GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
minda

Pada 2030, hampir separuh populasi di dunia dijangka berdepan krisis air bersih di mana permintaan terhadap air bersih bakal melonjak 40 peratus lebih tinggi berbanding penawaran air yang sedia ada.

Isu ketidakcapaian perkhidmatan air yang wujud di sesebuah negara adalah antara indikator berlakunya kemiskinan tegar di negara itu.

Kekurangan sumber air mampu memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara dan kehidupan asas penduduk. Ia juga menjadi faktor utama yang menghalang pembangunan masyarakat.

Oleh itu, kebanyakan negara di dunia menjadikan isu air sebagai agenda utama kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.

Malaysia adalah sebuah negara yang secara relatifnya kaya sumber air dengan purata hujan tahunan kira-kira 2,400mm. Malangnya, beberapa negeri dan daerah di Malaysia mengalami krisis air yang sangat serius dek pencemaran, ketidakcekapan pengurusan air, rasuah dan fenomena pemanasan global.

Pengagihan curahan hujan yang tidak sekata di sesuatu kawasan dan waktu menyebabkan beberapa kawasan mengalami musim kering, manakala yang lain terjejas oleh banjir besar.

Pertambahan penduduk dunia yang pesat menyebabkan wujudnya peningkatan dalam permintaan air untuk tujuan penggunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

Selain itu, Malaysia dikategorikan sebagai antara negara yang mempunyai penggunaan air domestik yang tinggi secara purata, mengatasi kebanyakan negara lain. Dalam konteks ini, Pulau Pinang mencatatkan penggunaan domestik air tertinggi, sementara Sabah adalah yang terendah.

Seperkara lagi, isu air tidak berhasil (Non Revenue Water) menyebabkan sumber air di beberapa kawasan menjadi terhad dan menjejaskan kehidupan seharian.

Air tidak berhasil ini adalah air yang 'hilang' sama ada berpunca daripada kerosakan meter paip, kebocoran paip, kecurian air atau cara lain yang bukan sahaja memberi kesan kepada sumber air yang ada, malah ia juga turut memberi kesan terhadap sumber pendapatan kerajaan.

Antara kaedah untuk mengatasi masalah krisis air adalah dengan mengalakkan penggunaan sistem penuaian air hujan. Sebenarnya, kaedah penuaian air hujan adalah amalan tradisional sejak ratusan tahun dahulu.

Air hujan menjadi sumber utama bekalan air pada masa lalu kerana sistem bekalan air belum berkembang. Kaedah penuaian air hujan pada masa itu sangat mudah di mana air hujan dikumpul dari bumbung rumah secara langsung tanpa dirawat terlebih dahulu.

Kini, air hujan boleh dikumpulkan dengan menggunakan sistem penuaian air hujan (SPAH). Di Malaysia, kerajaan mula memperkenalkan SPAH pada 1999 terutama selepas Lembah Klang mengalami kemarau yang teruk pada 1998.

SPAH ini sudah dilaksanakan di kebanyakan negara seperti di Jepun, China, India, Jerman dan Australia untuk mendukung peningkatan permintaan air.

Penuaian air hujan adalah sebahagian daripada kaedah pembangunan lestari dan membawa banyak kebaikan kepada pengguna, kerajaan dan alam sekitar. Apabila digunakan secara besar-besaran, SPAH dapat membantu mengurangi banjir kilat di kawasan bandar dan meminimumkan hakisan tanah.

Satu kajian di Korea Selatan mendapati bahawa SPAH dapat mengurangkan banjir hingga 10 peratus. Pelaksanaan SPAH di beberapa daerah di New South Wales, Australia menghasilkan penjimatan air yang besar dari bekalan utama.

Selain itu, SPAH juga dapat mengurangkan kebergantungan pada air paip dan memberikan masa dan ruang kepada kerajaan untuk membaiki infrastruktur sedia ada. Walaupun beberapa dasar yang mendukung SPAH diperkenalkan kerajaan sejak 1999, penggunaan sistem itu masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat dan hanya terhad kepada bangunan kerajaan, rumah banglo dan semi-D.

Antara faktor menyebabkan kurangnya penggunaan SPAH ini adalah disebabkan kos pemasangan yang mahal sehingga menjangkau RM20,000 hingga RM350,000 mengikut saiz dan jenis bangunan. Kos pemasangan yang mahal menjadikan rakyat berasa pulangan pelaburan untuk memasang SPAH itu adalah rendah.

Selain itu, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai persepsi bahawa negara mempunyai banyak sumber air (ditambah pula dengan kejadian banjir yang kerap berlaku) membuatkan mereka berasa tidak perlu memasang SPAH.

Oleh itu, kerajaan disarankan memberi subsidi kepada rakyat untuk memasang SPAH seperti yang berlaku di Jepun, Uganda, dan Jerman.

Di Texas, kerajaan memberikan rebat dan pengecualian cukai untuk mengalakkan penggunaan sistem ini. Di Jerman, kerajaan memberikan subsidi sebanyak sepertiga daripada jumlah kos SPAH kepada rakyatnya.

Kerajaan juga perlu mengadakan kempen kesedaran untuk mengalakkan lebih ramai orang memasang SPAH. Selain itu, kerajaan juga disarankan untuk menggalakkan bangunan komersial untuk memasang SPAH.

Penjimatan daripada pelaksanaan SPAH di bangunan komersial lebih bermanfaat dan mampu memberikan pelaburan yang berbaloi kepada pengusaha komersial kerana tarif air komersial lebih tinggi dan penggunaan air lebih besar.

Selain itu, kurikulum berkaitan dengan SPAH perlu diperkenalkan di peringkat sekolah demi memastikan generasi muda dididik untuk memulihara sumber air.

Rakyat Malaysia perlu mengawal penggunaan air mereka. Masalah kebocoran dan kecurian paip pula perlu ditangani dengan segera.

Pembalakan haram perlu dibanteras secara tuntas demi menjaga kelestarian hutan dan sumber air negara. Kehendak politik (political will) untuk memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan air dalam negara perlu direncanakan secara komprehensif dengan mengambil kira kawasan di luar bandar sebelum perancangan pembangunan yang lebih besar dijajakan kepada rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:01 AM