FADHILAH ketika menziarahi pengebumian Kamal Bakar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
FADHILAH ketika menziarahi pengebumian Kamal Bakar. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Wajahnya yang berkumis nampak 'garang', namun pelakon veteran, Kamal Bakar, 62, secara peribadi sebenarnya insan yang mesra, baik dan mudah menolong.

Perkara itu dikongsikan rakan artis, Datin Fadhilah Mansor dan penyanyi, Haida Hasnan yang menziarahi jenazah arwah Kamarulzaman Bakar, 62, atau lebih dikenali Kamal Bakar di Masjid Al-Ehsan Bukit Baru di sini, hari ini.

Fadhilah berkata, beliau mengenali Kamal ketika arwah masih bujang dan sama-sama berjuang dalam bidang seni.

"Dia memang baik orangnya, kalau apa-apa kita minta tolong dia mesti tolong. Kalau saya datang ke Melaka, dia mesti nak jumpa. Dia macam tu, anak dia pun sama.

"Kami kenal sebelum dia kahwin...sekarang anak pun dah besar-besar, dah bercucu. Memang terasa kehilangannya. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan saya ziarah arwah kali terakhir hari ini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Haida turut senada mengenai peribadi Kamal yang dikenalinya melalui anak arwah yang juga pelakon, Hanis Kamal.

"Alhamdulillah di hujung usianya arwah tidak berhenti berzikir, solat dan mengaji, pengakhiran yang sangat baik. Orang kata rezeki arwah, hari ini ramai yang menziarah dan solat untuknya.

"Arwah sudah lama berlakon, walaupun banyak watak sampingan, tapi ramai yang mengenalinya dan bagi saya sumbangannya kepada industri seni sangat besar," katanya.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, di sini, kira-kira 2.20 petang tadi.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Ehsan untuk dimandi dan dikafan sebelum disolatkan yang turut disertai kira-kira 200 orang termasuk keluarga terdekat serta kariah.

Antara selebriti lain yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir adalah Aziz M Osman dan Mubarak Majid.

MELAKA: 25 JUN 2024- Datin Fadhilah Mansor menyifatkan Kamal Bakar seorang rakan artis yang baik dan mudah menolong. Foto/video: Meor Riduwan Meor Ahmad.

MELAKA: 25 JUN 2024- Haida hargai pengorbanan seni Kamal Bakar. Foto/video: Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:52 PM