GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rozaimy Ridzuan

PENULARAN wabak Covid-19 yang seakan-akan tidak berkesudahan ini sudah memberikan kesan yang begitu substantif kepada ekonomi negara. Malaysia tidak bersendirian kerana seluruh dunia sedang bergelut dengan keadaan ekonomi yang berada pada fasa ketidakpastian. Banyak firma terpaksa gulung tikar dan ada juga terpaksa gulung permaidani kerana terpaksa menanggung pampasan yang tinggi bagi melepaskan pekerja.

Di negara kita, transformasi ekonomi sebenarnya sudah lama berlaku apabila kerajaan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sekitar pertengahan 1990-an. Dengan tersenarainya tujuh flagship MSC ini menunjukkan kerajaan memiliki keazaman politik untuk membawa Malaysia beranjak kepada ekonomi digital.

Perubahan struktur revolusi yang berlaku di negara kita memperlihatkan pemacu tradisional pertumbuhan ekonomi seperti tanah, buruh dan modal hanyalah menjadi pendukung kepada pemacu pertumbuhan ekonomi yang baharu iaitu pengetahuan, teknologi dan inovasi.

Walaupun usaha ke arah pendigitalan ekonomi sudah lama digarap oleh kerajaan, namun pemerkasaan dan keberkesanannya masih baru lagi dirasakan terutama apabila negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Pandemik ini mempercepatkan transformasi digital di beberapa negara yang semakin beralih usaha pemulihan ekonomi kepada pembangunan era perniagaan norma baharu. Fenomena ini berlaku kerana transaksi permintaan dan penawaran dalam ekonomi digital berlangsung dalam keadaan yang lebih selamat, lebih cekap dan kos efektif memandangkan pengendalian wang dan barangan secara fizikal tidak lagi berlaku antara penjual dan pembeli. Situasi sebegini mampu memainkan peranan penting dalam sektor sokongan komuniti yang masih dibelenggu oleh bahaya penularan wabak Covid-19.

Selain itu, ekonomi digital juga dapat menghidupkan kembali ekonomi negara, mencipta peluang pekerjaan baharu dan mendorong pertumbuhan serta kelestarian perniagaan terutama buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ekonomi digital ini, sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, dapat merapatkan jurang sosioekonomi rakyat, menjana peluang perniagaan melalui e-dagang, mencipta pendapatan melalui inovasi dan keusahawanan serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia.

Kebanyakan negara mula memperkasakan ekonomi digital dan menjadikannya sebagai enjin utama dalam memastikan ekonomi negara kekal dalam keseimbangan dan mampu bertindak sebagai 'conduit' antara permintaan dan penawaran.

Di China, ekonomi digital sememangnya mekar berkembang dan bertindak sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di negara itu sebelum tercetusnya pandemik Covid-19. Di Malaysia pula, ekonomi digital mencatatkan peningkatan sekitar 21 peratus setiap tahun. Pada 2018, ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka akan meningkat kepada 20 peratus pada tahun ini.

Namun, negara berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memastikan ekonomi digital dapat dilestarikan dan menjadi enjin ekonomi yang pesat. Capaian internet yang lemah terutama di luar bandar, sudah pasti membantutkan usaha ke arah pemerkasaan ekonomi digital. Penggunaan internet di bandar berada pada sekitar 70 peratus manakala di luar bandar sebanyak 55 peratus. Di Kelantan dan Terengganu, hanya sekitar 30 hingga 40 peratus syarikat memiliki jaringan internet.

Selain itu, masih lagi terdapat banyak firma yang beroperasi secara tradisional kerana kurangnya pengetahuan dari segi bagaimana untuk bermula, kurangnya tenaga kerja yang berkemahiran dan faktor kewangan untuk membeli perkakasan digital, yuran langganan perisian dan latihan pekerja.

Sebenarnya usaha ke arah pendigitalan tidak semestinya semuanya melibatkan kos yang tinggi. Bagi firma kecil yang masih bertatih, mereka boleh memasarkan produk secara digital. Pemasaran digital dapat menjangkau pangkalan pelanggan yang lebih luas dengan lebih cekap, berkesan dan murah berbanding iklan tradisional. Sebagai contoh, platform seperti Facebook, Instagram atau YouTube membolehkan syarikat mempromosikan perniagaan mereka melalui iklan secara digital.

Kawasan luar bandar perlu menjadi fokus kepada usaha pembangunan ekonomi digital lantaran tahap pendedahan penggiat PKS yang dilihat masih pada tahap lemah. Kebanyakan penduduk di luar bandar secara relatifnya terdiri daripada golongan remaja tidak begitu mahir dalam penggunaan ICT kerana mereka yang mahir dan berkelulusan dalam ICT sudah berhijrah ke bandar.

Kerajaan disarankan terus melabur dengan cara menyediakan latihan berkaitan pendigitalan terutama kepada pengusaha yang beroperasi di luar bandar. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam mencapai objektif Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Seperti yang dinyatakan tadi, faktor kewangan menjadi salah satu penghalang pengusaha firma untuk mendigitalkan aktiviti mereka. Oleh itu, kerajaan disarankan membantu mengurangkan permasalahan ini dengan cara bekerjasama dengan pembekal teknologi untuk memperkenalkan harga pakej yang murah buat PKS. Insentif cukai juga perlu diberikan kepada firma yang baru menjinakkan diri dalam ekonomi digital.

Sebelum ini, MDEC sudah menjalankan pelbagai program yang bertujuan memacu digitalisasi di kalangan syarikat. Namun, firma-firma perlu memenuhi syarat yang ditetapkan. Selain itu, ada juga firma yang kurang cakna dengan inisiatif yang diperkenalkan. Diharapkan agar pihak kerajaan memperkasakan penyampaian maklumat ini secara berterusan. Kerajaan juga disarankan untuk mengkaji semula syarat yang telah ditetapkan supaya bantuan kerajaan dapat diperluaskan lagi kepada semua firma di Malaysia. Jika firma di Malaysia masih di takuk yang lama, negara akan ketinggalan dan mungkin akan tergolong di dalam kategori negara mundur dalam era ekonomi digital ini.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:59 AM