REDZA bersama kedua ibu bapanya. Foto Ihsan Thelova.co
REDZA bersama kedua ibu bapanya. Foto Ihsan Thelova.co
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Redza anak yang manja dan rapat dengan kami (ibu bapa)."

Demikian kata bapa kepada pelakon Redza Rosli iaitu Rosli Hashim, 65, mengenai sikap anaknya itu.

Ia susulan Redza beberapa kali dilihat menangis sebelum majlis pernikahannya dengan pelakon Bella Hanna berlangsung di sebuah lokasi acara perkahwinan  di sini, hari ini.

Rosli berkata, Redza juga banyak berkongsi cerita dengan ibunya, Norashikin Saifudin, 58.

"Dia sedih sebab berkahwin dan perlu menjadi ketua keluarga pula. Baginya itu tanggungjawab yang bukan mudah. Bertambah sedih apabila dia mendapat kata-kata dan nasihat daripada ibunya.

"Kalau nak tahu, sewaktu dia sekolah rendah dan menengah dia akan ikut saya ke mana-mana saja terutama yang berkaitan kereta. Pendek kata, dia memang rapat dengan keluarga.

"Macam sekarang pun, kalau sakit, dia akan hubungi ibunya untuk mengadu dan bercerita. Biasalah, kadang anak lelaki memang terlebih rapat dan manja dengan ibu," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, ibu Redza berkata, dia banyak menasihati pelakon Luruhnya Bunga Cinta Itu agar banyak bersabar dalam menjalani kehidupan rumah tangga.

"Sebelum masuk dewan, dia salam saya minta restu dan ampunkan dosanya. Saya cakap pada dia, saya ampunkan semuanya dan doakan perjalanan majlis dan kehidupan baharunya dipermudahkan. Itu yang dia menangis. Saya juga nasihati agar banyakan bersabar.

"Alhamdulillah, sebab mak saya gembira dia bertemu jodoh. Doa saya, semoga ikatan perkahwinan itu berkekalan," katanya.

Terdahulu, Redza Rosli, 32, selamat bernikah dengan wanita pilihannya yang juga pelakon Bella Hanna, 28, dengan hanya sekali lafaz, pada jam 4.05 petang, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Rosman Abdullah di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Qaryah Masjid Taman Rakan Cheras Mohamad Mustakim Sarmuji.

Pada majlis itu, Redza atau nama sebenar Ahmad Redza Rosli menyerahkan mas kahwin RM3,000 beserta lima dulang hantaran dan berbalas tujuh daripada pihak perempuan. Manakala wang hantaran dirahsiakan. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:44 PM