AEDY Ashraf mengakui Amelia Henderson adalah wanita pilihan yang tepat. FOTO Arkib NSTP
AEDY Ashraf mengakui Amelia Henderson adalah wanita pilihan yang tepat. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon, Aedy Ashraf mengakui Amelia Henderson adalah wanita pilihan yang tepat, tetapi waktu sekarang tidak sesuai untuk mereka menjalin asmara. 

Aedy berkata, mereka kini mempunyai tujuan dan hala tuju yang sama iaitu mengutamakan karier seni terlebih dahulu.

"Keputusan (berpisah) itu kami buat bersama. Apa yang boleh saya katakan kami mahu fokus kepada karier seni. Saya sendiri tengah sibuk.

"Amelia pun sangat-sangat sibuk. Walaupun kami membawa haluan masing-masing, tapi tak bermakna kami bergaduh.

"Antara kami tidak ada perbalahan. Kita jumpa, bercakap dan berbincang secara baik. 

"Sudah tentu kami sedih. Saya rasa Amelia adalah wanita yang tepat tetapi masa saja yang tidak sesuai," katanya. 

Menurut Aedy, dia mengaku masih mencintai Amelia namun mereka menyerahkan soal jodoh kepada takdir. 

"Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk dia dan saya rasa akan ramai orang mendoakan baik-baik untuk kami. 

"Kalau ada rezeki, kalau ada jodoh, kita jumpa lagi. Kalau bekerja sekali ke, kami tak akan ada masalah langsung. 

"Sekarang ini kami bersetuju untuk berserah saja pada takdir, pada rezeki. Kalau ada, ada. Kalau tak ada, tak ada. 

"Pada akhirnya, saya percaya rasa sayang itu masih ada, cuma masa tak mengizinkan buat masa ini," katanya.

Sebelum ini, Amelia dalam satu perkongsian siaran langsung di TikTok memaklumkan dia dan Aedy sudah putus cinta.

Untuk rekod, pada Mac tahun lalu Aedy membuat kejutan apabila melamar Amelia untuk menjadi kekasih hatinya secara terbuka di sebuah acara di Bukit Jalil.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:13 PM