SEORANG pegawai tentera menampal di dinding gambar kru kapal selam KRI Nanggala-402  yang dilaporkan hilang. FOTO EPA
SEORANG pegawai tentera menampal di dinding gambar kru kapal selam KRI Nanggala-402 yang dilaporkan hilang. FOTO EPA
Syarifah Dayana Syed Bakri

Berita berkaitan kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala-402 yang terputus hubungan ketika latihan di perairan berhampiran Bali mengejutkan banyak pihak serta turut mencuit simpati rakyat Malaysia.

Kejadian seumpama itu yang pertama kali berlaku ke atas negara jiran kita ternyata mengundang pelbagai rasa.

Ia bukan kemalangan biasa seperti di daratan yang boleh dilihat depan mata.

Ia membabitkan kapal selam yang umum tahu keadaannya bagaimana.

Ketika rencana ini ditulis, usaha mencari kapal berkenaan masih dijalankan dengan perkhabaran menyatakan bahawa bekalan oksigen dalam kapal itu hanya mampu bertahan 72 jam atau sehingga pagi ini Sabtu.

Membayangkan saja sudah cukup menyedihkan.

Berdasarkan laporan agensi berita Indonesia, penganalisis pertahanan, Connie Rahakundini Bakrie berkata, kapal selam adalah aset ketenteraan yang jarang berdepan kecelakaan.

Maka, apabila kejadian seperti ini dilaporkan ia adalah berita yang sangat menggemparkan.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan KRI Nanggala-402 ditimpa kemalangan antaranya usia, kekerapan penggunaan dan penyelenggaraan.

Connie berkata, kapal selam itu pernah berdepan masalah Mac lalu pada sistem kemudi namun dapat diatasi.

Katanya, beliau melihat dokumen berkaitan isu berkenaan dan tidak menolak kemungkinan faktor penyelenggaraan menyebabkan kapal itu berdepan masalah.

Ini kerana, menurutnya faktor kecuaian manusia sangat jarang berlaku.

Katanya, aset yang digunakan untuk latihan tidak sepatutnya digunakan dalam operasi sebenar kerana mempunyai fungsi berbeza.

Namun, disebabkan jumlah aset yang terhad maka ia digunakan untuk kedua-dua tujuan menyebabkan jangka hayatnya semakin pendek.

Kejadian ini secara tidak langsung dikaitkan dengan apa yang berlaku ke atas kapal selam milik tentera Rusia, Kursk.

Pada tahun 2000, dunia digemparkan dengan kejadian letupan kapal selam berkenaan menyebabkan 118 kru maut.

Siasatan mendapati torpedo meletup dengan sebahagian besar kru mati serta-merta, tetapi ada yang bertahan selama beberapa hari.

Kru yang masih bernyawa ketika itu sempat menulis buku harian yang menyayat hati menggunakan darah mereka sebelum dipercayai kelemasan kerana kekurangan oksigen.

Kejadian di Laut Barents itu menyaksikan Kursk sepatutnya menjalani latihan tembakan torpedo namun dua letupan di bahagian depan kapal selam itu tercetus sebelum tembakan sempat dilakukan menyebabkan kapal berkenaan terjunam ke dasar lautan.

Berdasarkan maklumat di portal History, Kursk yang berukuran 500 kaki dengan berat 24,000 tan itu adalah kapal selam terbesar dunia.

Selepas kejadian itu dilaporkan, beberapa negara tampil untuk membantu usaha menyelamat namun kerajaan Rusia menolak sebarang bantuan.

Akibat tekanan yang diterima, Presiden Rusia, Vladimir Putin akhirnya bersetuju membawa naik kapal selam itu untuk siasatan satu operasi yang tidak pernah dilakukan membabitkan saiz sebesar Kursk.

Tambahan pula, Laut Barents beku hampir sepanjang tahun menyebabkan operasi itu mempunyai peratusan kecil untuk berhasil.

Menggunakan teknologi dan kepakaran antarabangsa, Kursk berjaya dinaikkan setahun selepas ia tenggelam.

Bagaimanapun, untuk membawanya ke permukaan, pasukan berkenaan terpaksa memotong bahagian depan kapal selam itu walaupun ia adalah bahagian terpenting untuk mengesan punca letupan.

Mengambil keberkatan bulan Ramadan, sama-sama kita doakan pengakhiran yang baik untuk 53 kru KRI Nanggala-402.

Pastinya mereka yang bergelar anak, suami, bapa atau rakan insan lain dihimpit pelbagai emosi ketika ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:15 AM