RAMADAN kali ini beri sedikit kelonggaran apabila bazar Ramadan dan solat Tarawih dibenarkan di masjid serta surau.
RAMADAN kali ini beri sedikit kelonggaran apabila bazar Ramadan dan solat Tarawih dibenarkan di masjid serta surau.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Sedar tak sedar, sudah masuk minggu kedua umat Islam menjalani Ramadan tahun ini.

Walaupun 'peperangan' menentang Covid-19 belum tamat, berbanding tahun lalu, Ramadan tahun ini nampaknya memberikan kita sedikit kelonggaran dan sekurang-kurangnya, dapat juga kita bersama-sama merasa semula 'mood' Ramadan itu sendiri apabila bazar Ramadan dan solat Tarawih dibenarkan di masjid serta surau.

Sedikit sebanyak, timbul rasa lega dalam hati saya memandangkan ahli keluarga saya juga antara peniaga yang kini dalam kembali menjalankan operasi perniagaan bazar Ramadan di Perlis dan Kedah.

Namun, dalam pada kita meraikan kelonggaran itu, perlu sentiasa diingat juga mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu kita ikuti. Bukan saja untuk diri kita, tapi juga orang di sekeliling kita.

Ada beberapa hantaran di pelbagai platform media sosial yang saya nampak membuat rasa gusar bermain di fikiran apabila pengunjung bazar Ramadan di beberapa lokasi, dikesan tidak menjaga jarak fizikal dan sebagainya. Namun, saya yakin, itu hanyalah segelintir.

Dalam pada kita meraikan kehadiran bulan mulia ini, hati saya mula tertanya-tanya sama ada kerajaan akan membenarkan rakyat merentas negeri bagi pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri atau tidak?

Jika melihat jumlah kes jangkitan baharu dalam dua ke tiga hari ini, peluang untuk kita beraya bersama keluarga itu nampaknya tipis.

Namun, bohong kalau tidak ada secebis harapan kerana tahun lalu pun, Aidilfitri disambut secara berasingan buat mereka yang merantau seperti saya.

Sebagai perantau yang jauh dari keluarga, perasaan bercampur baur.

Memanglah saya sudah cukup dewasa untuk beraya jauh dari keluarga.

Namun, kalau dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri terutamanya bersama ibu, tentunya akan lebih bermakna.

Beberapa hari lalu juga, turut diumumkan mengenai kebenaran merentas negeri yang lebih diperketatkan.

Ramai meluahkan kekecewaan kerana ada yang beranggapan bahawa semakin diperketatkan, jumlah kes jangkitan baharu juga tak kurang peningkatannya.

Kalau Ramadan tahun-tahun sebelum ini, kita banyak melihat hantaran di media sosial mengenai #donesahur, #donetarawih #doneiftar dan sebagainya, tahun ini nampaknya ramai juga individu tidak sensitif yang berkongsi mengenai #donerentasnegeri.

Ya, hashtag itu tidak wujud pun kerana saya sekadar memberi sindiran buat golongan tertentu yang nampaknya, tak ada rasa sensitif dalam fikiran mereka.

Bukanlah saya nak membela pihak netizen atau apa, namun, saya yakin, dalam keadaan sekarang, mental, emosi, 'mood', perasaan dan pelbagai aspek seseorang individu itu tidaklah sekuat sebelum ini.

Tentunya akan ada rasa goyah lebih-lebih lagi dengan tekanan kerja, tekanan harga barangan keperluan yang semakin meningkat dan tambah-tambah yang tak dapat pulang bertemu keluarga.

Apabila ada individu tidak bertanggungjawab yang dengan terbuka berkongsi mengenai merentas negeri dengan alasan yang tidak masuk akal, itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.

Kalau dibenarkan merentas negeri untuk urusan kerja atau kecemasan, itu mungkin tak menjadi masalah.

Namun, bila merentas negeri, pulang ke kampung, muat naik pula gambar dan video di media sosial, itu namanya mengundang kecaman.

Apabila dikecam, mula pula melenting dan memuat naik hantaran berbaur ketuhanan, menyentuh agama dan play victim.

Perlu diingat, dalam situasi sekarang, setiap hantaran di media sosial mampu mencuri perhatian netizen, tidak kiralah sama ada anda public figure atau orang awam.

Sama-sama kita jaga sensitiviti andai kata tidak mahu dihujani dengan kecaman pedas. Tak mati pun kalau tak kongsi.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:00 AM