MEDIA sosial jika tidak digunakan secara baik boleh beri kesan buruk terhadap sosiobudaya masyarakat Malaysia.
MEDIA sosial jika tidak digunakan secara baik boleh beri kesan buruk terhadap sosiobudaya masyarakat Malaysia.
Dr Megat Al Imran Yasin

PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia menjadikan rakyat Malaysia antara pengguna media sosial tertinggi dibandingkan dengan nisbah jumlah penduduknya.

Semua orang hatta kanak-kanak kini menjadi pengguna dan pembuat kandungan yang dimuat naik dan dimuat turun dalam aplikasi media sosial.

Semua ini hasil pembangunan negara dalam menjadikan rakyat negara ini celik teknologi maklumat dan dapat mengakses maklumat secara mudah dan pantas.

Pada masa sama, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial ini jika tidak digunakan secara baik boleh memberi kesan buruk terhadap sosiobudaya masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sopan santun serta budi bahasa yang tinggi.

Sejak kebelakangan ini, kita sering menerima maklumat dan bentuk tulisan dan audio visual yang diviralkan dalam media sosial mengandungi kata-kata kesat dan kotor yang seolah-olah tidak melambangkan budaya luhur budi dan bahasa rakyat Malaysia yang terkenal dengan sopan santunnya.

Kata-kata kesat, makian dan cercaan ini menjadi ratib harian sebahagian masyarakat Malaysia sehingga mempengaruhi generasi muda untuk merasakannya sebagai sesuatu yang normal dalam kehidupan harian.

Apatah lagi kata-kata kesat, kotor dan makian ini turut diucap dan dihamburkan mereka yang berpengaruh seperti ahli politik, selebriti dan influencer media sosial.

Ada ketikanya, kata-kata kesat dan kotor ini secara khususnya ditujukan kepada individu dan kumpulan tertentu dalam masyarakat.

Terkini, seorang influencer media sosial dan ahli perniagaan atas talian memaki hamun dengan kata-kata kesat dalam media sosial menjadi isu dalam kalangan netizen.

Mungkin dengan cara ini dia merasakan dapat meningkatkan popularitinya dan menambahkan pengikutnya.

Kita menyedari bahawa di sesetengah negeri ada perbezaan dalam konteks dan makna sesuatu perkataan yang dianggap kesat itu.

Namun, ada tempat perkataan dianggap kesat itu mungkin gurauan dalam kalangan mereka.

Secara umumnya, bahasa kesat, kotor dan makian tidak dapat diterima masyarakat Malaysia yang dianggap luhur budi pekerti dan budi bahasa.

Amat membimbangkan jika menghamburkan bahasa kesat ini bertebaran secara berleluasa dan diterima sebagai satu norma baru dan budaya bagi masyarakat Malaysia dalam media sosial.

Ia secara tidak langsung memberikan imej tidak baik kepada rakyat Malaysia dalam dunia tanpa sempadan seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak beradab dan tidak beretika.

Ada dalam kalangan pelajar saya yang sudah bergraduat daripada generasi muda yang bekerja dalam bidang membabitkan perniagaan berasaskan media sosial menceritakan kepada saya betapa tidak beretika dan kesat bahasa yang diucapkan dan dihamburkan pengguna media sosial dari Malaysia apabila memberikan komen kesat, kotor serta carutan dibandingkan dengan pengguna media sosial negara lain.

Dalam pentas e-sukan, dalam kalangan anak muda sebagai contoh sikap tidak beretika, bergaduh bermaki makian dalam kalangan peserta e-sukan, menurut bekas pelajar saya sangat jelas dilihat dalam kalangan peserta Malaysia yang turut menyertai pertandingan e-sukan profesional atas talian di peringkat antarabangsa.

Lebih jelas lagi dalam insiden baru-baru ini apabila artis K-Pop Korea daripada kumpulan So Young bernama Babi yang dicemuh secara melampau oleh pengguna media sosial dalam kalangan anak muda Malaysia.

Cemuhan itu menyebabkan Babi memadam hantaran yang dibuat dan memberitahu tidak berminat dengan bahasa yang dituturkan rakyat Malaysia.

Insiden kedua membabitkan seorang lagi artis antarabangsa dari Britain, Duo Lipa yang membuat hantaran di media sosialnya memanggil bapanya sebagai panggilan 'Babi' yang merujuk sebagai ayah dalam bahasa asalnya Albanian.

Komen buruk, jelek dan melampau daripada pengguna media sosial terhadap hantaran di media sosial dari Malaysia jelas memaparkan kesentengan kefahaman komunikasi silang dan rentas budaya.

Nampak kegagalan kita membentuk generasi muda kita untuk memahami etika dan susila berkomunikasi dalam media sosial yang bersifat silang dan rentas budaya.

Oleh itu, sudah tentu mulai hari ini, kita perlu secara serius mendidik generasi muda dan masyarakat dengan tatasusila dan etika berkomunikasi di media sosial.

Di negara lain seperti United Kingdom, kanak-kanak diajar subjek literasi media berkaitan cara penggunaan media yang betul di peringkat pengajian rendah dan menengah.

Garis panduan dan mungkin peraturan berkaitan penggunaan media sosial ini boleh diperkemaskan dalam merujuk penggunaan bahasa kesat, kelucahan melampau, memalukan fizikal body shaming, kata nista, carutan dan cacian yang menjatuhkan maruah seseorang di hadapan masyarakat.

Lebih utama kita mendidik generasi kita seawal dari rumah supaya terus mengamalkan tatasusila budaya timur masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:59 AM