FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Menjadi lumrah setiap pagi matahari menyinari alam semesta sebagai manifestasi kesinambungan sebuah lagi hari dalam kehidupan untuk dinikmati makhluk ciptaan Allah SWT.

Nikmat terindah adalah ketika kita dikejutkan pada waktu pagi dan melafazkan doa sesudah terjaga daripada tidur lalu kita bersyukur; "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan sesudah kami dimatikan dan kepada-Nya kita dikembalikan."

Ungkapan syukur 'alhamdulillah' sering terlontar dari mulut sebagai bentuk rasa syukur dengan nikmat kebaikan diterima sepanjang perjalanan hidup bagi menggarap keredaan Allah SWT dengan melakukan ketaatan terhadap-Nya.

Daripada Amru bin Maimun bin Mahran sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda kepada seorang pemuda dan menasihatinya; "Jagalah lima hal sebelum lima hal; mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang masa sakitmu, waktu luangmu sebelum datang waktu sibukmu, kayamu sebelum miskinmu dan hidupmu sebelum matimu."

Allah tidak mensia-siakan pengabdian hamba-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim daripada Abu Hurairah RA

Istighfar adalah rintihan manusia kepada Allah SWT dan Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan semua kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan al-Hakim daripada Abdullah bin Abbas RA

Nikmat boleh dikecapi kerana banyak mengingati Allah SWT yang juga rezeki hanya Allah SWT beri kepada orang beriman seperti mana firman-Nya: "(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." Ar-Ra'd: 28

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambah rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapa dan menyambung tali kekeluargaan.

Baginda juga bersabda: "Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim

Kita jangan jadi manusia mementingkan diri. Berbuat baiklah kepada orang yang lemah termasuk menggembira dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim, fakir miskin, isteri serta anak kecil. Sabda Nabi SAW: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan rezeki melainkan kerana orang lemah dalam kalangan kamu." Riwayat al-Bukhari

Rezeki secara umum adalah segala yang memberikan manfaat kepada badan yang berupa harta, rumah, kenderaan, kesihatan dan selainnya baik berasal daripada yang halal mahupun haram serta rezeki jenis ini Allah SWT berikan kepada seluruh makhluk-Nya, Muslim ataupun bukan Muslim.

Banyaknya pemberian jenis rezeki yang pertama ini tidak menunjukkan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT, begitu pula sedikitnya rezeki dunia yang Allah SWT berikan kepada seseorang tidak menunjukkan kehinaan orang itu.

Rezeki khusus adalah sesuatu yang membuat tertegaknya agama seseorang. Ilmu bermanfaat, amal soleh dan rezeki halal yang membantu untuk taat kepada Allah SWT adalah rezeki diberikan khusus kepada orang yang dicintai-Nya.

Allah SWT adalah sumber dan pemberi rezeki yang ada ketikanya terdapat orang berasakan rezeki tidak mencukupi, ada putus asa dengan hidup dan rasa sangat terhina kerana ketinggalan jauh berkaitan rezeki, lantas hati gundah-gulana.

Apabila rezeki tidak disyukuri, macam-macam akan terjadi. Lagi bahaya jika jatuh syirik kerana beramal dengan amalan kononnya menjemput rezeki, tetapi menyalahi akidah.

Allah memberi rezeki yang mengalir tanpa henti jika kita bersungguh-sungguh dan memahami kehendak-Nya maka kita tidak akan berputus asa daripada rahmat-Nya.

Silaturahim adalah punca kepada limpahan rezeki sebagaimana sabda Nabi SAW: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." Riwayat al-Bukhari

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah SWT membuka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka, sesiapa membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." Riwayat ad-Daruquthni

Satu daripada nikmat yang dikecapi Ibrahim bin Adham adalah makam zuhud yang digarapnya dan pernah ditanya mengenai apa yang dapat menyebabkan dirinya mencapai tingkat zuhud itu, lalu beliau menjawab bahawa alasan zuhud baginya ada tiga hal.

Ibrahim berkata: "Kulihat kuburan adalah alam yang mengerikan, sedang aku tidak punya teman yang menghilangkan rasa takutku; 2) Kulihat perjalananku sangat jauh, sedang aku tidak punya bekal yang dapat menghantarkanku ke tujuan dan 3) Kulihat Tuhan Yang Maha Perkasa sebagai hakim, sedang aku tidak punya alasan untuk membela diriku di hadapan-Nya."

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas, seperti tenang dengan membaca al-Quran, mendapat anak yang elok didikannya sejak dalam rahim, pemakanan dan makan yang baik serta halal, mendapat jiran baik dan dia sendiri berusaha jadi baik dan memugar rezeki yang berkat.

Dengan tawakal, seseorang itu direzekikan rasa kaya dengan kurniaan Allah SWT seperti firman-Nya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)." Surah at-Thalaq: 3

Nabi SAW bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, pagi lapar dan ketika petang sudah kenyang." Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim daripada Umar bin al-Khattab RA

Kita perlu menyedari nikmat rezeki adalah pinjaman Allah SWT yang perlu dimanfaatkan dan diinfakkan sebagai pembersih harta dalam bentuk zakat demi menggarap sakinah diri serta keredaan Allah SWT.

Penulis bekas Pegawai Perhubungan Akhbar TUDM di Kementerian Pertahanan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:00 AM