KAKA Azraff, Loca B dan Noki menerusi lagu Gila ungguli juara di pentas AJL35.
KAKA Azraff, Loca B dan Noki menerusi lagu Gila ungguli juara di pentas AJL35.
Ridzuan Abdul Rahman

SEJAK bermulanya musibah Covid-19, penggiat seni dan program berbentuk hiburan sering menerima kecaman keras netizen.

Apa saja berita menjurus kepada artis yang disiarkan di Facebook, pasti akan berdepan kecaman beramai-ramai netizen.

Penulis bukan bermaksud menidakkan perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya, tetapi bukan sehebat seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Contohnya, penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). Setiap kali berita berkenaan AJL dimuat naik di media sosial termasuk Facebook rasmi Harian Metro, pasti akan ada komen keras yang bukan saja mengecam, malah sampai tahap menghina!

Antara kecaman yang biasanya dilemparkan ialah hiburan melalaikan dan tidak penting berbanding kesusahan ramai rakyat di luar sana.

Tuduhan yang dilemparkan itu sememangnya tidak berasas dan lari jauh daripada fakta sebenar.

Tidakkah golongan itu sedar di sebalik AJL itu sendiri terdapat ramai yang menumpang rezeki?

AJL digerakkan oleh kakitangan TV3 terdiri daripada penerbit, kru teknikal, kru produksi, hos dan ramai lagi yang bergantung rezeki menerusi gaji.

Begitu juga dengan tenaga lain seperti pemuzik, jurusolek, pereka fesyen waima penyanyi sendiri, semuanya akan menerima tempias menerusi AJL.

Takkan mereka nak tunggu wang gugur dari langit dan ia tentunya sesuatu yang mustahil.

Sebenarnya tiada paksaan pun untuk menonton program ini. Tapi, percayalah walaupun menghentam teruk, golongan ini tetap menonton.

Namun untuk cover line, mereka kecam pula konon persembahan membosankan dan sebagainya lagi.

Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada TV3 terutama penerbit dan tenaga produksi kerana berjaya menganjurkan AJL35 dalam keadaan mencabar pada era pandemik ini.

Selain itu, berita baik juga untuk penggemar filem apabila pawagam kembali dibuka sejak 5 Mac lalu.

Pada mereka yang tidak meminati filem dan boleh dikira beberapa kali mengunjungi pawagam, perkara ini tidak membawa apa-apa makna.

Namun bagi kaki wayang, ia amat ditunggu-tunggu kerana pada mereka, pengalaman menonton di pawagam amat menyeronokkan berbeza dengan menonton di kaca TV.

Paling menarik nafas lega tentulah penerbit seperti Datuk Yusof Haslam yang terpaksa bersabar apabila dua filemnya, Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 dengan usaha sama Astro Shaw terpaksa ditangguhkan tayangan sejak tahun lalu.

Pelaburan sudah dikeluarkan sebanyak RM12 juta untuk dua filem ini dan mereka kini hanya menanti tarikh sesuai untuk tayangan.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:30 AM