LANS Koperal Azzlan Zull Affandy Jamaludin bersama Koperal Azreen Abdul Majid (kanan) memeriksa kenderaan yang ingin melepasi sekatan jalan raya ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Lebuhraya Sungai Besi, kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
LANS Koperal Azzlan Zull Affandy Jamaludin bersama Koperal Azreen Abdul Majid (kanan) memeriksa kenderaan yang ingin melepasi sekatan jalan raya ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Lebuhraya Sungai Besi, kelmarin. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Tiada kelibat perarakan gah Panji Kehormat Sang Saka Biru mahupun nyanyian bersemangat lagu Polis Sedia Berkhidmat semalam.

Acara Sambutan Peringatan Hari Polis lazimnya diadakan pada 25 Mac setiap tahun terpaksa dibatalkan.

Tarikh keramat bagi mengingati jasa pengorbanan anggota polis hambar dan seolah-olah tidak langsung dirasai. Malah, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak Kuala Lumpur yang menjadi tapak ‘wajib’ acara sambutan rasmi itu kelihatan sepi.

Rata-rata anggota polis ketika ini sibuk dengan ‘tugasan baharu’ maha dahsyat. Mengawal penuh pergerakan rakyat jelata supaya tidak dijangkiti virus Covid-19.

Buat masa ini, 42,000 anggota polis dibantu 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dipatuhi.

Segala bentuk cuti dan program dibekukan. Mereka perlu mengadakan sekatan jalan raya ketat siang dan malam bertujuan memastikan wabak maut ini tidak terus melarat parah.

Penulis sekadar mampu melihat anggota polis ini berpanas dan berhujan. Lapar atau dahaga terpaksa ‘ditelan’ demi amanah memastikan 1,295 sekatan jalan raya diadakan
di seluruh negara berfungsi.

Ini tidak termasuk tugasan hakiki rondaan cegah jenayah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan keamanan terus terpelihara. Ternyata beban dipikul anggota PDRM ketika ini begitu berat.

Tambah menyedihkan apabila enam anggota PDRM ‘tumbang’ selepas disahkan positif Covid-19 ketika bertugas di seluruh negara. Apa pula nasib 335 ahli keluarga mereka yang masih menunggu keputusan saringan kesihatan Covid-19 ?

Ini semua soal nyawa! Bukan main-main. Penulis yakin Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut tertekan dan merasai cabaran getir serta kepayahan anggotanya
di lapangan.

Amanatnya supaya setiap anggota polis memasakkan tekad dan membulatkan iltizam dalam melaksanakan PKP agar rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan bukan arahan picisan.

Ini membuktikan beliau menyedari isu kelangsungan hidup dan nyawa 32 juta rakyat Malaysia berada di tangan PDRM.

Tanggungjawab besar itu kini turut dipikul mereka selain kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi lain selaku pejuang barisan hadapan.

Baginya setiap anggota PDRM perlu kental dan siap siaga. Mereka tidak boleh teragak-agak meninggalkan keluarga tercinta. Perlu bertugas tanpa mengira masa demi menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Namun, adakah sekalian rakyat sedar semua ini dan menghargai pengorbanan PDRM? Tambah memburukkan keadaan apabila jangkitan Covid-19 dijangka mencapai kemuncaknya pertengahan April ini.

Ketika itu, 6,300 mangsa dijangka dijangkiti berbanding 1,796 kes keseluruhan semalam andainya PKP dilaksanakan polis tidak diendahkan rakyat.

Jelas begitu besar peranan polis ketika ini dan harapan diletakkan kerajaan pada mereka! Ini bertepatan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ digunakan pada tema sambutan Hari Polis tahun lalu membuktikan pengorbanan besar polis pada rakyat.

Melihat cabaran dilalui PDRM kini, sewajarnya rakyat muhasabah dan memikirkan peranan polis dalam konteks lebih luas. Tidak perlu hanya mencari kelemahan atau menggunakan media sosial untuk menghentam PDRM.

Memang benar tidak semua anggota polis ‘bersih’. Ada yang terpalit dengan isu penagihan dadah dan jenayah. Namun,
ia hanyalah segelintir kecil berbanding tahap profesionalisme dan keupayaan ditonjolkan.

Walaupun tahap keyakinan dan kepercayaan polis pernah dipersoalkan namun penulis yakin masyarakat meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan polis untuk menangani kes jenayah sekali gus menurunkan indeks jenayah negara.

Sememangnya penulis mengakui betapa mencabarnya hidup dilalui anggota PDRM. Sebelum ini mereka melalui fasa Ops Daulat ketika negara diceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013, isu pengganas Daish selain jenayah dunia digital yang semakin kompleks.

Anggota polis wajar dihargai atas setiap pengorbanan mereka menjaga keselamatan, membanteras jenayah, menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat sejak sekian lama.

Penulis percaya, setiap anggota PDRM amat komited dalam memenuhi aspirasi PDRM walau terpaksa bercerai jasad dan nyawa demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Sebagai rakyat biasa, wajarnya kita menjunjung tinggi pengorbanan setiap warga PDRM, yang ikhlas menggalas tanggungjawab diamanahkan.

Penulis berharap, kerajaan akan menilai semula pengorbanan dilakukan polis selepas ini dengan meningkatkan kelengkapan logistik, prasarana serta memastikan kebajikan anggota PDRM dan keluarga terus dibela.

Tidak mustahil kadar indeks jenayah, kadar pendakwaan, kadar penyelesaian kes serta lingkaran keyakinan dan persepsi negatif akan dapat diturunkan pada kadar lebih realistik seandainya segala masalah dalaman PDRM diselesaikan.

Sesungguhnya inilah jihad mereka demi agama, bangsa dan negara. Sebagai petugas barisan hadapan yang diamanahkan untuk menguatkuasakan PKP, sanjungilah pengorbanan mereka.

Selamat bertugas perwira. Selamat Hari Polis ke-213.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 2:59 PM