PRESIDEN Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika. FOTO Asyraf Hamzah
PRESIDEN Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika. FOTO Asyraf Hamzah
Aniza Zainudin

INSIDEN menjadikan haiwan peneman seperti kucing dan anjing terbiar sebagai makanan dalam kalangan warga asing di Malaysia, antara isu perjuangan disuarakan Persatuan Haiwan Malaysia.

Seolah terpinggir dan terpencil, kes seperti itu memang berlaku namun ketiadaan bukti menyukarkan inisiatif golongan pencinta haiwan untuk membela nasib binatang jalanan.

Presidennya, Arie Dwi Andika mengakui wujudnya kejadian memakan haiwan peneman berdasarkan aduan diterima membabitkan pekerja asing dari Vietnam, Myanmar dan Flores, Indonesia tetapi mereka ketandusan bukti.

“Kes terbaharu berlaku di Desa Coalfields, Sungai Buloh di Selangor.

“Undang-undang kita tidak termaktub bagi kejadian seperti itu tidak dianggap sebagai jenayah, melainkan haiwan dimatikan secara tidak berperikemanusiaan.

SIFATKAN diri sebagai pencinta alam sekitar.
SIFATKAN diri sebagai pencinta alam sekitar.

“Bagi saya, perilaku memakan haiwan peneman bukanlah perbuatan manusia normal. Tambahan pula, haiwan jalanan tidak menerima rawatan vaksin.

“Tindakan memakan haiwan ini juga boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit.

“Jangan menganggap semua kejadian haiwan membolehkan manusia memakannya kerana Allah jelas menyatakan setiap binatang mempunyai fungsi tertentu termasuk ternakan, tunggangan, perhiasan dan makanan.

“Justeru, kami memilih untuk terus menyuarakan isu ini sehingga dapat mewujudkan garis panduan atau akta berkaitan haiwan bukan makanan.

“Malah berharap perkara ini mendapat perhatian,” kata pencinta alam sekitar ini ketika ditemui, Isnin lalu.

PERKENAL konsep ‘jangan beli, tetapi ambil’.
PERKENAL konsep ‘jangan beli, tetapi ambil’.

Aktif dalam kerja sosial, Arie mengakui pengaruh datuknya yang juga pencinta kucing memberi makanan dan membawa pulang kucing jalanan ke rumah ketika kecil, antara faktor dirinya terbabit dengan dunia haiwan.

Atas dasar cinta, pada 2008 lelaki berasal dari ibu kota ini mengasaskan Persatuan Peminat Kucing Kuala Lumpur dan Selangor pada 2008, seterusnya mempengerusikan persatuan berkenaan selama sembilan tahun.

Pada masa sama, turut memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Peminat Kucing Malaysia pada 2009 hingga 2013, sebelum dilantik ke jawatan terkini sejak 2017.

Antara aktiviti dilakukan ialah menganjurkan program kesedaran, pemandulan dan kucing angkat seperti di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 2013.

Menurutnya, acara besar-besaran ini berjaya memberi kehidupan baharu kepada lebih 100 ekor kucing menggunakan kempen ‘Satu Rumah, Satu Kucing’.

Mengulas mengenai isu penyelamat bebas, lelaki berusia 40 tahun ini menyifatkan inisiatif berkenaan usaha murni masyarakat yang seharusnya bergerak menerusi persatuan.

“Saya tidak nafikan penyelamat bebas ini mempunyai kekangan kos untuk menyelamat, penjagaan dan perubatan yang disifatkan tinggi jika membabitkan kuantiti besar.

BERSAMA rakan seperjuangan.
BERSAMA rakan seperjuangan.

“Kerja menyelamat bukan tugas individu kerana ia berisiko mewujudkan pengkhianatan. Jadi, saranan saya, penyelamat boleh meneruskan usaha murni mereka bersama persatuan sedia ada.

“Mereka juga mempunyai pilihan untuk bergabung dan membentuk badan bukan kerajaan (NGO) baharu bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan kutipan dana.

“Ini kerana melalui persatuan, setiap sumbangan diterima boleh diaudit pihak berkuasa,” katanya.

Mencungkil impian besarnya, Arie ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang mesra haiwan gelandangan yang bebas serta terpelihara seperti dilakukan Australia yang memperuntukkan bahawa haiwan wajib dilindungi dibawah akta dan undang-undang komprehensif.

Aktif menjalankan perniagaan pembinaan dan pengubahsuaian bangunan, bengkel membaiki motosikal, butik kafe serta agensi insurans, Arie juga pernah menghasilkan beberapa buku.

Antaranya, Panduan Asas Memelihara Kucing (2010), Jalan Salah Yang Selamat dan Aku, Anjing dan Manusia pada tahun lalu.

Berkongsi latar belakang diri, lelaki ini mengakui dilahirkan dalam keluarga besar bersama 11 adik-beradik yang dibesarkan ibu selepas pemergian bapa ketika usianya menjengah dua tahun.

Menyaksikan kejerihan ibu mencari rezeki, mendedahkan Arie kepada semangat perjuangan dan tidak malu bermula dari bawah.

“Tidak dinafikan, saya pernah bercita-cita menjadi peguam namun ia hanya tinggal impian, apabila saya memilih untuk menceburi bidang perniagaan.

“Pandangan peribadi saya, perniagaan menawarkan peluang meraih pendapatan besar yang bergantung pada cara, usaha dan strategi yang dirancang.

KERAP turun padang.
KERAP turun padang.

“Saya tidak malu mengakui pernah terduduk sepanjang berniaga, namun ia memberi pengajaran dan pengalaman baharu kepada saya pada masa depan.

“Oleh kerana jiwa saya dekat dengan kucing, saya memulakan perniagaan pertama Pusat Penjagaan Kucing Ikhlas sekitar 2006 selama 10 tahun.

“Idea itu diilhamkan apabila saya melihat banyak kucing terbiar di jalanan tanpa diberi perlindungan hingga membuatkan haiwan peliharaan itu seperti tiada nilai.

“Segelintir individu mengambil jalan mudah dengan membuang kucing peliharaan mereka apabila bilangannya kian bertambah.

“Jadi, saya terpanggil untuk membantu haiwan malang ini seterusnya ‘menambah nilai’ menerusi penjagaan sempurna dan rawatan sewajarnya.

“Pada masa sama, kita ingin mendidik masyarakat supaya sentiasa berkasih sayang sesama makhluk.

“Saya lebih gemar menggunakan konsep ‘jangan beli, tetapi ambil’ kepada mereka yang ingin memiliki haiwan peliharaan,” katanya yang pernah kehilangan kucing kesayangannya, Reng Reng, yang dipelihara selama 20 tahun.

Menyatakan hasrat perjuangan membela nasib haiwan, Arie berharap undang-undang berkaitan haiwan dapat diperkasakan dan penguatkuasaan secara maksimum dapat memberi impak besar kepada negara.

Memetik pepatah Mahatma Gandhi, ‘Jika ingin melihat bangsa sesebuah negara, maka lihatlah bagaimana mereka melayani haiwan di negara mereka’, lelaki ini memiliki impian untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memiliki ilmu berkaitan haiwan sekali gus menghargai kewujudan haiwan sebagai pelengkap ekosistem.

TERUS menyuarakan isu haiwan gelandangan.
TERUS menyuarakan isu haiwan gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:50 PM