FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Penulis jarang mengupas lirik lagu sebagai topik penulisan, tetapi kali ini sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), lagu berjudul Jumpo Kawan Lamo nyanyian Ito Blues Gang menarik perhatian.

Antara bait menarik adalah 'Eh... macam konal, Kito ponah jumpo, Kau buek apo, Tingga dokek mano, Den kojo polis, Dah lapan tahun, Pangkat bolom naik, Ingat balik kampong, Buek apo balik kampong, Sawah dah tak ado, Gotah turun hargo, Ramai orang tak kojo, Tak kan nak melopong, Melangok kodai Acong, Lebih baik kau saba, Tunggu anak bosa'.

Lagu dalam loghat Negeri Sembilan itu berkisar mengenai kegembiraan apabila bertemu kawan lama dan menyatakan bekerja sebagai polis selama 18 tahun dan agak kecewa kerana pangkat tidak naik sehingga timbul rasa mahu balik kampung.

Namun rakan menasihatkan supaya tidak perlu balik kampung memandangkan sawah sudah tiada, harga getah rendah sehingga ramai tiada kerja.

Tak kan nak melepak di kedai kopi tanpa faedah dan lebih baik bersabar sehingga anak besar dan boleh berdikari sebelum berhenti atau pencen.

Memang mendalam makna lagu itu. Apabila menyentuh mengenai kerja, semangat kerja, putus asa dan nasihat rakan, penulis ingin mengulas lebih mendalam mengenai semangat bekerja, melawan putus asa dan cara mengatasinya.

Beberapa tip mungkin boleh digunakan dalam meneruskan kehidupan serba mencabar ini.

Diharap ia dapat sedikit sebanyak menjadi motivasi kepada ribuan anggota polis dalam meneruskan kerjaya di zaman serba mencabar ini.

Perkara paling penting untuk menjadi anggota pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera adalah semangat dan minat mendalam.

Ia bukan kerana kita mahu menjadi kakitangan kerajaan dan mendapat pencen apabila bersara atau menjadi polis dan tentera kerana tiada kerja lain.

Menurut Bentley dan Rempel (Majorsy, 2007), semangat kerja adalah satu keghairahan individu untuk menjayakan pekerjaan dilakukannya dengan penuh minat.

Ia dapat dihubungkan dengan motif serta hasil kerja baik.

Semuanya dapat dihasilkan dengan suasana kerja baik dan mendapat imbuhan setimpal apabila melaksanakannya dengan hati murni dan mulia.

Kegagalan mendapatkan sesuatu menyebabkan keghairahan untuk bekerja menjadi kurang dan ada kemungkinan hanya memenuhi waktu kerja sementara menunggu pencen.

Situasi itu boleh berlaku kerana kecewa apabila tidak mendapat apa diinginkan ketika bekerja seperti kenaikan gaji, pangkat dan lain-lain seperti kebajikan diabaikan.

Persoalannya, mengapa dan bagaimana ini berlaku? Aspek semangat kerja menurut Maier (Majorsy 2008) ada empat iaitu keghairahan yang menghubung kepada motivasi tinggi, kualiti apabila ketekunan dengan penuh keyakinan tidak hilang arah dalam menghadapi kesulitan, kekuatan melawan kekecewaan iaitu tiada sifat kecewa apabila gagal dalam sesuatu dan yang terakhir, semangat kerja berpasukan.

Penurunan atau kemerosotan semangat kerja disebabkan beberapa perkara iaitu rendahnya mutu produktif, banyak perpindahan tempat kerja, kurang perhatian kepada kerja, suasana di tempat kerja yang tidak menyenangkan, ketidakpuasan hati terhadap tuntutan termasuk kenaikan pangkat dan gaji serta mogok.

Faktor yang mempengaruhi semangat kerja pula termasuk hubungan baik antara atasan dan bawahan, kepuasan terhadap kerja dibebani, hubungan baik dengan rakan sekerja dan perasaan bermanfaat terhadap tujuan organisasinya.

Selain itu, ada kepuasan setimpal dengan mutu kerja serta ketenangan jiwa dan perlindungan bahaya dalam kerjayanya.

Berputus asa adalah sikap atau perilaku seseorang yang merasakan dirinya gagal atau tidak mampu dalam meraih suatu impian, harapan dan cita-cita serta tidak lagi mahu kembali untuk berusaha dalam melanjutkan apa diinginkan.

Putus asa bererti habis harapan lagi dan seseorang dikatakan putus asa apabila tidak lagi mempunyai harapan mengenai sesuatu yang mahu dicapai.

Ada beberapa penyebab putus asa, namun paling ketara dan sering berlaku kepada individu dalam masyarakat adalah kegagalan berulang kali dalam mencapai cita-cita atau pengharapan sesuatu.

Impak putus asa sangat terkesan dengan beberapa faktor akan berlaku.

Sudah pasti, ia merugikan diri sendiri dengan tekanan dialami atau lebih teruk lagi akan menjadi gila serta pelbagai perkara buruk lain.

Jadi, apakah yang perlu kita lakukan apabila menghadapi saat ini?

Pertama, jangan buruk sangka pada Allah SWT, sebaliknya perlu menyedari dan muhasabah diri bahawa semua dugaan ini diberikan Allah dan kita tidak tahu hikmahnya yang tersembunyi.

Selain itu, perbanyakkan ibadah dan berdoa dalam menghadapi dugaan serta cubaannya sambil mensyukuri nikmat diberikan.

Putus asa bukan jalan terakhir dalam menjalani hidup, rintangan dan dugaan dialami perlu ditempuh dengan penuh kesabaran.

Ia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, yang berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang-orang kafir."

Kesimpulannya sebagai anggota keselamatan yang menjadi benteng negara, kita tidak harus berputus asa dengan kehidupan dialami sekarang.

Jangan jadikan kerja sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan dan jangan berputus asa dengan sedikit kekurangan dalam mendapat kecemerlangan kerjaya.

Kita perlu mensyukuri bahawa kita ada kerja dan bekerja jika dibandingkan dengan ramai di luar sana masih menghantar resume dan bertahun-tahun tidak dapat kerja.

Jadikan kerja sebagai satu ibadah dengan nawaitu kerana Allah SWT.

Semoga kita dapat memberikan khidmat cemerlang kepada masyarakat dengan kerja yang dilakukan.

Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari, IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 8:01 AM