ICSYVMY7 disiarkan setiap Ahad pada jam 9 malam di TV3 dan bersiaran sebanyak 11 episod.
ICSYVMY7 disiarkan setiap Ahad pada jam 9 malam di TV3 dan bersiaran sebanyak 11 episod.
Georgie Joseph

PROGRAM realiti hiburan I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) mencetus fenomena tersendiri sejak diperkenal beberapa tahun lalu.

Ia mendapat sambutan hangat saban tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sepanjang enam musim bersiaran.

ICSYVMY kini kembali untuk musim ketujuh dengan penampilan penyanyi misteri bersama barisan panel tetap baharu yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air. Ia menjanjikan lebih banyak kejutan dan persembahan luar biasa untuk penonton di seluruh negara.

Program ini diketuai Jamil Hassan sebagai Penerbit Eksekutif dan Ikha Arnisya sebagai Penerbit yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan. Ia masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacaranya.

Gandingan mantap mereka yang serasi dan lucu membuat peminat dan penonton setia ICSYVMY7 tidak kering gusi.

Konsepnya yang unik menjadikan rancangan ini terus mendapat tempat di hati peminat dengan kombinasi hiburan, drama dan teka-teki mencabar.

Mengulas mengenai perjalanan musim baharu program itu Jamil berkata, sudah pasti pelbagai elemen drama, lucu dan hiburan sekali lagi menjadi tonggak pada penyampaian rancangan berkenaan.

"Musim ketujuh menjanjikan banyak elemen baharu dan menarik. Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti menceriakan malam mereka.

"Kami berusaha keras memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya." katanya.

Sementara itu, pengacara ICSYVMY7, Izzue dan Shiha turut berpandangan positif mengenai jangkaan sambutan penonton untuk musim baharu program itu.

"Kami sangat gembira untuk kembali bersama penonton dan tidak sabar untuk menyaksikan kejutan hebat yang menanti.

"Setiap musim mempunyai keunikan tersendiri dan kami yakin musim ini akan menjadi yang terbaik!" kata mereka.

Saksikan gelagat barisan panel penyiasat tetap baharu yang terdiri daripada pelakon, pelawak dan penyanyi hebat tanah air iaitu Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim. Berjayakah mereka menggalas tanggungjawab mencari penyanyi sebenar? Atau adakah mereka dipertanggungjawabkan hanya untuk meriuhkan keadaan dan menimbulkan kekeliruan penonton di rumah?

Berbeza dari musim yang lalu, musim ini menampilkan artis jemputan bukan hanya terdiri daripada kalangan penyanyi sahaja, bahkan pelakon dan pelawak.

Barisan panel tetap dan panel jemputan diberi peluang empat pusingan bagi membantu artis jemputan memilih penyanyi sebenar.

Jika peserta berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai RM3,000. Manakala penyanyi sebenar mungkin berpeluang menyertai Alternate Records & Talents dan merakamkan single bersama komposer terkenal.

Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar yang perlu disingkirkan.

Seperti biasa, artis jemputan memperoleh bantuan dari panel penyiasat tetap dan panel penyiasat jemputan untuk mengenal pasti penyamar dan penyanyi sebenar pada setiap episod. Antara artis jemputan yang akan memeriahkan lagi suasana di ICSYVMY7 adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi dan ramai lagi.

Manakala panel penyiasat jemputan pula terdiri daripada Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam, Marsha dan ramai lagi.

Tiba masanya untuk memulakan misi baharu dan lakukan siasatan bersama keluarga menerusi ICSYVMY7.

Program yang disiarkan sebanyak 11 episod setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 akan membuka tirainya malam ini.

Program yang mendapat tajaan CelcomDigi juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 6:20 AM