LAPORAN muka depan Metro Ahad, 23 Ogos lalu.
LAPORAN muka depan Metro Ahad, 23 Ogos lalu.
Sudirman Mohd Tahir


PENDEDAHAN usahawan kosmetik kontroversi, Safiey Illias mengenai prosedur kecantikan yang dibuat pada wajah dan sebahagian anggota badan mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.

Malah, perkara itu turut menarik perhatian golongan agamawan untuk bercakap mengenainya sekali gus mahu penyanyi lagu Syinta Gila itu bertaubat dan kembali kepada fitrah.

Dalam kalangan pengguna laman sosial atau mesra disapa netizen, kata-kata yang dilempar terhadap Safiey ibaratnya racun yang membunuh. Tanpa tapisan dan simpati, mereka secara terbuka menegur tindakan yang dibuat.

Safiey yang mendedahkan membelanjakan RM1 juta hingga RM2 juta untuk hampir 80 peratus rawatan dan pembedahan kosmetik dianggap sesuatu yang gila.

Malah, Safiey menerusi laporan Harian Metro juga mengakui di tubuhnya hanya 30 hingga 35 peratus saja yang asli. Selebihnya adalah palsu selepas pelbagai rawatan yang dibuat.

Sekali lagi, nama Safiey hangat di media sosial apabila mendedahkan menjalani prosedur menaikkan kening dengan kos RM30,000 akibat kegagalan prosedur pemindahan lemak yang dibuat ke muka dan dahi pada November lalu.

Lebih mengerikan juga apabila perkara itu memberikan kesan apabila pipi kanan bengkak dan bernanah. Difahamkan, nanah itu adalah saki-baki daripada lemak yang dikeluarkan pada wajahnya pada Julai lalu.

Diakui ramai yang marah apabila Harian Metro melaporkan perkara ini dan berkongsi kepada umum. Rata-rata menganggap kenapa akhbar Melayu sanggup mempromosikan aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Seolah-olah apa yang dilaporkan adalah dosa besar kerana mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk melakukan perkara sama.

Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah sebenarnya dalam konteks pemberitaan, pembaca atau khalayak mempunyai pandangan tersendiri mengenai sesuatu laporan.

Ada pihak yang mampu berfikir secara logik sebaliknya ada yang menolak mentah-mentah.

Bagi yang mampu berfikir, mereka boleh menjadikan setiap diperkatakan dalam laporan itu adalah bentuk pengajaran bukan saja buat diri sendiri tapi orang sekeliling.

Malah, kategori pembaca sebegini adalah individu yang masih dapat membezakan nilai berita itu. Berbanding dengan kategori pembaca yang sekadar mahu mencari salah, mereka akan terus menyalahkan laporan dibuat.

Bagi mereka, berita yang perlu dilaporkan hanyalah yang positif. Jika ia berunsur negatif, berita itu 'haram' disajikan kepada khalayak kerana bimbang menjadi ikutan.

Sedangkan, jika difikir secara logik, apa yang dilakukan Safiey itu sudah ramai dibuat golongan wanita asli. Cuma mereka tidak mendapat kecaman disebabkan soal kecantikan itu lebih sinonim dengan wanita berbanding lelaki atau 'wanita jadian' ini.

Disebabkan itu, apa saja perkara yang berunsur berlawanan dengan fitrah sesuatu perkara itu perlu ditentang tanpa memberikan hujah yang kukuh.

Padahal, di sebalik apa yang dilaporkan itu khalayak sudah boleh mengambil iktibar di sebaliknya.

Bukan mahu menegakkan konsep 'bad news is good news', tetapi pada ketika ini pemahaman sebegini perlu diperluaskan. Malah, pada era media sosial dan media baharu ini, segalanya di hujung jari.

Jika bukan dilaporkan dalam media massa sekali pun, sesiapa saja yang mempunyai akses media sosial sudah boleh mendapat berita dalam pelbagai bentuk.

Paling penting di sini adalah, sejauh mana kita menilai sesuatu laporan media itu untuk diaplikasikan dalam diri kita.

Kalau berasakan ia tidak baik, jangan diikut. Kalau ia berguna, jadikan sebagai rujukan untuk menjadi seseorang yang lebih maju.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 5:59 AM