkitan berkurangan, tidak ada halangan untuk kita ke mana-mana.

Kita juga perlu ingat bahawa kakitangan barisan hadapan juga ada keluarga menanti mereka di kampung.

Mereka bukan saja tidak boleh pulang menyambut lebaran, malah untuk bercuti ke Langkawi atau membeli permaidani di negeri berdekatan pun mungkin tidak boleh jika kes jangkitan berterusan merekodkan peningkatan.

Usah kita mendongak langit, memagar diri bagai aur umpama enau dalam belukar. Kerana hidup ini bukan berkisar mengenai kita saja.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:59 AM