SARUNG batik maskulin di bengkel inkubator Batik Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan direka khusus buat golongan lelaki. FOTO BERNAMA
SARUNG batik maskulin di bengkel inkubator Batik Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan direka khusus buat golongan lelaki. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bachok: "Mengapa perlu malu atau pelik mengenakan kain sarung batik ketika bersiar-siar. Itukan simbolik nilai kebudayaan Melayu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas?"

Pertanyaan santai seorang sahabat membuatkan penulis terdiam dan berfikir.

Betul juga. Kenapa kita tidak memakai kain sarung batik ketika ke pasar raya untuk membeli-belah atau ke kedai ala hipster di tengah ibu kota untuk menikmati hidangan yang unik dan pelbagai?

Kain sarung batik cukup sinonim dengan nilai estetika dan kebudayaan Melayu bahkan suatu masa dahulu, peranannya cukup penting dan menjadi antara keperluan masyarakat sebagai pakaian harian.

Entah di mana silapnya, kain sarung batik kini dipandang sepi terutama oleh generasi muda. Malahan, agak menyedihkan, apabila ada antara mereka tidak mengetahui cara memakainya.

Usaha untuk popularkan

Ledakan fesyen berjaya mempopularkan batik termasuk kain sarung yang dipelbagaikan gaya rekaannya dan penggunaan kain ini sangat akrab dalam tradisi masyarakat di Kelantan.

Jika batik lazimnya dibuat baju kemeja serta baju kurung serta pelbagai aksesori dengan motif flora, fauna dan geometri - yang rata-ratanya bersifat feminis, pereka di Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan, Mohd Nazlan Mat Nasir tampil berani dengan menjadikannya sebagai sarung bagi lelaki.

Dinamakan Sarung Maskulin, rekaan khusus batik buat golongan lelaki yang mengetengahkan Bunga Telang sebagai motif rekaan utama ini dilihat mampu memartabatkan kain sarung yang bersandarkan nilai estetika tradisi negeri Kelantan.

"Idea ini tercetus apabila timbul keinginan untuk melihat transformasi kain pelekat yang dipakai oleh kaum Adam dan percaya ia mampu untuk menarik minat golongan remaja untuk memakainya secara santai.

"Lagipun Bunga Telang atau butterfly-pea sangat sinonim di Malaysia sebagai pewarna makanan berwarna biru/ungu khususnya bagi nasi kerabu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Teknik batik skrin

Lebih istimewa, sarung maskulin berasaskan 'batik' cetusan kreatif pemuda berusia 37 tahun itu dihasilkan menerusi proses pembuatan batik secara canting, blok dan skrin.

Sebagai permulaan, anak jati Kota Bharu itu menghasilkan melalui teknik batik skrin yang mana proses pembuatannya lebih cepat daripada teknik membatik yang lain serta menjimatkan kos.

Melalui teknik ini, motif atau pola dilukis dan ditentukan skema warnanya pada kertas dan dengan menggunakan selongsong stensil yang diisi dengan bahan laker, corak akan dilukis pada skrin mengikut pecahan warna dan reka corak di atas kain putih yang bersih diregang diatas meja.

Seterusnya, skrin diletakkan di atas permukaan kain dengan ditata dengan rapi dengan bahan pewarna dituang pada bagian hujung skrin.

Melengkapkan proses, pewarna disapukan dengan lembut dan rata dengan cara menarik atau menolak sekuji sebelum kain yang siap dicetak dijemur sehingga kering.

"Untuk menampakkan lagi imej sarung maskulin, elemen seni seperti garisan, jalinan, geometri dan abstrak yang berpaksikan motif Bunga Telang, diterap dan digabungkan berbagai rupa dan gaya.

"Dengan pemilihan warna latar seperti ungu, kuning mustard dan turquoise, sarung maskulin ini dilihat mampu menarik minat ramai golongan muda dan tua untuk digayakan," jelasnya yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai pereka.

Bercerita lanjut, proses menghasilkan rekaan hanya mengambil tempoh seminggu manakala proses untuk menghasilkan reka corak, pembuatan batik dan jahitan produk siap mengambil masa selama sebulan.

Mampu gantikan kain pelekat

Biarpun masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D), hasil nukilan anak tempatan ini dilihat mampu mengambil alih penggunaan kain pelekat yang rata-rata diimport dari Indonesia.

Maklum balas yang diterima sangat positif terutama ketika sarung ini diperagakan di pentas pertunjukan fesyen yang diadakan baru-baru ini di Kelantan serta Kuala Lumpur.

"Ini mampu menjadi satu evolusi dalam industri tekstil dan fesyen batik negara. Pemakaian kain pelekat yang diberi nafas baru - Sarung Maskulin daripada batik ini mampu memikat lelaki generasi kini yang semakin kurang menggunakan sarung," katanya yang memulakan projek tersebut pada penghujung tahun 2019.

Turut menjayakan projek Sarung Maskulin tersebut ialah Shakirah Halim dan Siti Nursyuhadah (pembantu pereka), Akmarizal Hamid (pakar pewarnaan), Che Nazaki Zahdi dan Mazlan Ab Ghani (pelaksana batik skrin).

Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail menjelaskan Kraftangan Malaysia kini dalam usaha memartabatkan Bunga Telang sebagai antara ikon rekaan negeri tersebut.

"Lazimnya, bunga berwarna biru itu sinonim dengan nasi kerabu yang menjadi antara bahan asas masakan tersebut sejak turun-temurun. Dan kini, kami mahu jadikan ia sebagai motif dalam rekaan batik, sekali gus membawa identiti negeri ini," katanya.

Bunga Telang identiti Kelantan

Justeru, Kraftangan Malaysia dengan pihak berkepentingan terutama kerajaan Kelantan sejak awal tahun ini, sedang berusaha menggazetkan Bunga Telang dan Bunga Ketam Guri sebagai identiti Kelantan.

Mengakui tidak mudah memandangkan proses untuk menggazetkan perlu mendapat bantuan pelbagai pihak termasuk pakar sejarah dan warisan, ia tetap dilakukan bagi memastikan pemilihan kedua-dua bunga itu sebagai motif batik di Kelantan adalah tepat.

"Setakat ini, kami sudah adakan beberapa pertemuan bersama pihak terbabit seperti dengan Kerajaan Kelantan dan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan untuk membincangkannya dan setakat ini penerimaan positif.

"Kami jangkakan dapat memuktamadkan keputusan itu pada awal 2021," katanya.

Menurut beliau, usaha tersebut amat signifikan memandangkan ketika ini terdapat 350 usahawan batik di Kelantan yang berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia dan angka itu paling terbesar berbanding negeri lain.

Tanpa identiti yang digazetkan itu, agak sukar usahawan batik terutama empat usahawan inkubator batik di bawah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan yang diusahakan golongan muda, menembusi pasaran antarabangsa.

"Kami ingin mempromosikan batik dengan identiti negeri kami sendiri, tanpa dibayangi oleh mana-mana negeri atau negara. Dalam masa yang sama, mengangkat batik sebagai satu pakaian yang sebenarnya sesuai untuk dipakai dalam pelbagai acara," katanya.

Bagi memastikan masyarakat tidak terkeliru dalam memperoleh kain batik tempatan, Kraftangan Malaysia sudah mewujudkan satu piawaian bagi memudahkan penggemar kain batik mengenali batik Malaysia iaitu dengan memperkenalkan Standard Batik Malaysia : MS 692 : 2007.

"Persijilan piawaian itu hanya diberikan kepada pengeluar batik yang mematuhi dan memenuhi kriteria serta ujian makmal yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:55 PM