Operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen bersama anggota keselamatan dan agensi lain bagi menahan pendatang-pedatang asing.
Operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen bersama anggota keselamatan dan agensi lain bagi menahan pendatang-pedatang asing.
Noor Mohamad Shakil Hameed

SYABAS dan tahniah kepada pihak berkuasa yang menggempur pendatang asing tanpa izin (Pati) secara bersepadu secara lebih drastik. Ternyata kolaborasi strategik beberapa agensi yang terlibat seperti Jabatan Imigresen, polis, tentera dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat mula memberikan kesan baik.

Boleh dikatakan ini antara hikmah yang kita perolehi ketika negara diserang wabak Covid-19 apabila pihak berkuasa mengambil peluang untuk 'membersihkan' kebanjiran Pati di beberapa lokasi tumpuan mereka selama ini termasuk di pasar borong.

Kejayaan pihak berkuasa 'membersihkan' Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tempoh hari satu contoh yang amat signifikan. Ia membuktikan kita mampu menangani kebanjiran Pati jika kena pada caranya. Kini, masyarakat setempat lebih tenang, selesa dan selamat untuk mengunjungi pasar borong itu yang selama ini dikuasai Pati baik sebagai peniaga mahupun pekerja.

Jadi, besarlah harapan kita supaya usaha, inisiatif dan operasi bersepadu pihak berkuasa ini diteruskan sehingga seluruh negara dapat dibersihkan daripada kebanjiran Pati seperti ini. Harus diingat bilangan Pati di negara kita terus meningkat dan kesannya mereka sudah mula menguasai pelbagai sektor ekonomi di negara ini sehingga mengancam peluang pekerjaan yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat tempatan.

Maka sudah tiba masanya untuk kita nyahkan Pati ini sepenuhnya dari negara kita dan membuka semula peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang terjejas akibat serangan wabak Covid-19. Jangan lupa, ramai yang sudah diberhentikan kerja dan ramai juga sedang meniti nasib umpama telur di hujung tanduk iaitu kemungkinan akan diberhentikan kerja pada bila-bila masa saja. Kita juga perlu menginsafi hakikat betapa kadar pengangguran pada tahun ini dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur mengikut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Penulis percaya jika kita dapat mengambil balik peluang pekerjaan dan perniagaan yaang dikuasai Pati ini, rakyat tempatan boleh mengambil peluang mengisi kekosongan itu demi meneruskan survival kehidupan masing-masing. Misalnya, dilaporkan, kira-kira 1,500 rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur iaitu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pati yang ditangkap tempoh hari. Mereka dikatakan memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM2,400 sebulan bersama elaun lain. Bukankah ini satu contoh dan kejayaan yang cukup menarik dan wajar membuka mata semua pihak. Ironinya 1,500 peluang pekerjaan ini wujud di satu tempat dan bayangkan jika kita dapat bersihkan semua pasar borong di seluruh negara di samping dalam sektor yang lain berapa banyak lagi peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan.

Di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan, operasi pembersihan Pati ini juga sebenarnya banyak membantu dari segi melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat kita. Hal ini kerana sudah ada banyak kes sebelum ini Pati didapati terlibat dalam pelbagai kes jenayah sehingga memberikan ancaman kepada rakyat tempatan. Malah, sikap mereka yang tidak begitu mengendahkan kebersihan pula turut menyumbang kepada penularan pelbagai penyakit yang mengancam nyawa termasuk Covid-19. Ternyata kebanjiran Pati di negara kita lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Justeru, semua pihak perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa supaya usaha murni menggempur Pati ini dapat mendatangkan hasil yang lebih baik dan berterusan. Misalnya, anggota masyarakat perlu berani melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera jika disyaki ada kelibat Pati di sekitar kita. Jangan biarkan mereka berkumpul secara beramai-ramai di sesuatu kawasan sehingga mengancam kita, sebaliknya bertindak segera sebelum nasi menjadi bubur. Ingat, mereka akan naik kepala dan berani bertindak sesuka hati termasuk melanggar undang-undang jika bilangan mereka ramai di sesuatu kawasan.

Pada masa sama, majikan yang selama ini menggaji golongan Pati demi meraih keuntungan lebih turut perlu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Jangan menggadai keselamaan rakyat dan negara serta merampas peluang pekerjaan anak tempatan dek kerana ketamakan kita.

Kita berharap pihak berkuasa akan mengenakan hukuman setimpal kepada majikan seperti ini. Di samping itu, kita juga berharap PBT di seluruh negara akan bertindak lebih tegas membatalkan terus lesen perniagaan warga tempatan yang menggadaikan lesen mereka kepada warga asing dan meraih untung atas angin. Tindakan tidak bertanggungjawab dan lepas tangan seperti ini perlu diberikan hukuman setimpal.

Dalam pada itu, kita juga sedikit terganggu dengan laporan kononnya ada dalam kalangan anggota penguat kuasa agensi dan jabatan tertentu terlibat sebagai dalang dalam membantu kegiatan sindiket penyeludupan migran terutama di pintu sempadan negara. Walaupun ini bukan isu baharu, namun kita terkejut ia masih berlaku setelah pelbagai langkah diambil oleh semua agensi yang terlibat. Jelas sekali masih ada sesuatu yang tidak kena dan tidak betul.

Kita berharap semua agensi penguatkuasaan dapat melihat perkara ini secara lebih mendalam kerana tindakan anggota penguat kuasa terbabit adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara di samping menjejaskan nama baik dan imej agensi masing-masing. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga kerana kita percaya majoriti anggota penguat kuasa yang ada masih berpaksikan budaya kerja amanah, adil dan berintegriti.

Kita berharap usaha pihak berkuasa dalam membanteras Pati serta membersihkan negara daripada Pati dapat diteruskan secara lebih drastik dan merangkumi semua sektor. Berilah sinar harapan kepada rakyat yang dahagakan peluang pekerjaan untuk menampung keperluan hidup diri dan keluarga. Jangan jadi umpama, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 7:00 AM