KARBON monoksida adalah komponen utama dalam asap ekzos kereta. FOTO AFP
KARBON monoksida adalah komponen utama dalam asap ekzos kereta. FOTO AFP
Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir

Tidur di dalam kereta boleh menjadi pengalaman yang cukup selesa umpama tidur di hotel lima bintang dengan penghawa dingin yang menghembus udara sejuk dan suasana yang senyap menjadikannya pilihan yang optimum. Persoalannya, sejauh mana selamatnya tidur dalam kenderaan?

Kadang-kadang kita melakukan perkara baik bagi mengatasi masalah mengantuk ketika memandu dengan berhenti berehat yang secara tidak langsung membantu mengurangkan statistik kemalangan.

Bagaimanapun, aktiviti ini boleh membawa maut jika tidak peka berkaitan bahayanya tidur dalam kenderaan yang tertutup dengan enjin masih dihidupkan. Tambahan pula, ramai kalangan kita mengamalkan tabiat menunggu dalam kenderaan dengan enjin dan penghawa dingin dihidupkan untuk jangka masa lama.

Kebanyakan negara maju sudah menetapkan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun terhadap sesiapa yang menunggu dalam kenderaan. Ia disebabkan kesannya yang bukan saja membahayakan nyawa manusia, tetapi dengan pelepasan gas pencemar akan memudaratkan alam sekitar.

Hakikatnya, faktor terpenting yang boleh menyebabkan kematian ketika tidur dalam kereta adalah karbon monoksida (CO) iaitu komponen utama dalam asap ekzos kereta.

Lebih-lebih lagi kenderaan 'berusia' apabila sistem mekanikal kereta tidak sesuai dengan standard yang ditetapkan berkemungkinan boleh berlaku kebocoran ekzos.

Jika jumlah besar CO terkumpul dalam ruang kenderaan anda, risiko maut menanti tanpa disedari kerana kita sedang bernafas dalam racun yang tidak berbau dan berwarna.

Selain itu, peningkatan karbon monoksida juga boleh berlaku disebabkan penghawa dingin yang tidak dapat berfungsi dengan baik yang boleh jadi penyebab kematian ketika tidur.

Oleh itu, bagaimana gas CO membunuh anda? Ini berlaku apabila ia akan mengurangkan kemampuan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam badan anda termasuk otak dan akan mengakibatkan kekurangan oksigen dalam otak seterusnya membawa maut.

Apabila tahap CO meningkat dan kekal lebih 70 ppm (kepekatan dalam 1 molekul CO dalam sejuta - ppm), seseorang itu boleh mengalami sakit kepala, keletihan dan loya.

Pada kepekatan CO yang berterusan lebih 150 hingga 200 ppm pula akan mengakibatkan seseorang itu tidak sedarkan diri yang boleh membawa kematian.

Sebenarnya, walaupun dalam keadaan kereta dengan sistem penghawa dingin berfungsi dengan baik, peredaran udara di ruang kenderaan tetap tidak mencukupi bagi seseorang untuk menghirup udara di tempat tertutup.

Negara kita beriklim panas dan lembap sepanjang tahun menjadi lumrah kepada kita memasang penghawa dingin walaupun menunggu dalam kenderaan bagi jangka masa yang singkat.

Langkah terbaik, elakkan tidur dalam kereta. Namun, jika dalam keadaan mendesak memerlukan tidur dalam kenderaan, pastikan enjin kenderaan dimatikan dan tingkap dibuka seluas-luasnya serta carilah tempat yang sesuai untuk berehat.

Langkah tambahan mengatasi masalah ini adalah dengan adanya sistem amaran awal gas CO dengan menggunakan pengimbas kecil. Walaupun mengekalkan sistem ekzos dan pelepasan akan mencegah keracunan karbon monoksida, dan mengelakkan situasi berbahaya, namun jika ditambah alat pengesan karbon monoksida akan dapat memberikan amaran awal kepada kita.

Memandangkan banyak kes maut di Malaysia akibat pencemaran gas CO ini, teknologi perlu dibangunkan bagi mengatasi masalah ini. Sebahagian besar pengesan atau sensor, sensor karbon monoksida direka untuk kegunaan rumah atau pejabat, tetapi kita boleh menggunakan teknologi pengesan sama dalam kereta atau kenderaan lain.

Saya sendiri bersama Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, UKM sedang membangunkan sistem mikro sensor yang boleh mengatasi masalah kebocoran gas CO dalam kenderaan.

Baru-baru ini, kumpulan kami berjaya mendapat geran protaip (Kementerian Pendidikan Tinggi) dan geran CREST dalam teknologi sensor ini.

Diharapkan teknologi tempatan ini dapat diaplikasikan demi keselamatan masyarakat pada masa depan termasuk ingin bekerjasama dengan industri automotif tempatan dan industri perkilangan.

Pada era teknologi sensor berlandaskan IoT dapat menyampaikan info kualiti udara kepada pengguna melalui telefon pintar seterusnya memberi amaran awal jika gas dikesan dalam kepekatan yang tinggi. - Bernama

Penulis Pensyarah Kanan dan Penyelidik Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:45 AM