ATM membawa keluar vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari kotak penghantaran khas.
ATM membawa keluar vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari kotak penghantaran khas.
Mohd Zaini Othman

SEKITAR jam 10 pagi kelmarin, Malaysia memasuki fasa baharu dalam melawan pandemik Covid-19 apabila pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi Jalur Gemilang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membawa vaksin Covid-19.

Kumpulan pertama sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ini akan menjadi barisan hadapan terkini yang dipersiapkan oleh kerajaan di bawah inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk melawan pandemik ini.

Diterbangkan dari Puurs, Belgium sebelum tiba ke tanah air, vaksin ini menjadi pertaruhan kerajaan untuk memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bakal menjadi program vaksinasi terbesar negara setakat ini.

Pemberian vaksin ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang akan berjalan sepanjang tahun ini sehingga Februari 2022.

Fasa pertama yang sepatutnya bermula pada 26 Februari ini diawalkan kepada 24 Februari seperti yang diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semasa menyambut ketibaan vaksin ini di KLIA.

Penulis menyambut baik langkah kerajaan menggerakkan lebih awal imunisasi ini kerana yang pertama ia memberi petunjuk positif kepada rakyat dan pelabur bahawa kerajaan serius dalam menjamin dan menjaga kesihatan dan keselamatan rakyatnya.

Keduanya, ia memberi gambaran baik bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua pasukan yang terlibat menjayakan program imunisasi ini membuat persiapan tertinggi, teliti dan cemerlang.

Justeru, semua pihak tidak mempunyai halangan untuk memulakan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 lebih awal.

Fasa pertama yang dirancang sehingga April akan membabitkan vaksinasi kepada barisan hadapan negara yang terdiri daripada kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kastam, bomba dan Rela.

Turut menerima vaksin ini dalam fasa pertama adalah sukarelawan yang berdaftar dengan KKM sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi individu terawal menerima suntikan vaksin ini dengan sebanyak 500,000 orang disasarkan menerima suntikan dalam fasa pertama.

Fasa kedua yang ditetapkan bermula pada April sehingga Ogos 2021 yang menyasarkan 9.4 juta penerima yang diletakkan dalam kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan rentan yang mempunyai penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).

Kayu ukur kejayaan program vaksinasi terbesar negara ini terletak pada fasa ketiga yang memfokuskan kepada golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Merupakan kelompok terbesar yang menerima suntikan ini kelak bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022, kelompok inilah yang akan membentuk herd immunity (imuniti berkelompok).

Apabila berakhirnya fasa ketiga pada tahun hadapan, penulis berharap sasaran kerajaan untuk memastikan 26.5 juta orang atau 80 peratus populasi negara menerima suntikan tercapai.

Bagi memastikan misi ini berjaya, pada masa kini kerajaan sudah mengenal pasti 600 pusat pemberian vaksin yang terdiri daripada fasiliti kesihatan KKM, hospital universiti dan hospital ATM di seluruh negara.

Rakyat Malaysia seharusnya tidak ragu-ragu berkenaan keselamatan vaksin Covid-19 yang akan digunakan.

Ini kerana, pemilihan vaksin dibuat oleh pakar tempatan selepas meneliti semua data dan bukti daripada ujian klinikal.

Memetik pandangan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalairasu Peariasamy, pemilihan sesuatu vaksin bukan perkara mudah kerana melibatkan nyawa manusia.

Justeru, vaksin yang akan diberikan kepada rakyat Malaysia telah melalui proses penilaian ketat dan semakan daripada pelbagai aspek.

Tambahnya juga, vaksin itu telah melalui ujian klinikal melibatkan lebih 40,000 orang berumur antara 18 hingga 80 tahun daripada pelbagai bangsa di beberapa negara dan vaksin Pfizer didapati 95 peratus berkesan mengurangkan gejala dan simptom Covid-19.

Dengan segala persiapan dan pelan tindakan yang disusun dengan baik, bekalan vaksin juga telah diterima dengan KKM berulang kali memberi jaminan akan keselamatan penggunaan vaksin ini, langkah selepas ini pada pandangan penulis adalah peringkat memberi penerangan secara konsisten kepada masyarakat bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai kepentingan dan kesan vaksin berkenaan.

Ini kerana sudah ada kumpulan yang menyebarkan false message atau perkongsian info yang kurang tepat berkaitan virus dan vaksin ini menggunakan pelbagai platform media sosial sehingga mengelirukan masyarakat.

Kerajaan perlu memanfaatkan segala agensi yang berkaitan dengan turut melibatkan pakar kesihatan dan ahli akademik di institusi pengajian tinggi untuk memberi informasi yang tepat kepada rakyat.

Kegagalan untuk menangani aspek ini boleh merisikokan kegagalan kepada Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 serta sekali gus gagal merendahkan dan mengawal kadar jangkitan virus ini di dalam negara.

Bagi penulis, walaupun setelah menerima suntikan vaksin selepas ini, rakyat sepatutnya perlu terus mengamalkan kehidupan norma baharu seperti penjarakan fizikal, penggunaan cecair pembasmi kuman dan elak berada di tempat orang ramai yang berisiko.

Ini kerana kita belum selamat sekiranya semua orang belum lagi selamat daripada Covid-19!

Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:59 AM