MAHASISWA belajar dalam norma baharu.
MAHASISWA belajar dalam norma baharu.
Mohd Zaini Othman

ISNIN lalu menyaksikan pekarangan sekolah rendah meriah dengan kehadiran ibu bapa menghantar anak mereka, rutin yang sudah lama terhenti apabila sesi persekolahan secara fizikal di kelas ditangguhkan sebelum ini dan digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bukan saja pelajar sekolah yang mula kembali ke sekolah secara berperingkat selepas ini, tetapi abang dan kakak di universiti turut kembali semula ke kampus yang mereka rindui mulai Isnin lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan pada 31 Januari lalu memberi lampu hijau kepada enam kategori pelajar untuk kembali menyambung 'kehidupan kampus' mulai Isnin lalu.

Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Kedua, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian. Ketiga, pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid dan keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.

Kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam, pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Semua kategori pelajar ini akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian di kampus masing-masing.

Kumpulan ibu bapa dan pelajar menyambut baik dan lega dengan jaminan diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tiada pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan kembali ke kampus pada Isnin lalu akan diarah pulang ke rumah sebaik tiba di universiti masing-masing.

Malah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad turut memberikan jaminan bahawa proses pendaftaran masuk semula pelajar ke kampus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai pentadbir universiti, penulis berpandangan walaupun sudah ada mahasiswa di kampus kelak untuk menjalani PdP, masih ada sesuatu yang masih 'hilang' buat mahasiswa kita iaitu 'kemeriahan' penganjuran dan pembabitan dalam aktiviti kokurikulum.

Aktiviti kokurikulum adalah pelengkap kepada peranan universiti untuk membentuk graduan yang seimbang iaitu mempunyai intelektual yang cemerlang dan memiliki nilai jati diri yang unggul.

Ini kerana setiap program yang mereka anjurkan atau sertai, ia secara tersirat menggarap kemahiran serta mencerna sahsiah mereka sebagai modal insan berdaya saing dan berdaya maju.

Malah, aktiviti kokurikulum juga mempunyai peranan dalam pembentukan personaliti pemimpin pada diri mahasiswa, dan Omardin (1996) juga menegaskan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti bertujuan melahirkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sendiri, misalnya membangunkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) sebagai langkah strategik untuk menyediakan mahasiswa sebagai graduannya yang memiliki elemen holistik, berkeusahawanan dan seimbang seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Mahasiswa kita memainkan peranan besar dalam membawa universiti dekat dengan masyarakat melalui pelbagai program berbentuk libat sama, khidmat komuniti, kesukarelawan dan pemindahan ilmu.

Pembabitan pelajar dalam program seumpama ini ternyata berjaya mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu, sekali gus menjadikan mereka insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sahsiah dan kepemimpinan.

Daripada pengalaman menjadi penuntut dan kemudian terbabit secara langsung dalam pelbagai program pelajar di universiti, perlu diakui juga penganjuran pelbagai program kokurikulum oleh kelab dan persatuan pelajar ini yang menghidupkan 'alam dan kehidupan kampus' telah berjaya mengasah dan membentuk kemahiran insaniah mereka sepanjang pengajian di universiti.

Justeru, dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program kokurikulum di kampus pada waktu ini akibat pandemik Covid-19, maka ini adalah call time kepada pengurusan dan pentadbir universiti untuk meneroka pendekatan dan penyelesaian baharu bagi memastikan aspek pembinaan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepemimpinan masih boleh diterapkan kepada mahasiswa.

Norma baharu dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya dalam proses untuk mendidik mahasiswa di universiti tidak semuanya boleh diambil alih oleh kecanggihan teknologi.

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:30 AM