GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Istajib Mokhtar

Malaysia adalah sebuah negara yang proaktif dan reaktif terhadap polisi, triti dan konvensyen antarabangsa dalam usaha melindungi bumi.

Buktinya, kita dilihat begitu komited dalam meratifikasi pelbagai perjanjian multilateral alam sekitar, antaranya: Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (1978), Montreal Protocol (1989), Convention on Biological Diversity (1994), Ramsar Convention (1995), ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (2002), Kyoto Protocol (2002), Cartagena Protocol (2003), Paris Agreement (2016), Nagoya Protocol (2019) dan banyak lagi.

Malaysia tidak seperti sebahagian negara yang dilihat lebih bersifat selektif dalam menandatangani perjanjian antarabangsa atau serantau kerana kepentingan ekonomi mereka semata-mata.

Kita cukup sedar bahawa tanggungjawab melindungi bumi bukan hanya mengikut kepentingan sendiri.

Walaupun setiap negara yang merdeka itu berhak melindungi kedaulatan undang-undang masing-masing, namun, perlu juga sedar bahawa perubahan iklim tidak terhenti di sempadan jajahan takluk pemerintahan, namun mampu mencapai keseluruhan muka bumi.

Pencemaran air, misalnya tidak hanya mengalir mengikut sempadan negara tertentu sahaja, tetapi turut merentasi negara jiran, terutamanya yang berkongsi sungai yang sama seperti Sungai Nil di benua Afrika (meliputi 11 negara).

Begitu juga pencemaran udara, jerebu, contohnya tidak hanya berlegar di sesebuah negara, tetapi merebak ke sempadan negara jiran, selagi mana molekul udara masih mampu berolak, seperti yang terjadi di negara ASEAN saban tahun.

Malah, burung hijrah juga menjadi petunjuk usaha konservasi biodiversiti memerlukan komitmen dunia, sama ada yang berada di hemisfera utara mahupun selatan untuk sama-sama melindunginya.

Oleh itu, semua negara perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab rentas sempadan (transboundary responsibility) dan hubungan baik kejiranan (good neighbourliness) dalam usaha melindungi bumi dari terus lupus dan pupus.

Malah, komitmen Malaysia terhadap rejim alam sekitar antarabangsa diterjemahkan dalam bentuk perundangan di peringkat nasional. Malaysia adalah negara yang mempunyai hampir 50 undang-undang berkaitan alam sekitar. Antara yang terawal adalah Akta Air 1920 dan yang terkini Akta Akses Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017. Negara kita juga kini sedang berusaha menggubal undang-undang perubahan iklim yang lebih khusus. Inisiatif proaktif ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Bagaimanapun, berdasarkan Indeks Prestasi Alam Sekitar yang dibangunkan oleh Pusat Polisi dan Undang-undang Alam Sekitar, Universiti Yale, Amerika Syarikat, didapati kedudukan Malaysia tidak konsisten.

Kedudukan terbaiknya dalam tempoh 10 tahun terakhir adalah di tangga ke-25 pada 2012 dan kedudukan tercorot di tangga ke-80 pada 2016. Indeks mengambil kira 32 indikator termasuk aspek utama seperti perubahan iklim (24%), kualiti udara (20%), sanitasi dan bekalan air (16%), habitat dan biodiversiti (15%) dan lain-lain (25%).

Pada 2020, Malaysia berada pada kedudukan ke-68. Malaysia mendapat skor yang rendah kerana isu kehilangan hutan hujan tropika. Bagaimanapun, kita mengambil tanggungjawab proaktif dan reaktif dengan menjalankan kempen penanaman 100 juta pokok 2021-2025.

Malah, Malaysia baru-baru ini turut mewartakan Dasar Perhutanan Malaysia pada 21 Mac 2021 bersempena dengan Hari Hutan Antarabangsa.

Faktor pengasingan kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri mengikut Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan juga sering menjadi isu dalam pengurusan alam sekitar, sedangkan alam sekitar tidak boleh diasing tetapi saling berkaitan antara satu sama lain.

Oleh itu, prinsip kerjasama bersepadu di antara pemegang taruh amat penting. Sebenarnya, usaha ini sudah dimulakan, malah semakin diamalkan dan membuahkan hasil, tetapi ia perlu diperkasakan lagi.

Sistem perundangan alam sekitar di Malaysia yang bersifat bersegmen mengikut sektor agensi ini walaupun pada awalnya dilihat menjadi punca masalah, tetapi keadaan ini memberi laluan kepada pendekatan kerjasama dan bersepadu (ta'awun) sebagai pendekatan terbaik untuk dilaksanakan di negara kita, seperti yang digalakkan dalam Islam.

Semua tokoh ilmuwan alam sekitar Islam seperti Fazlun Khalid, Mawil Izzi Dien dan Ziauddin Sardar menekankan kepentingan ta'awun untuk menguruskan alam sekitar.

Walaupun berbeza bidang kuasa, tetapi kerjasama perlu dilakukan terutama dari aspek pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang.

Pendekatan ta'awun ini menjunjung aspek tauhid (keesaan Tuhan yang satu) yang diajarkan sebagai asas sistem kehidupan Islam. Memahami tauhid dengan mendalam akan menyedarkan kita bahawa hanya Allah pemilik dan pengurus bumi (tauhid rububiyyah) dan bumi ini diciptakan untuk manusia beribadat kepada Allah (tauhid uluhiyyah).

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hasyr ayat 23-24 yang bermaksud: "Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai sekalian alam; Yang Maha Suci; Yang Maha Sejahtera dari segala kekurangan; Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat menundukkan segala-galanya; Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan daripada tiada kepada ada; Yang Membentuk rupa makhluk- makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya; bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih (beribadat) kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana."

Jika manusia sedar bahawa hanya Allah pemilik bumi yang sebenar, manusia tidak akan mengeksploitasi seolah-olah bumi ini milik peribadi.


Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) dalam bidang sosio-perundangan Islam dan kelestarian alam sekitar. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:00 AM