SHAHZ lebih selektif dalam lakonan.
SHAHZ lebih selektif dalam lakonan.
Ramlah Zainal


Selepas berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata, fokus dan keutamaan pelakon Shahz Jaszle kini pada karier seni dan rumah tangga yang dibina bersama isteri, Nur Hanis Husna.

Kata Shahz atau nama sebenarnya Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 36, dia juga sudah tidak lagi bersosial seperti ketika zaman bujangnya dulu.

"Rutin hidup saya sudah berubah sejak sembilan tahun lalu.

"Saya akui semuanya berubah bila sudah ada anak-anak yang menjadi pengikat kasih sayang dalam rumah tangga.

"Apatah lagi, kami baru sahaja dikurniakan anak ketiga, habis sahaja penggambaran, saya tidak sabar untuk pulang ke rumah nak tengok bayi kami, Aurora Jane yang dilahirkan tanggal 14 Jun lalu," katanya.

Mengenai kerjaya seni, kata Shahz, dia juga akan membawa isteri dan anak-anaknya ke lokasi penggambaran bila ada kelapangan.

"Kalau nak lepak di lokasi penggambaran, saya akan bawa isteri dan anak-anak sekali.

"Isteri saya juga seorang yang berfikiran terbuka dan sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon.

"Isteri juga tidak pernah letak syarat untuk babak pegang-pegang atau berpelukan dengan artis wanita kerana dia memahami ia sekadar lakonan dan saya bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga," katanya.

Ditanya tawaran berlakon pula, kata Shahz, dia juga hanya mengambil satu projek dalam satu masa kerana mementingkan kualiti dalam lakonan.

"Sebagai pelakon berpengalaman, saya juga lebih selektif dengan watak ditawarkan dan pastikan ada kelainan kerana sekarang ada platform digital yang lebih menarik naskhahnya.

"Buat masa ini, saya menghabiskan baki penggambaran drama bersiri 12 episod Senyawa arahan Eyra Rahman bergandingan dengan pelakon baru, Trisha Ooi selaku teraju utama.

"Saya juga baru selesai penggambaran filem Mayang pada April lalu. Selain perlu menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram untuk menjiwai watak Adam juga penuntut universiti dalam filem genre seram serta arahan bersama pengarah dari India," katanya.

Berkongsi perkembangan anaknya pula, kata Shahz, dia juga tidak menghalang dua anaknya mengikut jejak isteri dalam dunia modelling (peragaan).

"Anak yang sulung, Alana Jasmeen meminati bidang iklan dan peragaan. Sebelum ini Alana adalah model untuk jenama Padini.

"Anak kedua, Ayden Jasreen juga model untuk Padini. Isteri juga yang menguruskan dua anak untuk menghadiri sesi fotografi dan sebagainya," katanya.

Ditanya laman media sosial pula, kata Shahz, dua anaknya juga memiliki akaun Instagram yang dikendalikan isterinya.

"Sebagai ibu bapa kami hanya pantau, tapi tidak sekat anak-anak untuk melayari internet atau media sosial kerana tidak mahu menyekat perkembangan dan kreativiti mereka.

"Sekarang adalah zaman media sosial dan berbeza dari zaman kita dulu. Banyak yang mereka pelajari dari gajet dan permainan 'game' di internet," kata Shahz yang turut menceburi bisnes baju 'street wear' dan minyak wangi jenama sendiri, Jasz and Hsns.

Shahz berkahwin dengan Nur Hanis Husna pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alana Jasmeen, sembilan tahun, Ayden Jasreen, tujuh tahun dan Aurora Jane, berusia 12 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:46 AM