Hafidz Roshdi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hafidz Roshdi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Georgie Joseph


Shah Alam: Pelakon, Hafidz Roshdi, 30, bersyukur dapat berlakon kembali selepas lebih setahun tiada tawaran dan menyifatkan ia umpama 'peluang kedua' buatnya dalam kerjaya seni.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi berkata, dia lega kerana tempoh setahun itu adalah tempoh paling lama pernah dilaluinya tanpa menjalani sebarang penggambaran.

"Alhamdulillah, Allah memberi peluang kedua apabila baru-baru ini saya kembali menerima tawaran lakonan selepas setahun tak 'shooting' (penggambaran).

"Saya pun tak sangka menerima tawaran daripada Global Station Sdn Bhd untuk berlakon dalam drama untuk siaran di Viu. Harapnya ini menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan," katanya yang bakal membintangi drama Bawah Payung Awan musim kedua.

Hafidz juga sebelum ini banyak berteka-teki mengapa dirinya seolah-olah 'dipinggir' dan tidak diambil berlakon oleh mana-mana penerbit. 

Bagaimanapun, dia tetap percaya semua itu adalah soal rezeki dan enggan mempersoalkannya.

"Tawaran itu ada datang juga termasuk awal tahun ini. Tapi akhirnya tiada rezeki kerana nama saya tidak diluluskan stesen televisyen. Saya pun tidak pasti apa sebabnya.

"Saya pun tidaklah mahu bertanya kepada penerbit atau pengarah mengenai hal itu. Saya anggap saja tiada rezeki kalau memang nama sudah ditolak," katanya.

Dalam pada itu, Hafidz masih lagi meneruskan kerja sebagai penghantar barang untuk sebuah syarikat penghantaran terkenal demi kelangsungan hidup jika tiada kerja-kerja penggambaran.

Bahkan, dia semakin seronok melakukan kerja itu dan menganggapnya sebagai terapi terbaik untuk dirinya. 

"Saya anggap kerjaya sebagai penghantar barang seperti proses 'healing'. Ini kerana saya dapat berjumpa ramai orang dan membantu meredakan masalah bipolar yang dihidapi sejak 2021," katanya.

Apapun, Hafidz berharap pembabitannya dalam drama terbaru itu akan membuka lagi pintu rezeki buatnya. 

Katanya, dia memang tidak pernah mahu meninggalkan bidang lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 5:05 PM