Ahmad Saufi Mansor

PADA ketika ini, penduduk Wuhan di China yang sebelum ini menjadi lokasi pandemik wabak Covid-19 boleh menarik nafas lega apabila mereka kembali menjalani kehidupan harian.

Ini kerana Wuhan mengakhiri perintah berkurung selama dua bulan pada 28 Mac lalu, tetapi situasi berbeza pula dihadapi rakyat di negara ini.

Ramai semakin resah dan gelisah selepas tiga minggu duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi menangani penularan virus berbahaya itu.

Kini fasa kedua PKP yang dilanjutkan kerajaan mula memasuki minggu kedua menjelang tarikh terakhir pada 14 April ini.

Malaysia dijangka berdepan gelombang ketiga wabak Covid-19 menjelang pertengahan bulan ini berikutan ada kes baharu setiap hari, malah jangkitan mula berlaku kepada generasi kelima.

Tetapi, dalam keadaan kerajaan cuba mengekang musuh tidak terlihat ini, masih ada individu bersikap acuh tidak acuh atau tidak ambil peduli susah payah barisan hadapan berjuang menentang Covid-19.

Mereka masih degil apabila keluar rumah dengan pelbagai alasan tidak munasabah sedangkan kerajaan sama ada di media cetak atau elektronik mahupun media baharu memberi peringatan supaya duduk di rumah.

Teringat penulis kata-kata rakan guru mengenai betapa susahnya untuk mengawal anak murid di dalam kelas, begitu juga situasi dihadapi polis dan anggota tentera.

Dalam ketika petugas barisan hadapan terutama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjuang dalam tangisan untuk merawat pesakit, masih ada rakyat Malaysia yang bersikap babil.

Ada yang marah kepada anggota polis dan tentera yang melakukan sekatan jalan raya, selain tidak kurang juga cuba memperlekehkan usaha kerajaan dalam mengekang wabak ini.

Pengorbanan mereka berpanas dan berhujan dengan meninggalkan keluarga di rumah hanya dipandang sepi, tetapi apabila pihak berkuasa mula berkeras maka timbul isu tidak puas hati.

Banyak cakap-cakap di ruang maya mempertikaikan tindakan polis merotan mereka yang ingkar PKP, selain isu anggota polis meninggikan suara dan ada juga netizen mengeluarkan perkataan menjelekkan.

Ketegasan yang dilakukan pihak berkuasa ini mempunyai alasan tertentu iaitu tidak mahu akibat perbuatan segelintir mereka yang degil, maka terpalit kepada rakyat yang patuh kepada arahan.

Kini, empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Terbaharu, bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikenakan arahan berkenaan.

Lokasi terbabit hanya kira-kira 500 meter dari lokasi Menara City One, yang lebih awal dikenakan PKPD bermula 31 Mac lalu.

Sebelum itu, tujuh kampung dari Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat dikenakan arahan sama sehari awal.

Arahan PKPD yang pertama dibuat di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang bermula 27 Mac lalu yang memaksa penduduk ‘berkurung’ dalam rumah.

Terbaharu, Putrajaya, Jasin di Melaka dan Rembau, Negeri Sembilan pula diletakkan sebagai kawasan zon merah jangkitan Covid-19 dalam tempoh dua hari berbanding 18 kawasan, pada 5 April lalu.

Adakah ini pilihan anda, mahu terus ‘dikurung’ dalam rumah kerana usaha kerajaan menerusi KKM untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 digagalkan rakyat secara tidak sedar.

Biarlah pihak berkuasa terutama polis serta tentera melakukan tugas mereka menyekat pergerakan tiada keperluan dan kita sebagai rakyat mengambil tanggungjawab untuk duduk di rumah saja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga memaklumkan anak buahnya tidak digalakkan menggunakan kekerasan bagi mengawal situasi individu yang ingkar arahan PKP.

Malah, beliau berharap orang ramai dapat memahami situasi dilalui pegawai dan anggota polis yang bertugas sepanjang PKP.

“Harapan saya terhadap anak buah (pegawai dan anggota polis bertugas) supaya ikut undang-undang. Saya sendiri tidak menggalakkan mereka menggunakan kekerasan bagi mengawal mereka yang ingkar.

“Kami (pihak polis) tidak suka menahan orang, tetapi undang-undang itu bertujuan menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan ia bukanlah satu keseronokan,” katanya.

Kini, kita mungkin berdebar-debar menunggu pengumuman kerajaan, sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya. Segalanya kini terletak pada kita sebagai rakyat Malaysia, mahu patuh arahan atau sebaliknya. Tepuk dada tanya selera.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 6:00 AM