MEMBERI tunjuk ajar dan tip kepada peserta dalam bengkel landskap.
MEMBERI tunjuk ajar dan tip kepada peserta dalam bengkel landskap.
Helmy Abd Rahman

RAKAN sepejabat memanggilnya Mat Bunga, bukan kerana berjiwa romantis, sebaliknya lelaki berusia 42 tahun ini banyak mengorbankan masa sebagai arkitek landskap untuk menghias bunga dan tanaman.

Bagi Muhamad Adli Salihin Samsudin, 42, gelaran itu tidak langsung dianggap kutukan tetapi membuktikan dia komited dengan kerjaya sejak mula berkhidmat di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Kompleks Pertanian Serdang, Jabatan Pertanian, 12 tahun lalu.

Malah dalam kalangan komuniti landskap di negara ini, nama Muhamad Adli bukanlah asing, lebih-lebih lagi dia sering dijemput berceramah dalam bengkel hiasan dan landskap selain menjadi tetamu di pelbagai rancangan televisyen.

“Sebagai arkitek landskap, saya sering tertanya-tanya apa nilai yang diletakkan orang lain mengenai ruangan luar bangunan.

“Terdapat kajian menunjukkan kita boleh jadi lebih sihat dan ceria apabila mempunyai akses kepada alam, termasuk ruangan hijau di bandar.

“Persoalan dan fakta ini sering saya kumpul dan pertimbangkan sebelum menghasilkan rekaan landskap.

“Ia menjadi motivasi dan pendorong yang kuat untuk saya terus berkarya dalam bidang ini,” kata lelaki berasal dari Johor Bahru, ini.

BINCANG bersama rakan setugas untuk menghasilkan pelan landskap.
BINCANG bersama rakan setugas untuk menghasilkan pelan landskap.

Jelas Muhamad Adli, setakat ini dia sudah menghasilkan 75 rekaan landskap, namun yang paling tidak dapat dilupakannya apabila diberi kepercayaan pengurusan tertinggi jabatan melaksanakan projek landskap di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak.

“Ia bersempena pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2015.

“Memang saya tak dapat lupakan pengalaman itu, daripada kerja meninjau kawasan, kemudian mereka bentuk pelan landskap dan kerja-kerja persediaan, pemilihan pokok bersesuaian sehinggalah ke peringkat pelaksanaan yang memakan masa kira-kira sebulan.

“Seramai 40 kakitangan Jabatan Pertanian Perak terbabit dalam projek ini.

“Alhamdulillah, kerja di kawasan Istana Iskandariah berjaya disiapkan lebih awal tiga hari sebelum hari pertabalan.

“Sampai ke hari ini, perasaan puas dan bangga masih membara dalam jiwa apabila teringat mengenai projek ini.

“Selain itu, banyak lagi pengalaman manis sepanjang kerjaya, antaranya apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pertanian pada 2011.

“Saya juga menjadi perunding kepada program khidmat masyarakat (CSR) kepada mereka yang ingin membina laman landskap edibel, membantu Jabatan Pertanian mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2014 dan 2016.

MEMERIKSA Orkid Harimau, iaitu orkid terbesar di dunia.
MEMERIKSA Orkid Harimau, iaitu orkid terbesar di dunia.

“Saya juga ditugaskan meluaskan segmen landskap edibel ke peringkat akar umbi di seluruh negara serta ditauliahkan sebagai Jurulatih Bidang Khas (JBK) oleh Jabatan Pertanian,” kata pemegang Ijazah Sarjana Senibina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Ditanya mengenai impian masa depan, bapa kepada dua anak berusia sembilan dan 12 tahun ini menjelaskan, dia berhasrat memperluas dan memperkasakan konsep landskap produktif, iaitu penggunaan tanaman hiasan yang bukan saja dapat menyuntik elemen kecantikan serta hiasan tetapi boleh dimanfaatkan fungsi etnobotani tanaman untuk menghasilkan produk yang boleh memberi nilai tambah.

MEMANTAU selepas kerja menghias landskap dilaksanakan.
MEMANTAU selepas kerja menghias landskap dilaksanakan.

“Contohnya penghasilan produk perubatan, produk kecantikan, sumber bahan makanan, produk perindustrian dan produk aromaterapi.

“Ini membuatkan kita lebih menghargai tanaman di sekeliling selain menggunakan ruang dengan cekap dan efektif.

“Ia juga membantu meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.

Jelasnya, Malaysia mempunyai potensi besar mengembangkan bidang landskap ke tahap lebih tinggi, apatah lagi negara ini sedang berkembang pesat dalam sektor pembangunan.

BERSAMA isteri dan anak-anak.
BERSAMA isteri dan anak-anak.

“Di sebalik kepesatan sektor pembangunan, industri landskap harus dilihat sebagai segmen teramat penting dan diperlukan untuk diseimbangkan dengan pembangunan.

“Selain berperanan sebagai elemen hiasan, landskap berfungsi menjaga keseimbangan ekosistem dan biodiversiti bagi memastikan kelestarian alam sekitar di sekeliling kita.

“Semua hakikat ini membuktikan industri landskap bukan sekadar mampu, tetapi harus berkembang pesat dengan jayanya di negara ini pada masa depan.

“Sekarang masanya untuk industri ini memainkan peranan yang konstruktif.

“Sebagai antara individu terbabit secara langsung dalam bidang ini, saya amat teruja untuk menyahut cabaran ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM